Tuesday, September 6, 2011

Ramadhan Yang Pergi

Bulan Ramadhan yang mulia baru saja meninggalkan kita. Adakah Ramadhan yang sudah berlalu itu berjaya mendidik diri kita menjadi seorang muslim yang bertakwa? Marilah kita muhasabah diri kita...

Tahniah bagi yang sudah berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzuk sepanjang Ramadhan yang lalu. Namun, setelah Ramadhan sampai ke penghujungnya, adakah kita masih membaca Al-Quran? Bila kali terakhir kita memegang Al-Quran?
Bagaimana pula dengan ibadat-ibadat sunat yang tidak kita tinggalkan sepanjang bulan Ramadhan seperti solat sunat rawatib, solat sunat dhuha, solat tahajjud....
Kenapa ya..habis sahaja bulan Ramadhan, kita menjadi malas? Bukankah bulan Ramadhan sepatutnya menjadi penjana semangat kita untuk taat beribadah kepada Allah sepanjang tahun?

Ramadhan yang lalu, saya berpeluang untuk merasa pengalaman beribadah di tanah haram. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat bernilai. Itulah rezeki daripada Allah buat saya. Sesungguhnya, duit kita yang tersimpan di dalam bank, di dalam dompet, atau dalam tabung bukanlah harta milik kita selagi ia belum dibelanjakan, dan sebaik-baik harta adalah harta yang dibelanjakan ke jalan Allah.

Saya pergi mengerjakan ibadah umrah di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan(20 August-3 September 2011). Saya tidak pernah terfikir untuk pergi ke Mekkah pada bulan Ramadhan. Bagi saya pergi pada bila-bila masa pun tidak apa. Janji dapat pergi ke sana. Tetapi Allah telah memberikan yang terbaik untuk saya. Syukur alhamdulillah.

Sepanjang berada di sana, kami sentiasa sembahyang fardhu di masjid Nabawi(jika berada di Madinah) dan solat di masjidil Haram(jika berada di Mekkah). Kami tidak mahu terlepas solat fardhu di masjid kerana pahala bersembahyang di masjid Nabawi adalah seribu kali ganda daripada solat di tempat lain kecuali masjidil haram. Lantaran itu, tiada kedai yang dibuka ketika solat fardhu. Pelanggan yang masih tidak berganjak meninggalkan kedai semasa azan dilaungkan akan diingatkan oleh tuan kedai untuk ke masjid sementara beliau bersiap sedia untuk menutup kedai; " solah ya hajjah".

Disamping beriktikaf, kami berbuka puasa di masjid. Selepas solat isyak, kami ikut solat terawih sebanyak 20 rakaat. Solat terawih di sana habis seawal jam 10 malam. Tidak seperti di Malaysia, solat terawih di sana sangat pantas walaupun bacaannya panjang. Tiada selawat atau tahlil untuk arwah diadakan selepas isyak. Setelah solat terawih kami pulang ke hotel untuk tidur. Seterusnya, jam 1 pagi, kami ke masjid lagi untuk solat tahajjud 20 rakaat. Biasanya, solat tahajjud berjemaah akan habis jam 3 pagi. Doa di dalam solat witir adalah sesuatu yang saya nanti-nantikan. Hati saya cukup tersentuh dengan doa yang imam baca. Terutamanya bila ada disebutkan minta Allah jauhkan azab seksa api neraka dan memberikan kita syurga dengan rahmat kasih sayang Allah. Minta dengan bersungguh-sungguh, dengan menyebut semua nama-nama Allah, dengan merintih, menyedari betapa kerdilnya diri ini di pandangan Allah, menyedari diri ini penuh dengan dosa. Subhanallah...
Habis solat witir, kami pulang ke hotel untuk bersahur. Kemudian, kami ke masjid lagi untuk solat subuh. Selalunya kami akan pulang selepas Subuh untuk merehatkan badan dan pergi lagi ke masjid sebelum waktu Zohor dan terus iktikaf di masjid sehingga terawih. Seterusnya perkara yang sama berulang setiap hari. Kecuali jika berada di Mekkah, kadang-kadang kami ke miqat untuk berniat umrah dan mengerjakan umrah menjelang Asar.

Selepas pulang ke Malaysia, tiada lagi jadual harian seperti ini. Seorang hamba Allah tidak sepatutnya hanya menyembah Allah dan mengabaikan tanggungjawabnya yang lagi satu iaitu menjadi khalifah di muka Bumi ini. Moga kedua-duanya berjalan seiring. Dengan berhenti beramal di bulan-bulan yang lain akan menunjukkan yang diri kita ini sama seperti kebanyakan orang. Jika kita ingin dilihat oleh Allah sebagai hambanya yang sentiasa mencari redhaNya, haruslah kita beribadah kepada Nya dengan mengharapkan redha Ilahi, bukan semata-mata mengharapkan pahala daripada Nya. Kerana, bukan pahala yang kita kumpulkan yang akan membawa kita ke syurga, tetapi sifat pengasih dan penyayang Allah sahaja yang membolehkan kita ke sana. Allahualam..



Memori Umrah 2011


No comments:

Post a Comment