Monday, May 25, 2015

Mak Ngah...

Rumah peninggalan arwah nenek

Hujung minggu baru ni saya balik kampung Losong, di Kuala Terengganu. Pertama kali saya balik kampung selepas mak ngah pulang ke rahmatullah. Mak ngah saya, Allayarhamah Hasmah Jusoh telah meninggal dunia pada 11 Januari 2015 di Mekkah. 

Mak ngah adalah ibu saudara saya yang paling rapat dengan kami adik beradik. Mak ngah tak punya suami mahupun anak. Beliau pernah berkahwin di usia mudanya, namun, jodohnya tak panjang, perkahwinan beliau berakhir dengan penceraian. Beliau pernah ada anak, tapi meninggal dunia di usia kecil. 

Begitu banyak jasa mak ngah kepada kami. Beliau lah yang menjaga abang sulong saya dan kakak saya yang kedua ketika ibu saya sedang menuntut di UK. Bersama dengan nenek. Mak ngah dan nenek juga jaga kami sewaktu ayah dan ibu menunaikan haji. Namun, saya kurang hargai mak ngah dulu. Apa yang kami ingat, mak  ngah garang. Biasalah, budak kecil mana tahu apa-apa. Sekarang saya rindu mak ngah. Sedih bila balik kampung tapi mak ngah tiada. 

Gambar bersama mak ngah di Genting Highland

Saya masih ingat, sewaktu saya masih menuntut di universiti, pernah saya bawa beberapa orang kawan  balik ke kampung Losong untuk bercuti di Terengganu. Saya bawa kawan-kawan saya ke tempat-tempat menarik di Kuala Terengganu. Mak ngah sangat senang menerima kedatangan kami. Awal-awal pagi lagi, mak ngah sudah keluar untuk belikan kami nasi lemak ikan dan beli pelbagai jenis kuih untuk kami. Sebelah malam pula, mak ngah jamu kami dengan buah durian. 

Pada hari kedua, kawan-kawan saya ke tasik kenyir. Tapi saya tidak turut serta kerana mahu luangkan masa dengan mak ngah di rumah. Kami telah ke bandar Kuala Terengganu dengan menaiki teksi. Ketika di pasar, ada penjual sayur menegur, "anok mu ke mek moh?". Mak ngah hanya senyum. Saya juga cuma berbalas senyum dengan penjual itu. Dalam hati saya berbisik, mungkin mak ngah lebih senang hati jika kawan-kawannya di pasar fikir saya anaknya. Sedih bila mengenangkan. Mak ngah belikan saya tudung. Selepas makan nasi air, kami berdua pulang ke rumah nenek dengan menaiki van salah seorang penjual di pasar itu. Itulah kenangan yang paling saya ingat bersama mak ngah. 

Mak ngah saya berbakat orangnya. Hasil tenunan songket beliau sangat ekslusif. Beliau juga sangat hebat masak gulai dalam kawah. Waktu abang saya berwalimah, mak ngah lah yang jadi chief chef nya. Semua tetamu memuji-muji gulai daging mak ngah. 

Pada Januari yang lalu, mak ngah berpeluang menjadi tetamu Allah.  Saya tidak sempat untuk berjumpa dengan mak ngah sebelum dia berangkat kerana exam sangat dekat. Hanya mak saya dan adik saya, Munirah sempat berjumpa dengan mak ngah di airport. Mak cerita, sewaktu nak berangkat, mak ngah risau baju yang dibawanya tidak mencukupi. Sedangkan ayah long komen, mak ngah bawa terlalu banyak baju. Gayanya macam nak ke sana selama-lamanya. "mak ngah, doakan mun dapat keje ya?", pesan Munirah kepada mak ngah ketika di airport. "Mu dok dapat keje lagi?", sambut mak ngah. Munirah menggeleng. "Mak ngah doakan",jawab mak ngah.

Kali terakhir mak bertemu mak ngah di airport

Mak ngah pernah menghubungi ibu ketika di Madinah. Suaranya ceria. Arwah telefon untuk maklumkan kepada ibu, bahawa beliau akan bertolak ke Mekkah. Dalam minggu yang sama, ibu mendapat berita yang mak ngah telah pergi buat selama-lamanya. Arwah sempat, menunaikan ibadah umrah sebelum pulang menghadap al-Khaliq. 

Arwah meninggal dunia di hotel sewaktu mak long ke masjidil haram. Mak ngah tidak solat di masjid malam tu kerana dia agak tidak sihat sejak siang harinya. Sudah dipesan oleh ayah long, tidak perlu lah mak ngah ke Jaaranah esoknya untuk pasang niat umrah lagi memandangkan beliau tidak sihat. Tetapi mak ngah tetap berkira-kira mahu ikut esok. Sampaikan beliau sudah pun mencari orang yang boleh diupah menolak beliau menggunakan kerusi roda ketika melakukan umrah nanti. Siapa sangka, itulah hari terakhir mak ngah bernafas di dunia ini.

Urusan jenazah mak ngah di sana sangat mudah. Tambahan pula, mak ngah ke Mekkah dengan abang kandungnya, ayah long. Turut sama adalah anak-anak saudara lelaki beliau(anak ayah long, sepupu saya). Sesudah dimandikan dan dikafankan, jenazah telah dibawa ke masjidil haram untuk disembahyangkan. Almarhum telah disembahyangkan oleh ribuan jemaah di situ. Ayah long dan sepupu saya bersama-sama dengan petugas dari Arab Saudi menyelesaikan urusan pengkebumian.

Sampai sekarang, saya masih tidak percaya mak ngah sudah tiada. Berkat doa mak ngah, Munirah sekarang sudah dapat kerja. Saya berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah mak ngah, mengampunkan dosanya dan meletakkan beliau di kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah buat mak ngah...

Gambar terakhir saya dan adik saya bersama mak ngah

1 comment:

  1. Rindu mak ngah. nasib sempat snap gambar last tu buat kenangan.

    ReplyDelete