Orang kata, bila kita berjumpa dengan orang yang berbuat baik dengan kita, itu adalah rezeki kita. Dan juga, orang yang berbuat baik di saat-saat perbuatan baik itu amat diperlukan orang, itu juga rezeki buat orang yang berbuat baik itu. Rezeki apa? rezeki untuk dapat pahala. Tiada orang yang tahu amal perbuatan dia yang mana yang membolehkan dia masuk ke syurga.
Kita pasti berpengalaman berjumpa dengan orang baik. Selalunya, kita akan sangat terkesan jika orang yang berbuat baik dengan kita tu, adalah orang yang tidak kita kenali pun sebelum ini.
Saya ada satu kisah yang saya masih ingat sampai sekarang. Kisah ni berlaku 3 tahun yang lepas. Masa tu, saya bekerja di Sungai Petani, di Kedah. Saya lalui banyak kenangan manis sepanjang berkhidmat di sana. Waktu tu, saya selalu mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti outdoor seperti berkelah di air terjun, mendaki bukit dan gunung. Bukit yang selalu saya panjat adalah Bukit Semarak.
Tersebutlah kisah, saya pernah panjat bukit tu beramai-ramai dengan kawan-kawan saya. Tetapi, dalam perjalanan, kami berpecah. Ada yang sampai ke puncak dulu, ada yang tak teruskan sampai ke puncak, ada juga yang sampai puncak tapi tiba lambat.
Kelompok saya sampai ke puncak, tapi lambat. Kawan-kawan yang sudah sampai dulu, turun bukit sebelum kami. Apabila kami hendak turun bukit, entah macam mana, kami tersalah jalan.
Sampailah kami jejak kaki ke kaki bukit, tapi tempat yang kami turun tak sama dengan tempat kami mula-mula mendaki tadi. Ya Allah....masa tu, kami sungguh buntu. Tak tahu nak buat macam mana. Nak mendaki bukit semula, memang tak sanggup. Bekalan air juga dah habis. Matahari sudah tegak di atas kepala.
Tempat kami berdiri waktu tu adalah tempat yang asing buat kami. Kami menapak tanpa ada arah tujuan. Sampailah kami ke kawasan perumahan.
Dari kejauhan, kami nampak seorang brother tengah ambil barang dari kereta dia. Kami mendekatinya dan bertanya,
" abang, ni kat mana ya? kami ni baru turun dari Bukit Semarak tapi tadi kami naik dari tempat lain.."
Daripada brother tu, tau lah kami, sekarang kami berada di Tikam Batu. Agak jauh juga untuk ke tempat kami parking kereta. Kami berpandangan sesama sendiri, brother tu pula terus masuk ke dalam rumah.
Kami berjalan lagi. Ada beberapa remaja lelaki menunggang motor. Saya tahan adik tu. Saya tanya kepadanya, ada tak teksi kat situ. Adik tu terus tinggalkan kami. Ketika tu, kami rasa sungguh kecewa. Dalam hati hanya berdoa kepada Allah.
Tak lama selepas tu, adik yang membawa motor tadi datang lagi tapi kali ni, diekori oleh sebuah kereta kancil. Rupa-rupanya, adik yang tadi tu panggil jirannya yang ada kereta. Jirannya itu lah yang tolong menghantarkan kami ke tapak di mana saya parking kereta dan memulakan pendakian.
Subhanallah...kami sangat bersyukur kerana dalam keadaan yang sangat memerlukan tu, Allah datangkan seseorang yang sudi menolong. Ingin rasanya bagi duit minyak kat anak muda yang membantu kami tu, tapi masa tu, duit pun kami tak bawa. Adik tu juga faham dan tak minta apa-apa balasan.
Setelah sampai, kami sempat bergambar dengan beliau yang sudah saya lupa namanya. Tak kira di mana dia berada sekarang, saya mendoakan Allah murahkan rezeki beliau. Sama-sama kita berdoa semoga sentiasa bertemu dengan orang baik dan berdoa kita juga jadi orang yang baik.
'Dan berbuat baiklah kerana sesugguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik'- Al-Baqarah: 195