Thursday, September 21, 2017

Lombok Untuk Pertama Kalinya


31 Julai 2017, saya telah bercuti ke Lombok, Indonesia bersama suami. Alhamdulillah, saya telah selamat diijabkabulkan bersama suami saya, Muhammad Mahazan pada 21 Julai 2017. Majlis perkahwinan kami pula telah berlangsung pada 29 Julai 2017&30 Julai 2017. Setelah selesai semua majlis, kami telah bertolak ke Lombok Indonesia. Ini adalah percutian kami berdua yang pertama atau lebih dikenali sebagai bulan madu💓💓. 

Kami ke sana selama 4 hari. Dalam tempoh 4 hari ini, banyak yang kami belajar dalam mengenali bukan hanya tempat percutian ini, malah turut belajar mengenali antara satu sama lain💕. Perkara pertama yang belajar tentang suami adalah, dia bukan lah yang suka buat planning percutian seperti saya. Untuk itu, saya lah yang perlu lebih proaktif jika hendak ke mana-mana selepas ini😄. Resam hidup suami isteri harus saling lengkap melengkapi. 

Saya telah menempah tiket kapal terbang ke Lombok kira-kira 4 bulan lebih awal. Harga tiket kapal terbang untuk seorang adalah RM 339. Saya juga telah menempah hotel lebih awal. Harga hotel bertaraf 3 bintang untuk 3 malam di Pulau Gili Trawangan adalah RM 689.32. Oleh kerana kurangnya research yang saya buat sebelum ke sana, saya telah menempah penginapan sepanjang di Lombok hanya tertumpu kepada satu tempat iaitu di Gili Trawangan. Ia termasuklah untuk malam pertama setibanya kami di sana. Kami tidak sempat sampai ke hotel tersebut kerana kami tiba di Lapangan terbang  Lombok pada jam 5petang sedangkan perkhidmatan public boat yang terakhir adalah pada jam 6 petang. Tambang menaiki speed boat adalah 15,000 rupiah. Selepas jam 6 petang, kami hanya boleh ke pulau Gili dengan menaiki speed boat, dengan harga yang berganda-ganda iaitu 300,000 rupiah. Alhamdulillah, suami kelihatan tenang apabila terpaksa mengeluarkan duit di luar jangkaan untuk menempah homestay pula😜 . Kami menginap satu malam di homestay berdekatan jeti yang dipanggil bangsal. Jadi, bagi sesiapa yang berhasrat untuk ke Lombok secara DIY, tanpa mana-mana agent, anda harus menempah hotel di kawasan darat terlebih dahulu. Contohnya, Mataram yang juga menempatkan tempat menarik untuk dilawati iaitu pantai Senggigi. 

Disajikan dengan kopi Lombok di tempat kami menginap

Walaupun kami telah tersilap perkiraan yang menyebabkan kami sedikit rugi, ada hikmah disebaliknya. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kerana kami tak sempat ke pulau petang itu, kami sempat singgah di sebuah pesantren atas ajakan sekumpulan pelancong yang juga dari Malaysia. Rombongan tersebut terdiri daripada makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang sebaya ibu dan ayah kami. Di pesantren itu, kami dijamu dengan macam-macam hidangan yang lazat. Ada satay, nasi, ikan bakar dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati insan-insan yang berhati murni yang sedang membangunkan pesantren tersebut demi menyalurkan pendidikan buat anak bangsa. Selesai makan, kami di hantar ke jeti oleh salah seorang cikgu di pesantren tersebut. Kami bermalam di homestay berhampiran jeti. Keesokan harinya, kami berjalan kaki ke arah boat dan bertolak ke Gili Trawangan dengan menaiki public boat. 


Subhanallah, Gili Trawangan merupakan sebuah pulau yang sangat cantik. Airnya terdiri daripada warna-warna yang berbeza mengikut kedalaman air. Ada bahagian airnya hijau, ada biru muda dan ada biru tua. Kami habiskan hari pertama di pulau itu dengan bersiar-siar menaiki basikal. Suasana malam di pulau ini sangat meriah dengan adanya bermacam-macam jenis kedai makan dengan pelbagai jenis hidangan. 

panorama matahari terbenam di Gili Trawangan
Hari kedua, kami habiskan dengan melakukan aktiviti snorkeling. Kami telah menjelajah ke 3 pulau untuk snorkeling, Gili Air, Gili Trawangan dan Gili Menor. Snorkeling di sini agak berlainan dengan pengalaman saya bersnorkeling sebelum ini. Beach boy yang membawa kami snorkeling memberikan kami pilihan samaada mahu menggunakan fin(kasut sirip) atau menggunakan life jacket. Jika tahu berenang, mereka akan bekalkan fin dan tidak perlu lagi pakai life jacket. Pada mulanya, saya yang kononnya pandai berenang ni mahu mencuba memakai fin tanpa life jacket. Walaupun tahu berenang, pergerakan kaki saya agak kaku bila berada di tengah-tengah laut yang dalam itu. Akhirnya saya pakai juga life jacket dan snorkeling seperti biasa. Itu lebih selamat bagi saya yang sudah selalu sangat lemas sebelum ni tapi belum serik lagi. hihi.. 

Berhenti makan tengah hari di Gili Air

Hari keempat, kami telah menaiki public boat seawal 7 pagi ke bangsal. Ini merupakan hari terakhir kami di Lombok, dan kami berhajat mahu membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang. Sempat juga kami singgah di Air Terjun Benang Kelambu sebelum berangkat ke lapangan terbang. Air terjun ini agak unik kerana biasanya kita terpaksa mendaki untuk sampai ke air terjun. Tetapi di sini, pengunjung akan bergerak menuruni bukit-bukit untuk sampai ke air terjun. Untuk ke sana, kita boleh menggunakan perkhidmatan motorsikal yang disediakan oleh penduduk tempatan. Setelah selesai menikmati keindahan alam semulajadi, barulah kami bertolak ke lapangan terbang untuk pulang. 

Air terjun benang kelambu
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur sungguhpun ini merupakan percutian kami yang pertama dan tempat yang kami kunjungi agak jauh dan mencabar tanpa menggunakan perkhidmatan mana-mana travel agent, tidak banyak masalah yang dihadapi dan kami sangat gembira kerana telah melawat Lombok yang sangat indah. 


Pemandangan pagi di Gili Trawangan
***Tips untuk berbulan madu: Tak perlu tempat yang jauh dan berbelanja mahal. Apa yang penting sentiasa bersama pasangan dan saling bertoleransi.