Alhamdulillah, saya baru pulang dari Padang, Indonesia. Sungguh, ia merupakan satu pengembaraan yang sarat dengan ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman.
Kembara saya kali ini sungguh istimewa kerana rakan kembara saya adalah ibu saya dan sahabat-sahabatnya. Ini merupakan salah satu aktiviti group usrah mereka. Alhamdulillah, saya berpeluang turut serta.
Kami tiba di Padang, Indonesia pada 17 May. Tempat yang pertama kami tuju adalah Perguruan Islam Darul Hikmah. Kami telah disambut baik oleh cikgu-cikgu sekolah ini. Darul Hikmah ini telah di tubuhkan oleh alumni Thawalib, salah sebuah sekolah yang pernah dipengetuai oleh Buya Hamka. Terdapat 3 perguruan yang pernah dipengetuai oleh Buya Hamka, Thawalib, Kuliyyatul mubalighin dan Diniyyah Putri.
Siapakah Buya Hamka? Sebelum jaulah ini, saya tidak kenal dengan tokoh ini. Alhamdulillah, sekarang saya sudah tahu banyak tentang beliau. Buya Hamka adalah salah seorang ulama besar yang lahir di Indonesia. Beliau merupakan seorang pejuang yang sangat berjasa di era pergerakan melawan penjajahan Belanda.
Disebabkan Thawalib kurang mendapat sambutan, alumni Tawalib telah menubuhkan perguruan ini pada tahun 2008 demi membangunkan anak bangsa. Alhamdulillah, semakin lama, sekolah ini semakin diminati bukan sahaja oleh masyarakat setempat, malah daripada negeri-negeri lain dalam Indonesia.
Saya sangat meminati kurikulum sekolah ini yang mengharuskan pelajar menghafal al-quran di setiap tingkatan. Jadi, selepas, tamat 3 tahun pengajian di sini, pelajar-pelajarnya sudah menghafal 3 juzuk Al-Quran. Sekolah ini juga sangat memberi penekanan kepada kebolehan pelajar untuk menyampaikan ceramah. Setiap kali musim cuti sekolah, mereka perlu berceramah di 5 buah masjid. Jadi, setiap masjid yang pelajar itu pergi untuk sampaikan ceramah, pelajar itu akan meminta tandatangan atau cop daripada ketua masjid. Disamping itu, sudah tentu mereka boleh menjadi imam kerana sudah banyak hafalannya.
Selain itu, saya sangat tertarik dengan penekanan penguasaan bahasa asing di kalangan pelajar. Di sini, pelajar di letakkan di asrama mengikut bahasa yang sedang dipelajari. 3 bahasa yang perlu mereka pelajari adalah bahasa mandarin, arab dan English.
Bak kata Buya Hamka, 'jika mahu mahunguasai dunia,kuasailah bahasa'.
Sebelum pulang, kami sempat menemuramah pelajar-pelajar di sini. Ustazah Zaiton berbual dengan salah seseorang pelajar dalam bahasa arab. Kak wan, makcik ila dan emak saya bercakap dengan mereka dalam bahasa inggeris. Ada seorang pelajar lagi mengambil kesempatan untuk menemubual Dr Har. Saya sangat kagum dengan keyakinan diri yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar di sini. Sangat sukar untuk kita jumpa murid yang berani seperti ini di Malaysia. Saya banyak belajar daripada adik-adik di sini. Apabila sesuatu bahasa itu bukanlah bahasa ibunda kita, orang akan faham akan ketidakfasihan malah mereka akan hargai usaha kita yang telah mencuba. Jadi, sangat tidak wajar untuk bersifat malu atau takut untuk bertutur dalam bahasa asing.
Kemudian, kami ke rumah kebudayaan Padang Panjang Sumatera Barat. Di sini, kami menemui ibu Nita. Saya sangat kagum dengan adat minangkabau. Ia merupakan adat yang diwarisi sejak turun temurun. Jika diteliti, adat mereka sungguh halus dan berjaya memberikan kesan positif ke dalam masyarakat. Mereka diajarkan untuk melindungi kaum wanita dan membiasakan kaum lelaki berdikari sedari kecil. Di sini, saya berpeluang mengenakan pakaian tradisi orang minangkabau. Asalnya, saya sangka pakaian yang biasa dengan topi yang bentuk kerbau tu. Rupa-rupanya, pakaian pengantin! Malunya nak pakai, tapi tak sampai hati pula nak tolak ajakan ibu Nita. Maka saya pun pakai la baju tu dan bergambar ramai-ramai bersama emak dan sahabat-sahabat emak. Siap ada pelamin lagi.hihi...
|
Mereka sedang khusyuk mendengar penerangan ibu Nita |
Kami sempat juga menziarahi Kuliyyatul mubalighin dan Thawalib di Parabek. Ketika di Parabek, sesuatu yang diluar jangkaan telah berlaku. Dr Har telah bertanyakan kepada pihak sekolah, bagaimana cara mereka mengawasi anak-anak remaja di sini supaya mereka tidak terjebak dengan gejala sosial dan dalam masa yang sama memastikan mereka tidak ketinggalan dengan teknology masa kini. Langsung, cikgu di Thawalib meminta agar Dr Har memberi pengisian buat santri di Thawalib, Parabek pada malamnya. Maka, kami datang lagi ke sekolah itu pada malam itu. Saya sangat suka dengan penyampaian yang disampaikan oleh Dr Har. Ia sangat simple dan penuh informasi. Ia berkenaan fisiology peranakan wanita. Santri diberi pengetahuan tentang apa itu gangguan sexual. Berita berkenaan ceramah 'ad hoc' ini telah saya muatkan di blog kami, 'Mom against pornography'.
|
Perkongsian dari Dr. Har |
Kami telah ke kampung halaman mutawif kami, ustaz Abu Ilkiya di Sungai Landia. Kampungnya ber bukit-bukit. Sungguh indah dan mendamaikan. Sepi, tapi sudah tentu sarat dengan cerita-ceritanya. Di sana, kami bertemu dengan nenek ustaz. Namanya nek Jian. Rumah nek Jian juga disusun mengikut konsep rumah gadang.
|
Sungai Landiar |
Ketika bertandang ke sini, saya lihat emak saya begitu bahagia sekali. Terutama bila melihat dapur arang nek Jian. Kata mak, inilah dapur yang digunakan di zaman kecilnya. Kata mak, sesetengah orang ambil abu-abu arang di bawah dapur untuk buat facial. Ada juga yang ambil abu itu untuk buat gosok gigi. Dalam perjalanan untuk sampai ke rumah nenek tadi, kami singgah sebentar di tempat jemuran padi. Mak cerita, memang semua orang di kampung mak dulu jemur padi. Bila dah petang, mereka akan angkat padi tu, simpan dalam guni. Esoknya jemur lagi. Sebelum nak dapat padi tu juga, ada proses yang biasa mak buat iaitu irik padi untuk keluarkan padi dari tangkainya. Mak cakap, dia tak pernah ingat bila masanya dia mentelaah buku. Seluruh masanya irik padi dan bermain. Tiba-tiba, terus ke UK!wahh! macam mana tu? Bila mak bercerita, muka mak bercahaya, matanya bersinar. Mana tidak gembira, bila dah sampai ke tempat yang menggamit memori. Malam tu, mak pesan pada saya, mak sangat mengharapkan anak-anak tak lupa asal-usul. Setidak-tidaknya, jika kebetulan singgah ke Kuala Terengganu, singgah lah ke rumah pakcik-pakcik dan makcik-makcik di sana. Pesan tu akan saya ingat selalu. insyaAllah.
|
Padi yang sedang dijemur |
Seterusnya kami ke Puncak Lawang, Maninjau. Sebelum sampai ke puncak, kami singgah di kilang tradisional tebu yang menggunakan tenaga kerbau untuk memerah tebu. Tetapi waktu itu, kerbau nya tidak ada. Kerbau dibawa ke sawah. Jadi, kami terus ke Puncak Lawang. Sesampainya di puncak, kami terpukau dengan keindahan panorama di situ. Kami duduk-duduk sambil meninjau-ninjau. Terdapat kain rentang yang bertulis 'peluklah alam dengan cinta'. Bila dekat dengan alam begini, terasa sangat kebesaran Allah. Satu perasaan yang sukar dirasa dalam kehidupan seharian kita yang biasa. Subhanallah walhamdulillah wala ila ha illallah wallahuakbar.
Setelah puas menikmati alam di puncak Lawang, kami turun ke bawah lalu singgah lagi ke kilang tebu tadi. Kami bernasib baik kerana kerbau sudah pulang. Dapatlah kami lihat proses memerah tebu menggunakan tenaga kerbau. Kerbau tu ditutup matanya dan di arah untuk tawaf, lalu mengerakkan mesin pemerah tebu itu. Pertama kali saya lihat mesin perah tebu yang sebegini.
|
Kerbau yang menjalankan tugas dan kewajipannya. Dan dia nanti takkan dihisab di akhirat nanti |
Setelah melihat keindahan alam ciptaan Allah, kemudian lihat pula kerbau yang memberikan banyak manfaat buat manusia, membuatkan saya mencari-cari ayat Allah yang menyebut nikmat-nikmatNya. Lalu saya berjumpa dengan ayat ini. 'Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung dari apa yang telah Dia ciptakan, dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan ni`mat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya). Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajiban yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang(Surah al-Nahl, ayat 81-82). Langsung selepas Allah menyatakan nikmat-nikmatNya, Allah susuli dengan kewajiban manusia. Kerbau itu telah menjalankan kewajibannya dengan baik, saya pula bagaimana? Takut bila terkenangkan tanggungjawab ini. Semoga Allah sentiasa berikan kita semua peringatan.
Kemudian, kami ke muzium tempat kelahiran Buya Hamka. Kami kurang bernasib baik kerana muzium telah tutup. Kami singgah di rumah saudara Hamka. Saya beli banyak buku Buya Hamka di situ. Antaranya, 'Tenggelamnya Kapal Van der Wijck', Tasauf moden, tafsir al-azhar dan buku biografi Buya Hamka yang bertajuk 'Ayah'. Di sana kami jumpa ibu Azizah. Saya hanya tahu ibu Azizah adalah saudara Buya Hamka setelah membaca buku 'Ayah'. Jaulah saya ke maninjau dan sedikit pengetahuan tentang adat orang minang banyak membantu saya menggambarkan apa yang diceritakan oleh Irfan Hamka dalam buku 'Ayah'.
Kemudian kami ke Kutub Khanah. Di sini letaknya makam ayahanda Buya Hamka, Karim Abdullah. Kami bertemu nek Salmah di sini. Walaupun sudah tua, tapi ingatannya masih kuat, masih boleh bercerita salah silah keluarga dan kenangan beliau bersama Buya Hamka. Apa yang lagi menarik, nek Salmah merupakan alumni Diniyyah putri!
Hari ketiga pengembaraan kami, kami telah ke Teluk Bayur sejurus pulang dari perguruan ar-risalah. Kami duduk sambil menikmati pemandangan laut yang luas terbentang. Di sini, kami mengenangkan nasib saudara Rohingya. Cuba menghayati penderitaan mereka yang terpaksa meredah badai lautan dengan menaiki bot yang sarat dengan manusia. Sudah tentu ada yang terjatuh ke dalam laut, yang di atas bot pula tidak ada makanan. Bagaimana pula nasib yang tertinggal di sana. Semoga kita semua lebih peka akan nasib saudara Rohingya kita.
|
Teluk Bayur |
Pada hari terakhir kami di Bukitinggi, kami singgah di rumah kelahiran Bung Hatta. Beliau merupakan bapa kemerdekaan Indonesia. Kami sungguh tertarik dengan rumah ini yang manggabungkan ciri Belanda dan ciri tempatan. Di sini, kami dapat lihat gambar-gambar lama Bung Hatta yang membawa kita menghayati perjuangan insan hebat ini.
Seperti biasa, emak saya suka sangat lihat peralatan-peralatan di dalam rumah ini yang banyak persamaan dengan rumah neneknya. Dengan tempat simpan berasnya, dapur dan tempat simpan barang.
|
Emak bergambar dengan tempat simpan barang di rumah kelahiran Bung Hatta. Bekas ini sama seperti yang pernah dipunyai neneknya |
Di masa-masa terakhir sebelum kami berangkat pulang, kami selesaikan aktiviti beli belah kami di sini. Di sini, banyak barang boleh didapati dengan harga yang murah seperti kain sulam, kain batik, dan barang-barang kraftangan. Saya dan emak telah membeli beberapa telekung sulam di sini. Bila bawa pulang, kakak beritahu kepada kami, jenis telekung yang kami beli, harganya RM 200 di Malaysia. Dan kami telah beli dengan harga RM 95 di sana. Seronoknya membeli-belah di sana.
Alhamdulillah....sesungguhnya pengalaman mengembara ke Padang Panjang dan Bukittinggi ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga buat saya. Tidak semuanya dapat saya ceritakan di sini. Rasailah sendiri pengalamannya.
|
Menikmati pemandangan matahari terbenam di Pantai Manis |