Monday, October 10, 2011

Kehidupan Baru



Syukur itu ada banyak caranya. Salah satunya ialah dengan mengiktiraf nikmat itu dengan perkataan. Saya sangat bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan buat saya, terutamanya, atas nikmatNya yang paling besar iaitu nikmat iman dan Islam.

Alhamdulillah, sudah seminggu saya memulakan hidup yang baru di sebelah utara tanah air. Di sini saya tinggal bersama keluarga abang. Jadi, walaupun emak dan ayah jauh di mata, saya tidak berasa sendirian. Selain ahli keluarga, saya juga dikelilingi oleh akhawat yang comel-comel dan baik-baik. Sebenarnya, saya baru sahaja berkenalan dengan mereka dalam satu halaqah. Subhanallah..baiknya mereka, kami bertaaruf sambil makan nasi lemak dan kuih karipap. Teringat pula memori usrah di rumah naqibah semasa menuntut di universiti dulu. Setiap kali usrah, ada sahaja hidangan tersedia buat kami semua. Yang paling best ialah teh 'O panas. Wah! rindunya! Mungkin saya patut sediakan teh 'O panas buat mereka pula di pertemuan minggu hadapan. =D

Hujung minggu ini, saya tidak bekerja. Alhamdulillah, dapatlah saya menghadiri usrah gabungan bulanan. Di dalam pertemuan ini, kami belajar tentang sirah. Antara banyak-banyak pengisian, saya paling suka topik sirah kerana ia mampu membuka minda saya. Saya boleh mempelajari sesuatu yang baru disebalik perkara yang saya sudah tahu. Maaf ya, ayat berbelit =P

Selama ini, saya sudah tahu bahawa Rasulullah terpaksa mengharungi pelbagai dugaan demi menyebarkan Islam. Sebut sahaja semua jenis ujian, semuanya sudah Rasulullah lalui. Terlalu banyak. Baginda dihina, diancam, diletakkan najis di atas kepala, difitnah, diboikot. Tidak cukup dengan itu, orang musyrikin Mekkah siap mengadakan mensyuarat untuk berbincang tuduhan apakah yang paling sesuai untuk dilemparkan terhadap Rasulullah.

Justeru, mereka memanggil Al- Walid Ibn Mughirah untuk mengetuai perbincangan ini. Tahukah anda siapa Al-Walid Ibn Mughirah itu?Anda kenal Khalid Al-Walid?Haa!Al-Walid Ibn Mughirah merupakan bapa kepada Khalid Al-Walid, pahlawan perang yang hebat itu. Al-Walid Ibn Mughirah merupakan lelaki Quraisy yang sangat berpengaruh di dalam masyarakat musyrikin Mekkah kerana selain berilmu dan berharta, beliau juga memiliki banyak anak lelaki.

Di dalam perbincangan itu, mereka ingin menuduh Rasulullah seorang bomoh, tetapi Al-Walid menolak cadangan itu kerana beliau kenal akan semua jenis mentera yang selalu dibaca oleh bomoh. Kemudian mereka ingin mengatakan Rasulullah itu orang gila, tetapi Al-Walid tidak bersetuju. Lantas, mereka mengatakan bahawa Rasulullah merupakan seorang penyair, namun, Al-Walid menolak kerana dia kenal dengan semua jenis syair. Akhirnya, mereka menetapkan bahawa Rasulullah merupakan tukang sihir kerana kata-kata Rasulullah mampu menukar pendirian seseorang. Begitulah, betapa bersungguh-sungguhnya kaum musyrikin Mekkah berusaha untuk menyekat dakwah Nabi Muhammad S.A.W. Kemudian, Allah menurunkan ayat di bawah ini khusus buat Al-Walid Al-Mughirah;

74:11

Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak
74:12




Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,

74:13
Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.
74:14
Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya
74:15
Kemudian dia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;
74:16
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).
74:17
Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya
74:18
Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran
74:19
Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?
74:20
Sekali lagi: Binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?
74:21
Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali: Jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi dia gagal);
74:22
Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut;
74:23
Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,
74:24
Serta dia berkata: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya
74:25
Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!
74:26
Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam Neraka Saqar.


(Surah Al-Muddathir ayat 11-26)


Ya!memang kita sudah pernah dengar tentang semua ini bukan? Cuma, mungkin kita terlupa detail mengenainya. Tetapi, pernah atau tidak, sepanjang hayat kita, kita bertanya, kenapa sampai begitu sekali kaum musyrikin Mekkah menentang apa yang dibawa oleh Rasulullah. Apa sebenarnya yang dibawa oleh Rasulullah?Adakah kerana Rasulullah mengajak masyarakatnya berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti berkata benar, menghormati sesama manusia dan sebagainya? Jika itu sahaja, tidak lah mereka marah. Bukankah kerana akhlak mulia Rasulullah lah, baginda disukai?

Atau, adakah kerana Rasulullah mengajak mereka menunaikan solat,berpuasa dan membayar zakat? Tetapi perintah untuk melaksanakan ibadah tersebut hanya setelah 10 tahun baginda berdakwah. Jadi, mengapa daripada awal mereka menentang dakwah nabi. Jawabnya, apa yang dibawa oleh nabi, ialah kalimah Laailaahaillallah.

Mereka cukup memahami maksud kalimah ini. Abu Jahal yang jahil itu sangat mengerti akan makna Laailaahaillah ini. Ia bukan hanya bererti tiada tuhan selain Allah. Kalimah ini tidak dapat ditafsirkan dengan hanya satu rangkap kata. Laailahaillah membawa makna, ketundukan, penyerahan hanya untuk Allah, satu-satunya zat yang menguasai alam semesta ini. Seseorang yang benar-benar faham akan kalimah ini akan mengambil Islam secara keseluruhan. Mereka tidak akan pilih-pilih. Mereka akan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Jika kita tidak faham akan apa yang dituntut oleh kalimah Laailahaillah ini, bermakna, kita lebih jahil daripada Abu Lahab.

Oleh sebab ini lah juga, dalam Usul 10 Imam Hassan Al-Banna, perkara pertama yang digariskan ialah mengambil Islam secara syumul. Kemudian baru lah ketaatan kepada Al-Quran dan As-sunnah. Jadi, jika kita mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, sepatutnya kita cuba sedaya upaya menjadikan Islam sebagai ustaziyatul alam, dimana, segala aspek hidup dijalankan berlandaskan ajaran Islam, termasuk pentadbiran, undang-undang dan ekonomi. Jika semua ini diambil kira, baru lah kita merasa betapa beratnya tanggungjawab yang kita sebagai hamba Allah dan pengikut Nabi Muhammad S.A.W. Maka terjawablah persoalan kita, kenapa hidup kita begitu selesa.


Jadi, saya tinggalkan anda semua dengan persoalan ini, mengapa kehidupan kita tidak sesukar kehidupan Rasulullah?