Friday, July 22, 2011

Atjeh, a Spiritual Gateway

Alhamdulillah, masa saya yang terluang terisi dengan aktiviti yang memberi pengalaman bermakna. Saya dan rakan telah mengikuti program Bakti Ikhlas Siswazah Acheh 2011. Kami telah berada di sana selama 4 hari(15-18 Julai 2011).




Sebelum tiba di sana lagi, saya sudah teruja untuk menjejakkan kaki di Banda Acheh. Saya begitu berminat untuk ke sana bukan sahaja kerana ingin melihat kesan tinggalan Tsunami yang membuktikan kebesaran Allah S.W.T, tetapi juga, tinggalan sejarahnya yang sangat bernilai. Melalui pembacaan saya setelah mencecah usia dewasa ini, saya baru sahaja tersedar betapa penting untuk mengenal jati diri bangsa sendiri. Saya berbangga dilahirkan sebagai orang Melayu. Sebuah bangsa yang begitu berani memperjuangkan agama Islam yang dianuti sehingga Islam dapat diwarisi oleh generasi hari ini.


Setiap negeri di Nusantara ini memiliki kisah perjuangan anak bangsa dalam perjuangan menentang penjajah yang bukan sahaja mempunyai misi untuk merampas tanah penduduk tempatan, tetapi juga bermatlamat untuk menukar agama yang dianuti bangsa ini daripada Islam menjadi Kristian. Oleh kerana sifat kepahlawanan berbekalkan keimanan generasi terawal yang jitu, hari ini kita dilahirkan sebagai muslim. Seseorang pernah berkata,"Islam tidak diwariskan kepada kita secara percuma tetapi dengan darah dan air mata".


Saya bergambar sebelah pameran pahlawan Acheh. Antaranya ialah  Cut Nyak Dien

Acheh juga merupakan salah satu negeri yang sarat dengan cerita perjuangan. Bumi ini gagal dijajah oleh Belanda bukan kerana tiada usaha yang bersungguh-sungguh daripada pihak Belanda, tetapi semangat juang rakyat Acheh menggagalkan segala usaha Belanda. Kehebatan rakyat Acheh terbukti dengan catatan sejarah perang Acheh yang berlarutan selama 30 tahun sehingga akhirnya Acheh menjadi kubur terbesar askar-askar Belanda dalam sejarah imperialisnya.


Disambut oleh Orang Acheh
Sesampainya kami di Bandara(lapangan terbang), kami disambut oleh Pak Rafar. Kami terus dibawa ke Persantren Dayah Daruzzahidin, Gampong Lamceu, yang merupakan sekolah menengah. Di sinilah kami akan menumpang dan di sini jugalah kami akan  menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan secara percuma dan program berkhatan beramai-ramai. Belum pun sempat berkenalan dengan semua santri(pelajar perempuan) yang satu dorm dengan kami, kami terpaksa minta diri untuk keluar ke bandar Banda Acheh.


Terlebih dahulu kami singgah di sebuah kedai kopi. Memang ramai yang minum kopi di sini. Rata-ratanya sedang minum kopi sambil manjamu kuih-muih. Tidak lama selepas kami duduk, kami dihidangkan dengan kuih-muih yang pelbagai. Kuih-muih di sini sangat menarik. Ada roti jala yang berinti pengat durian, kuih lapis yang macam dodol, kuih keria berbentuk kuih mek comel, apam dan macam-macam lagi.




Saya bukanlah penggemar kopi tetapi di kedai ini, saya order kopi. Saya mahu mencuba bagaimana rasanya kopi Ulee Kareng, kopi Acheh yang sangat popular itu. Dikatakan 30% kopi di Starbuck(kedai kopi terkemuka di serata dunia) adalah merupakan kopi Acheh ini. Sedang saya menikmati kopi ini, teringat pula kisah perjuangan rakyat Acheh yang menentang penjajah Belanda lantaran terpaksa mengikuti sistem Tanaman Paksa yang diperkenalkan oleh Belanda. Mengikut sistem ini, petani-petani di Sumatera Barat dikehendaki menanam kopi dan menjualnya kepada kerajaan Belanda pada harga yang rendah. Mereka juga terpaksa membayar cukai atas tanah mereka sendiri. Faktor-faktor ini telah membakar semangat juang rakyat Acheh yang menyebabkan bumi ini tidak berjaya dijajah oleh pihak Belanda. Rupa-rupanya, sehingga hari ini, Acheh masih mengeluarkan kopinya yang bermutu tinggi.
Kopi Ulee Kareng
Masjid Yang Gagah
Usai minum petang, kami dibawa bersiar-siar di Banda Acheh. Perkara utama yang menarik perhatian saya semasa bersiar-siar di pekannya adalah masjid Baiturrahman. Masjid ini begitu gah berdiri walaupun sudah lanjut usianya. Ia adalah antara masjid yang terselamat dalam kejadian Tsunami pada 26 Disember 2006. Syukur, saya sempat menunaikan solat Maghrib dan Isyak di sini. Sesungguhnya masjid ini telah banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melanda orang-orang Acheh.


Terima kasih kepada pembaca yang peka. Ini adalah gambar sebenar masjid baiturrahman selepas kejadian tsunami


Pemandangan masjid Baiturrahman yang dirakamkan dalam lawatan kami setelah 7 tahun kejadian Tsunami
Selain peristiwa Tsunami, masjid yang pernah dipertahankan dengan gagah oleh Teuku Hashim(seorang pahlawan Acheh) ini, pernah dibakar oleh pihak Belanda dan akhirnya berjaya ditawan oleh Belanda pada tahun 1875. Namun, rakyat Acheh yang tidak menganggap ini sebagai satu kekalahan telah mengepung pihak Belanda sehingga mereka melarat dan kehilangan ramai tentera, ditambah pula dengan penyakit taun yang melanda ketika itu. Akhirnya, masjid ini diambil kembali oleh rakyat Acheh sehingga kekal ke hari ini.


Di dalam surat Teuku Hashim, Sri Muda Perkasa Panglima Polem, Sri Setia Utama dan Seri Muda Setia yang diutus kepada pemerintah-pemerintah Acheh ada menyebut;
"Empat mukim iaitu Lheu dan masjid Raya, Masjid Lheung Bata, Gigieng dan Lhok Gulong dab sebahagian daripada kawasan Meuraksa telah ditawan. Bagaimanapun, insyaAllah sebagaimana ketaatan kita kepada Allah dan RasulNya, kita wajib bertahan siang dan malam; meskipun kita hanya tinggal setanah nyiru(kelapa) (pen. Tanah sekangkang kera) kita wajib terus berperang. Itulah perjanjian semua anggota masyarakat dari segi (daerah), ulama, para haji dan semua umat Islam. Oleh itu, jika kamu saudara kami, masih taat kepada Allah dan RasulNya, masih mahu menegakkan ajaran Nabi Muhammad s.a.w dan masih berhasrat untuk bergabung dengan kami semua di bawah panji-panji  Aceh, kamu saudara kami, mesti memerangi mereka sekuat kemampuan kamu demi mempertahankan ajaran Nabi Muhammad s.a.w dan agama rakyat Acheh." 
(Masjid raya yang disebut di dalam surat ini ialah masjid Baiturrahman. Manakala mukim Lheu menempatkan masjid Baiturrahim yang turut kami lawati)


Kekuatan rakyat Acheh telah membuka mata pihak Belanda dan mendesak mereka untuk memahami apakah Islam itu sendiri dan bagaimana ia menjadi sumber kekuatan yang ampuh kepada umat Islam.


Masjid Baiturrahim yang terletak di Ulee Lheu, salah satu mukim yang ditawan Belanda pada tahun  1875
Kami turut melawat Masjid Lampuuk. Sebuah lagi masjid yang terselamat ketika peristiwa Tsunami
Tiada apa yang tertinggal di sekitar masjid Lampuuk(semasa Tsunami)

Gambar ini diambil semasa lawatan kami

Damai Itu Indah
Dimana-mana sahaja di dalam bandar ini, kami ternampak slogan 'damai itu indah' dipamerkan. Sememangnya kami berasa damai apabila berada di sini. Dengan pandangan mata kasar sahaja, kami dapat lihat rakyat Acheh benar-benar menjalankan syariat Islam. Saya gembira melihat semua wanita Acheh berjilbab. Malah, kami ditegur ketika berada di masjid Baiturrahman,supaya tidak mengenakan celana(seluar) kerana ia menyerupai lelaki, melainkan seluar yang dipakai longgar.




Ada seorang sahabat saya yang ditegur secara direct kerana mahu mengambil buku yang baru dibeli dengan tangan kiri. Subhanallah, hati ini begitu terharu dengan sikap amar makruf nahi mungkar yang ada dalam diri orang-orang Acheh. Semoga Allah memberkati ketulusan hati mereka.


Tinggalan Tsunami
Walaupun kejadian Tsunami sudah 7 tahun berlalu pergi, namun ingatan rakyat Acheh pada peristiwa itu masih tetap utuh.


“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan,”Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.” Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”.
 [al Baqarah 155-157]
Pak cik ini bercerita, semasa peristiwa Tsunama, beliau hampir ditanam kerana  disangkakan sudah tidak bernyawa. Namun, walaupun tidak berdaya, digagahkan juga tangannya untuk memberitahu orang di situ bahawa dia masih hidup.


Muzium Tsunami
Kami singgah di kuburan Massal yang menempatka kira-kira 30,000 korban Tsunami. Dikatakan jenazah mereka ditanam bertindih-tindih. 
Saya bergambar di depan bangunan yang musnah disebabkan Tsunami
Sebuah kapal janakuasa elektrik hanyut sejauh 4 km ke darat , dibawa oleh ombak Tsunami yang melanda Aceh pada December 2004


Gambar ini diambil dari atas kapal janakuasa tersebut. Di kawasan bukit bukau itulah pantai, tempat asal letaknya kapal ini.
Bayangkanlah, betapa dahsyatnya Tsunami sehinggakan 200,000 jiwa meregang nyawa dihentam ombak laut raksasa. Semua manusia bertempiaran lari, termasuk juga yang menghidap penyakit strok yang sepatutnya tidak mampu berjalan sekalipun.

Ukhuwah yang Terjalin
Walaupun waktu untuk kami bersama-sama dengan santri di pesantren sangat singkat, namun ukhuwah yang terbina sangat rapat. Mereka sangat ramah melayan kami semua. Setiap kali bertembung pasti salam akan diberikan diiring dengan senyuman yang manis. Saya berasa sangat seronok ketika berbual dengan mereka, melayan soalan mereka yang tidak habis-habis. Kami juga solat subuh bersama-sama. Setiap kali selepas solat Subuh, mereka akan mengalunkan zikir Ya Rabbi bil Mustafa dalam bahasa Arab diikuti dalam bahasa Melayu.


YA RABBI BI AL-MUSTAFA BALLIGH MAQASIDANA
WA IGHFIR LANA MA MADA YA WASI`A AL-KARAMI
'sampaikanlah niat kami dengan berkat nabi pilihan ampunkanlah dosa kami dengan murahmu wahai tuhan'


Rasanya sangat gembira dapat berzikir bersama mereka. Saya terfikir juga, cuma inikah zikir yang dibaca sehari-hari. Adakah mereka diajar zikir Al-Mathurat yang menjadi amalan Rasulullah. Atau mereka membacanya di lain waktu yang tidak sempat saya sertai. Soalan ini tidak pula saya tanyakan dan rasanya tidak perlu pun untuk saya bertanya kerana ilmu agama Islam yang mereka pelajari jauh lebih banyak daripada saya yang membuat saya rasa malu. Mereka boleh bertutur dalam Bahasa Arab dengan baik. Tiada televisyen yang boleh melalaikan mereka daripada menuntut ilmu pengetahuan. Kelas tafsir juga sudah bermula seawal selepas Subuh pada hari hujung minggu. Subhanallah..saya doakan adik-adik ini berjaya di dunia dan akhirat.




Terima Kasih Daun Keladi
Ribuan terima kasih diucapkan kepada keluarga Pak Rafar, doktor-doktor dari Bulan Sabit Merah Indonesia(BSMI) dan adik-adik di Dayah Daruzzahidin, atas kesudian kalian menerima kedatangan kami. 


Di rumah Pak Rafar dan Ibu Hindun. 


Bergambar di depan rumah sakit BSMI

Bergambar kenang-kengangan bersama murid-murid di Dayah Daruzzahidin
BISA 2011