Tuesday, March 26, 2013

Kampung Parit Lapis Bangas

Dalam kesibukan kita sehari-harian, terkadang terasa berat juga untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan. Memang, sepatutnya, kerja-kerja kemasyarakatan haruslah dibuat secara berterusan, tidak bermusim. Ia merangkumi hubungan dengan jiran, pergaulan dengan rakan di tempat kerja, aktiviti-aktiviti kebajikan yang berkala dan lain-lain. Tetapi kita sering terlupa untuk membiasakannya dalam hidup kita sehari-harian. Akibatnya, berat rasanya untuk melakukannya secara mendadak. Tambahan pula, apabila kita merasakan aktiviti-aktiviti sebegini kurang muntij. Tidak nampak hasalnya demi dakwah.

Saya masih ingat, di saat saya mengenali tarbiyyah tidak lama dahulu, saya berasa tertekan dengan pertembungan aktiviti-aktiviti dakwah umum dan program tarbiyyah. Stress sangat apabila terpaksa memberi laluan kepada program seperti medical check up, sunathon dan lain-lain. Rupa-rupanya, program sebegini juga penting untuk melancarkan usaha kita ke arah ustaziyatul alam. Inilah antara faktor kejayaan dakwah Rasulullah S.A.W. Ini jugalah rahsia kejayaan Hamas dalam mendapat sokongan rakyat Palestin untuk menjadi pemerintah. Cuma, cara kita melakukannya haruslah betul dan berterusan dan selari dengan program-program tarbiyyah untuk diri kita sendiri. Barulah muntij.

Teringin saya untuk berkongsi pengalaman saya menyertai satu program dakwah umum. Saya bersyukur kerana berpeluang merasai pengalaman ini. Sewaktu bergelar pelajar, saya pernah menyertai program kemasyarakatan di Kg Parit Lapis Bangas, Batu Pahat. Bukannya sekali kami ke sana,tetapi berkali-kali. Malah kami masih lagi mengekalkan hubungan kekeluargaan dengan mereka sehingga sekarang. Pertama kali kami ke sana, kami pergi dengan misi untuk membantu mangsa banjir di sana. Masya Allah, layanan mereka terhadap kami terlalu baik. Rasa serba salah pula kerana tujuan kami ke sana untuk meringankan beban mereka tetapi sepertinya kami menyusahkan mereka lantaran kesungguhan mereka menyambut kehadiran kami. Setiap daripada kami diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Kami bermalam di rumah keluarga angkat. Mereka masak secara bergotong-royong. Memang seronok makan beramai-ramai dalam talam. Masakan mereka sedap pula tu. Memang di sana popular dengan hidangan nasi ambeng. Di Kg Parit Lapis Bangas lah saya pandai makan nasi ambeng. Sampai sekarang pun saya masih menggemarinya.
Nasi ambeng yang best!
Kali kedua kami ke sana, kami telah mengadakan program medical check up dan sunathon(bekhatan beramai-ramai). Kali ini, bilangan kami lebih ramai, kami pergi dengan menggunakan 2 buah bas. Satu keluarga angkat akan mengambil 2 pelajar sebagai anak angkat. Hubungan kami menjadi bertambah rapat. Tidak over kalau saya cakap, mereka begitu menggemari pelajar-pelajar daripada Cyberjaya ini beserta pensyarah-pensyarahnya. Sehinggakan, mereka pernah menyewa bas untuk melawat kampus kami yang serba sederhana di Cyberjaya. Kami menyambut kedatangan mereka dengan tangan terbuka. Selepas makan tengah hari beserta persembahan di kolej, kami membawa mereka berjalan-jalan di Putrajaya. Alhamdulillah.. 

Bagi saya, untuk mengukur keberkesanan sesuatu program kemasyarakatan, masyarakat yang disantuni itu haruslah ada rasa percaya kepada kita dan sentiasa menyokong buah fikiran kita. Perkara ini hanya akan dapat dicapai dengan kita menonjolkan akhlak yang baik dan sentiasa mengambil berat akan hal mereka. Yang paling penting, perlu ada follow up. Dakwah umum bukanlah dakwah 'touch and go'. Harapan saya, semoga saya dan rakan-rakan masih mengekalkan hubungan rapat dengan penduduk kampung tersebut. Sayangnya kalau hubungan yang baik itu disia-siakan begitu sahaja.


Bergambar bersama penduduk Kg Parit Lapis Bangas


Gambar ini diambil ketika kami mahu bertolak pulang
Persembahan nasyid daripada kanak-kanak daripada Kg Parit Lapis Bangas

Kanak-kanak di Kg Parit Lapis Bangas
Sahabat saya bergambar dengan keluarga angkatnya

Aktiviti gotong royong di kampung