Monday, October 10, 2011

Kehidupan Baru



Syukur itu ada banyak caranya. Salah satunya ialah dengan mengiktiraf nikmat itu dengan perkataan. Saya sangat bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan buat saya, terutamanya, atas nikmatNya yang paling besar iaitu nikmat iman dan Islam.

Alhamdulillah, sudah seminggu saya memulakan hidup yang baru di sebelah utara tanah air. Di sini saya tinggal bersama keluarga abang. Jadi, walaupun emak dan ayah jauh di mata, saya tidak berasa sendirian. Selain ahli keluarga, saya juga dikelilingi oleh akhawat yang comel-comel dan baik-baik. Sebenarnya, saya baru sahaja berkenalan dengan mereka dalam satu halaqah. Subhanallah..baiknya mereka, kami bertaaruf sambil makan nasi lemak dan kuih karipap. Teringat pula memori usrah di rumah naqibah semasa menuntut di universiti dulu. Setiap kali usrah, ada sahaja hidangan tersedia buat kami semua. Yang paling best ialah teh 'O panas. Wah! rindunya! Mungkin saya patut sediakan teh 'O panas buat mereka pula di pertemuan minggu hadapan. =D

Hujung minggu ini, saya tidak bekerja. Alhamdulillah, dapatlah saya menghadiri usrah gabungan bulanan. Di dalam pertemuan ini, kami belajar tentang sirah. Antara banyak-banyak pengisian, saya paling suka topik sirah kerana ia mampu membuka minda saya. Saya boleh mempelajari sesuatu yang baru disebalik perkara yang saya sudah tahu. Maaf ya, ayat berbelit =P

Selama ini, saya sudah tahu bahawa Rasulullah terpaksa mengharungi pelbagai dugaan demi menyebarkan Islam. Sebut sahaja semua jenis ujian, semuanya sudah Rasulullah lalui. Terlalu banyak. Baginda dihina, diancam, diletakkan najis di atas kepala, difitnah, diboikot. Tidak cukup dengan itu, orang musyrikin Mekkah siap mengadakan mensyuarat untuk berbincang tuduhan apakah yang paling sesuai untuk dilemparkan terhadap Rasulullah.

Justeru, mereka memanggil Al- Walid Ibn Mughirah untuk mengetuai perbincangan ini. Tahukah anda siapa Al-Walid Ibn Mughirah itu?Anda kenal Khalid Al-Walid?Haa!Al-Walid Ibn Mughirah merupakan bapa kepada Khalid Al-Walid, pahlawan perang yang hebat itu. Al-Walid Ibn Mughirah merupakan lelaki Quraisy yang sangat berpengaruh di dalam masyarakat musyrikin Mekkah kerana selain berilmu dan berharta, beliau juga memiliki banyak anak lelaki.

Di dalam perbincangan itu, mereka ingin menuduh Rasulullah seorang bomoh, tetapi Al-Walid menolak cadangan itu kerana beliau kenal akan semua jenis mentera yang selalu dibaca oleh bomoh. Kemudian mereka ingin mengatakan Rasulullah itu orang gila, tetapi Al-Walid tidak bersetuju. Lantas, mereka mengatakan bahawa Rasulullah merupakan seorang penyair, namun, Al-Walid menolak kerana dia kenal dengan semua jenis syair. Akhirnya, mereka menetapkan bahawa Rasulullah merupakan tukang sihir kerana kata-kata Rasulullah mampu menukar pendirian seseorang. Begitulah, betapa bersungguh-sungguhnya kaum musyrikin Mekkah berusaha untuk menyekat dakwah Nabi Muhammad S.A.W. Kemudian, Allah menurunkan ayat di bawah ini khusus buat Al-Walid Al-Mughirah;

74:11

Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak
74:12




Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,

74:13
Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.
74:14
Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya
74:15
Kemudian dia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;
74:16
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).
74:17
Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya
74:18
Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran
74:19
Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?
74:20
Sekali lagi: Binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?
74:21
Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali: Jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi dia gagal);
74:22
Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut;
74:23
Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,
74:24
Serta dia berkata: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya
74:25
Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!
74:26
Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam Neraka Saqar.


(Surah Al-Muddathir ayat 11-26)


Ya!memang kita sudah pernah dengar tentang semua ini bukan? Cuma, mungkin kita terlupa detail mengenainya. Tetapi, pernah atau tidak, sepanjang hayat kita, kita bertanya, kenapa sampai begitu sekali kaum musyrikin Mekkah menentang apa yang dibawa oleh Rasulullah. Apa sebenarnya yang dibawa oleh Rasulullah?Adakah kerana Rasulullah mengajak masyarakatnya berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti berkata benar, menghormati sesama manusia dan sebagainya? Jika itu sahaja, tidak lah mereka marah. Bukankah kerana akhlak mulia Rasulullah lah, baginda disukai?

Atau, adakah kerana Rasulullah mengajak mereka menunaikan solat,berpuasa dan membayar zakat? Tetapi perintah untuk melaksanakan ibadah tersebut hanya setelah 10 tahun baginda berdakwah. Jadi, mengapa daripada awal mereka menentang dakwah nabi. Jawabnya, apa yang dibawa oleh nabi, ialah kalimah Laailaahaillallah.

Mereka cukup memahami maksud kalimah ini. Abu Jahal yang jahil itu sangat mengerti akan makna Laailaahaillah ini. Ia bukan hanya bererti tiada tuhan selain Allah. Kalimah ini tidak dapat ditafsirkan dengan hanya satu rangkap kata. Laailahaillah membawa makna, ketundukan, penyerahan hanya untuk Allah, satu-satunya zat yang menguasai alam semesta ini. Seseorang yang benar-benar faham akan kalimah ini akan mengambil Islam secara keseluruhan. Mereka tidak akan pilih-pilih. Mereka akan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Jika kita tidak faham akan apa yang dituntut oleh kalimah Laailahaillah ini, bermakna, kita lebih jahil daripada Abu Lahab.

Oleh sebab ini lah juga, dalam Usul 10 Imam Hassan Al-Banna, perkara pertama yang digariskan ialah mengambil Islam secara syumul. Kemudian baru lah ketaatan kepada Al-Quran dan As-sunnah. Jadi, jika kita mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, sepatutnya kita cuba sedaya upaya menjadikan Islam sebagai ustaziyatul alam, dimana, segala aspek hidup dijalankan berlandaskan ajaran Islam, termasuk pentadbiran, undang-undang dan ekonomi. Jika semua ini diambil kira, baru lah kita merasa betapa beratnya tanggungjawab yang kita sebagai hamba Allah dan pengikut Nabi Muhammad S.A.W. Maka terjawablah persoalan kita, kenapa hidup kita begitu selesa.


Jadi, saya tinggalkan anda semua dengan persoalan ini, mengapa kehidupan kita tidak sesukar kehidupan Rasulullah?


Tuesday, September 6, 2011

Ramadhan Yang Pergi

Bulan Ramadhan yang mulia baru saja meninggalkan kita. Adakah Ramadhan yang sudah berlalu itu berjaya mendidik diri kita menjadi seorang muslim yang bertakwa? Marilah kita muhasabah diri kita...

Tahniah bagi yang sudah berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzuk sepanjang Ramadhan yang lalu. Namun, setelah Ramadhan sampai ke penghujungnya, adakah kita masih membaca Al-Quran? Bila kali terakhir kita memegang Al-Quran?
Bagaimana pula dengan ibadat-ibadat sunat yang tidak kita tinggalkan sepanjang bulan Ramadhan seperti solat sunat rawatib, solat sunat dhuha, solat tahajjud....
Kenapa ya..habis sahaja bulan Ramadhan, kita menjadi malas? Bukankah bulan Ramadhan sepatutnya menjadi penjana semangat kita untuk taat beribadah kepada Allah sepanjang tahun?

Ramadhan yang lalu, saya berpeluang untuk merasa pengalaman beribadah di tanah haram. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat bernilai. Itulah rezeki daripada Allah buat saya. Sesungguhnya, duit kita yang tersimpan di dalam bank, di dalam dompet, atau dalam tabung bukanlah harta milik kita selagi ia belum dibelanjakan, dan sebaik-baik harta adalah harta yang dibelanjakan ke jalan Allah.

Saya pergi mengerjakan ibadah umrah di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan(20 August-3 September 2011). Saya tidak pernah terfikir untuk pergi ke Mekkah pada bulan Ramadhan. Bagi saya pergi pada bila-bila masa pun tidak apa. Janji dapat pergi ke sana. Tetapi Allah telah memberikan yang terbaik untuk saya. Syukur alhamdulillah.

Sepanjang berada di sana, kami sentiasa sembahyang fardhu di masjid Nabawi(jika berada di Madinah) dan solat di masjidil Haram(jika berada di Mekkah). Kami tidak mahu terlepas solat fardhu di masjid kerana pahala bersembahyang di masjid Nabawi adalah seribu kali ganda daripada solat di tempat lain kecuali masjidil haram. Lantaran itu, tiada kedai yang dibuka ketika solat fardhu. Pelanggan yang masih tidak berganjak meninggalkan kedai semasa azan dilaungkan akan diingatkan oleh tuan kedai untuk ke masjid sementara beliau bersiap sedia untuk menutup kedai; " solah ya hajjah".

Disamping beriktikaf, kami berbuka puasa di masjid. Selepas solat isyak, kami ikut solat terawih sebanyak 20 rakaat. Solat terawih di sana habis seawal jam 10 malam. Tidak seperti di Malaysia, solat terawih di sana sangat pantas walaupun bacaannya panjang. Tiada selawat atau tahlil untuk arwah diadakan selepas isyak. Setelah solat terawih kami pulang ke hotel untuk tidur. Seterusnya, jam 1 pagi, kami ke masjid lagi untuk solat tahajjud 20 rakaat. Biasanya, solat tahajjud berjemaah akan habis jam 3 pagi. Doa di dalam solat witir adalah sesuatu yang saya nanti-nantikan. Hati saya cukup tersentuh dengan doa yang imam baca. Terutamanya bila ada disebutkan minta Allah jauhkan azab seksa api neraka dan memberikan kita syurga dengan rahmat kasih sayang Allah. Minta dengan bersungguh-sungguh, dengan menyebut semua nama-nama Allah, dengan merintih, menyedari betapa kerdilnya diri ini di pandangan Allah, menyedari diri ini penuh dengan dosa. Subhanallah...
Habis solat witir, kami pulang ke hotel untuk bersahur. Kemudian, kami ke masjid lagi untuk solat subuh. Selalunya kami akan pulang selepas Subuh untuk merehatkan badan dan pergi lagi ke masjid sebelum waktu Zohor dan terus iktikaf di masjid sehingga terawih. Seterusnya perkara yang sama berulang setiap hari. Kecuali jika berada di Mekkah, kadang-kadang kami ke miqat untuk berniat umrah dan mengerjakan umrah menjelang Asar.

Selepas pulang ke Malaysia, tiada lagi jadual harian seperti ini. Seorang hamba Allah tidak sepatutnya hanya menyembah Allah dan mengabaikan tanggungjawabnya yang lagi satu iaitu menjadi khalifah di muka Bumi ini. Moga kedua-duanya berjalan seiring. Dengan berhenti beramal di bulan-bulan yang lain akan menunjukkan yang diri kita ini sama seperti kebanyakan orang. Jika kita ingin dilihat oleh Allah sebagai hambanya yang sentiasa mencari redhaNya, haruslah kita beribadah kepada Nya dengan mengharapkan redha Ilahi, bukan semata-mata mengharapkan pahala daripada Nya. Kerana, bukan pahala yang kita kumpulkan yang akan membawa kita ke syurga, tetapi sifat pengasih dan penyayang Allah sahaja yang membolehkan kita ke sana. Allahualam..



Memori Umrah 2011


Friday, July 22, 2011

Atjeh, a Spiritual Gateway

Alhamdulillah, masa saya yang terluang terisi dengan aktiviti yang memberi pengalaman bermakna. Saya dan rakan telah mengikuti program Bakti Ikhlas Siswazah Acheh 2011. Kami telah berada di sana selama 4 hari(15-18 Julai 2011).




Sebelum tiba di sana lagi, saya sudah teruja untuk menjejakkan kaki di Banda Acheh. Saya begitu berminat untuk ke sana bukan sahaja kerana ingin melihat kesan tinggalan Tsunami yang membuktikan kebesaran Allah S.W.T, tetapi juga, tinggalan sejarahnya yang sangat bernilai. Melalui pembacaan saya setelah mencecah usia dewasa ini, saya baru sahaja tersedar betapa penting untuk mengenal jati diri bangsa sendiri. Saya berbangga dilahirkan sebagai orang Melayu. Sebuah bangsa yang begitu berani memperjuangkan agama Islam yang dianuti sehingga Islam dapat diwarisi oleh generasi hari ini.


Setiap negeri di Nusantara ini memiliki kisah perjuangan anak bangsa dalam perjuangan menentang penjajah yang bukan sahaja mempunyai misi untuk merampas tanah penduduk tempatan, tetapi juga bermatlamat untuk menukar agama yang dianuti bangsa ini daripada Islam menjadi Kristian. Oleh kerana sifat kepahlawanan berbekalkan keimanan generasi terawal yang jitu, hari ini kita dilahirkan sebagai muslim. Seseorang pernah berkata,"Islam tidak diwariskan kepada kita secara percuma tetapi dengan darah dan air mata".


Saya bergambar sebelah pameran pahlawan Acheh. Antaranya ialah  Cut Nyak Dien

Acheh juga merupakan salah satu negeri yang sarat dengan cerita perjuangan. Bumi ini gagal dijajah oleh Belanda bukan kerana tiada usaha yang bersungguh-sungguh daripada pihak Belanda, tetapi semangat juang rakyat Acheh menggagalkan segala usaha Belanda. Kehebatan rakyat Acheh terbukti dengan catatan sejarah perang Acheh yang berlarutan selama 30 tahun sehingga akhirnya Acheh menjadi kubur terbesar askar-askar Belanda dalam sejarah imperialisnya.


Disambut oleh Orang Acheh
Sesampainya kami di Bandara(lapangan terbang), kami disambut oleh Pak Rafar. Kami terus dibawa ke Persantren Dayah Daruzzahidin, Gampong Lamceu, yang merupakan sekolah menengah. Di sinilah kami akan menumpang dan di sini jugalah kami akan  menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan secara percuma dan program berkhatan beramai-ramai. Belum pun sempat berkenalan dengan semua santri(pelajar perempuan) yang satu dorm dengan kami, kami terpaksa minta diri untuk keluar ke bandar Banda Acheh.


Terlebih dahulu kami singgah di sebuah kedai kopi. Memang ramai yang minum kopi di sini. Rata-ratanya sedang minum kopi sambil manjamu kuih-muih. Tidak lama selepas kami duduk, kami dihidangkan dengan kuih-muih yang pelbagai. Kuih-muih di sini sangat menarik. Ada roti jala yang berinti pengat durian, kuih lapis yang macam dodol, kuih keria berbentuk kuih mek comel, apam dan macam-macam lagi.




Saya bukanlah penggemar kopi tetapi di kedai ini, saya order kopi. Saya mahu mencuba bagaimana rasanya kopi Ulee Kareng, kopi Acheh yang sangat popular itu. Dikatakan 30% kopi di Starbuck(kedai kopi terkemuka di serata dunia) adalah merupakan kopi Acheh ini. Sedang saya menikmati kopi ini, teringat pula kisah perjuangan rakyat Acheh yang menentang penjajah Belanda lantaran terpaksa mengikuti sistem Tanaman Paksa yang diperkenalkan oleh Belanda. Mengikut sistem ini, petani-petani di Sumatera Barat dikehendaki menanam kopi dan menjualnya kepada kerajaan Belanda pada harga yang rendah. Mereka juga terpaksa membayar cukai atas tanah mereka sendiri. Faktor-faktor ini telah membakar semangat juang rakyat Acheh yang menyebabkan bumi ini tidak berjaya dijajah oleh pihak Belanda. Rupa-rupanya, sehingga hari ini, Acheh masih mengeluarkan kopinya yang bermutu tinggi.
Kopi Ulee Kareng
Masjid Yang Gagah
Usai minum petang, kami dibawa bersiar-siar di Banda Acheh. Perkara utama yang menarik perhatian saya semasa bersiar-siar di pekannya adalah masjid Baiturrahman. Masjid ini begitu gah berdiri walaupun sudah lanjut usianya. Ia adalah antara masjid yang terselamat dalam kejadian Tsunami pada 26 Disember 2006. Syukur, saya sempat menunaikan solat Maghrib dan Isyak di sini. Sesungguhnya masjid ini telah banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melanda orang-orang Acheh.


Terima kasih kepada pembaca yang peka. Ini adalah gambar sebenar masjid baiturrahman selepas kejadian tsunami


Pemandangan masjid Baiturrahman yang dirakamkan dalam lawatan kami setelah 7 tahun kejadian Tsunami
Selain peristiwa Tsunami, masjid yang pernah dipertahankan dengan gagah oleh Teuku Hashim(seorang pahlawan Acheh) ini, pernah dibakar oleh pihak Belanda dan akhirnya berjaya ditawan oleh Belanda pada tahun 1875. Namun, rakyat Acheh yang tidak menganggap ini sebagai satu kekalahan telah mengepung pihak Belanda sehingga mereka melarat dan kehilangan ramai tentera, ditambah pula dengan penyakit taun yang melanda ketika itu. Akhirnya, masjid ini diambil kembali oleh rakyat Acheh sehingga kekal ke hari ini.


Di dalam surat Teuku Hashim, Sri Muda Perkasa Panglima Polem, Sri Setia Utama dan Seri Muda Setia yang diutus kepada pemerintah-pemerintah Acheh ada menyebut;
"Empat mukim iaitu Lheu dan masjid Raya, Masjid Lheung Bata, Gigieng dan Lhok Gulong dab sebahagian daripada kawasan Meuraksa telah ditawan. Bagaimanapun, insyaAllah sebagaimana ketaatan kita kepada Allah dan RasulNya, kita wajib bertahan siang dan malam; meskipun kita hanya tinggal setanah nyiru(kelapa) (pen. Tanah sekangkang kera) kita wajib terus berperang. Itulah perjanjian semua anggota masyarakat dari segi (daerah), ulama, para haji dan semua umat Islam. Oleh itu, jika kamu saudara kami, masih taat kepada Allah dan RasulNya, masih mahu menegakkan ajaran Nabi Muhammad s.a.w dan masih berhasrat untuk bergabung dengan kami semua di bawah panji-panji  Aceh, kamu saudara kami, mesti memerangi mereka sekuat kemampuan kamu demi mempertahankan ajaran Nabi Muhammad s.a.w dan agama rakyat Acheh." 
(Masjid raya yang disebut di dalam surat ini ialah masjid Baiturrahman. Manakala mukim Lheu menempatkan masjid Baiturrahim yang turut kami lawati)


Kekuatan rakyat Acheh telah membuka mata pihak Belanda dan mendesak mereka untuk memahami apakah Islam itu sendiri dan bagaimana ia menjadi sumber kekuatan yang ampuh kepada umat Islam.


Masjid Baiturrahim yang terletak di Ulee Lheu, salah satu mukim yang ditawan Belanda pada tahun  1875
Kami turut melawat Masjid Lampuuk. Sebuah lagi masjid yang terselamat ketika peristiwa Tsunami
Tiada apa yang tertinggal di sekitar masjid Lampuuk(semasa Tsunami)

Gambar ini diambil semasa lawatan kami

Damai Itu Indah
Dimana-mana sahaja di dalam bandar ini, kami ternampak slogan 'damai itu indah' dipamerkan. Sememangnya kami berasa damai apabila berada di sini. Dengan pandangan mata kasar sahaja, kami dapat lihat rakyat Acheh benar-benar menjalankan syariat Islam. Saya gembira melihat semua wanita Acheh berjilbab. Malah, kami ditegur ketika berada di masjid Baiturrahman,supaya tidak mengenakan celana(seluar) kerana ia menyerupai lelaki, melainkan seluar yang dipakai longgar.




Ada seorang sahabat saya yang ditegur secara direct kerana mahu mengambil buku yang baru dibeli dengan tangan kiri. Subhanallah, hati ini begitu terharu dengan sikap amar makruf nahi mungkar yang ada dalam diri orang-orang Acheh. Semoga Allah memberkati ketulusan hati mereka.


Tinggalan Tsunami
Walaupun kejadian Tsunami sudah 7 tahun berlalu pergi, namun ingatan rakyat Acheh pada peristiwa itu masih tetap utuh.


“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan,”Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.” Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”.
 [al Baqarah 155-157]
Pak cik ini bercerita, semasa peristiwa Tsunama, beliau hampir ditanam kerana  disangkakan sudah tidak bernyawa. Namun, walaupun tidak berdaya, digagahkan juga tangannya untuk memberitahu orang di situ bahawa dia masih hidup.


Muzium Tsunami
Kami singgah di kuburan Massal yang menempatka kira-kira 30,000 korban Tsunami. Dikatakan jenazah mereka ditanam bertindih-tindih. 
Saya bergambar di depan bangunan yang musnah disebabkan Tsunami
Sebuah kapal janakuasa elektrik hanyut sejauh 4 km ke darat , dibawa oleh ombak Tsunami yang melanda Aceh pada December 2004


Gambar ini diambil dari atas kapal janakuasa tersebut. Di kawasan bukit bukau itulah pantai, tempat asal letaknya kapal ini.
Bayangkanlah, betapa dahsyatnya Tsunami sehinggakan 200,000 jiwa meregang nyawa dihentam ombak laut raksasa. Semua manusia bertempiaran lari, termasuk juga yang menghidap penyakit strok yang sepatutnya tidak mampu berjalan sekalipun.

Ukhuwah yang Terjalin
Walaupun waktu untuk kami bersama-sama dengan santri di pesantren sangat singkat, namun ukhuwah yang terbina sangat rapat. Mereka sangat ramah melayan kami semua. Setiap kali bertembung pasti salam akan diberikan diiring dengan senyuman yang manis. Saya berasa sangat seronok ketika berbual dengan mereka, melayan soalan mereka yang tidak habis-habis. Kami juga solat subuh bersama-sama. Setiap kali selepas solat Subuh, mereka akan mengalunkan zikir Ya Rabbi bil Mustafa dalam bahasa Arab diikuti dalam bahasa Melayu.


YA RABBI BI AL-MUSTAFA BALLIGH MAQASIDANA
WA IGHFIR LANA MA MADA YA WASI`A AL-KARAMI
'sampaikanlah niat kami dengan berkat nabi pilihan ampunkanlah dosa kami dengan murahmu wahai tuhan'


Rasanya sangat gembira dapat berzikir bersama mereka. Saya terfikir juga, cuma inikah zikir yang dibaca sehari-hari. Adakah mereka diajar zikir Al-Mathurat yang menjadi amalan Rasulullah. Atau mereka membacanya di lain waktu yang tidak sempat saya sertai. Soalan ini tidak pula saya tanyakan dan rasanya tidak perlu pun untuk saya bertanya kerana ilmu agama Islam yang mereka pelajari jauh lebih banyak daripada saya yang membuat saya rasa malu. Mereka boleh bertutur dalam Bahasa Arab dengan baik. Tiada televisyen yang boleh melalaikan mereka daripada menuntut ilmu pengetahuan. Kelas tafsir juga sudah bermula seawal selepas Subuh pada hari hujung minggu. Subhanallah..saya doakan adik-adik ini berjaya di dunia dan akhirat.




Terima Kasih Daun Keladi
Ribuan terima kasih diucapkan kepada keluarga Pak Rafar, doktor-doktor dari Bulan Sabit Merah Indonesia(BSMI) dan adik-adik di Dayah Daruzzahidin, atas kesudian kalian menerima kedatangan kami. 


Di rumah Pak Rafar dan Ibu Hindun. 


Bergambar di depan rumah sakit BSMI

Bergambar kenang-kengangan bersama murid-murid di Dayah Daruzzahidin
BISA 2011

Wednesday, June 29, 2011

Jangan Menipu

Hari ni saya dan Hannah mahu buat cinnamon roll. Hannah begitu bersemangat mahu menolong:).Sambil tu, saya rendam ikan keli untuk masak petang nanti. Ikan keli ni sudah lama berada dalam peti sejuk. Saya tangkap ikan ni di kebun seorang kawan di Janda Baik masa saya dalam semester 9 (time student dulu.huhuhu). Kira-kira dah 6 bulan juga. Tak sedar masa yang berlalu. Ikan keli ni belum habis lagi rupanya, banyak sangat yang saya tangkap tempoh hari. Tengok ikan keli ni, teringat kawan saya yang bermurah hati tu (terima kasih Hazirah Mohd.Nor!).Semoga kolam ikan kelinya membiak-biak dengan banyak lagi.hihi... 
Bila terpandang ikan keli di dalam sinki, Hannah pun tanya: ni ikan apa mak teh?
Mak teh: ikan keli. Ingat tak, ikan yang lompat-lompat tu?(teringat masa bawa balik ikan ni dulu, Hannah bertempiaran lari sebab ikan ni berenang-renang atas lantai dapur):)
Hannah: ikan ni hidup lagi ke mak teh?
Mak teh: dah mati dah
Hannah: kenapa ikan ni dah mati(seperti biasa, Hannah yang banyak tanya. huhuhu...Hannah oh Hannah)
Mak teh: sebab mak teh letak ikan ni dalam peti ais. Sebab tu la ikan ni dah mati (jawab saya dengan penuh kesabaran)
Hannah: kenapa letak dalam peti ais, ikan ni mati?
Saya tak jawab, sebab mahu fokus sukat bahan untuk buat cinnamon roll. 

Hannah: mak teh, kenapa bila letak dalam peti ais ikan tu mati?(pertanyaan diulang)
Huhuhu..terpaksa jawab juga.

Mak teh: sebab ikan dah keras (malas nak jawab lebih-lebih, nanti lagi bertalu-talu soalannya).
Hannah: kenapa kalau keras ikan tu mati?
Senyap..

Hannah: Mak teh!!
Saya dah tak larat mahu jawab:I

Mak teh: Hannah kacau susu dengan butter ni nak?
Hannah: nak2!
                                          Ini gambar hiasan je:)

Tak lama lepas tu,

Hannah: mak teh, ikan ni hidup lagi ke? Tu..gerak!(setiap kali saya buka paip, ikan tu nampak macam bergerak-gerak)
Mak teh: tak lah ikan tu dah mati.
Apabila saya meng-uli tepung, Hannah pun sibuk mahu buat. 

Hannah: mak teh Hannah nak buat?
Mak teh: tak boleh, tangan Hannah kotor.
Hannah: Hannah nak basuh tangan(terus dia ke sinki, sambil mata masih menjeling ikan di dalam sinki). Mak teh, ikan ni hidup lagi ke?
Mak teh: ikan tu dah nak hidup dah. Sebab Hannah asyik tanya je:P
Sekelip mata, Hannah lari bertempiaran. Takutnya dia kalau ikan itu masih hidup. 
Alhamdulillah, bagus juga, tak ada la orang nak menyibuk lagi. Heheh..
Tetapi, selepas 10 minit, Hannah datang lagi.
Hannah menyibukkan diri di meja yang saya tinggalkan tepung tadi. Saya risau kalau dia main dengan tepung itu.

Mak teh: Hannah buat apa tu?
Hannah: shh..mak teh jangan banyak tanya...nanti ikan tu hidup balik semula.
Saya terpaku dengan kata-kata Hannah. Dalam hati bertanya, apa yang dah saya buat? Hannah serious ke atau dia mahu kenakan saya balik? Kalau Hannah serious, bermakna saya sudah menipu budak kecil ini. Kasihannya dia. Kalau Hannah sengaja mahu kenakan saya, adakah Hannah tahu yang dia sudah ditipu? Kalau Hannah tahu, bermakna saya dah ajar Hannah menipu. Ohh..tidak!! 

Sepatutnya, budak kecil ini diasuh dengan akhlak yang mulia, semulia akhlak nabi Muhammad S.A.W. Baginda tidak pernah berkata bohong, walaupun dalam keadaan yang terdesak. 


hannah dan bihah
                      
Dalam satu kisah, Rasulullah sedang membuat risikan sebelum berlakunya perang Badar. Rasullah dan seorang lagi sahabat bertembung dengan satu kafilah. Rasulullah bertanya kepada kafilah itu, dimana puak musyrikin dari Mekkah berada? Tetapi, kafilah itu meminta agar baginda memperkenalkan diri. Rasulullah S.A.W berkata, beritahu aku dulu, nanti aku akan khabarkan aku ini dari mana. Kemudian, kafilah itu mula menyatakan, kumpulan musyrikin Mekkah sudah bertolak pada waktu sekian-sekian, dijangkakan berada di sekian-sekian. Setelah selesai menceritakan beliau bertanya: "Dan siapa kamu berdua ini?". Jawab Rasulullah S.A.W: Kami ini dari "Ma" dengan itu Rasulullah S.A.W  terus beredar. "Syeikh tadi kehairanan memikirkan apakah dari "Ma" al-Iraq ?(atau "Ma" yang bererti air).Rasulullah menipu ke? tak pun. Memang Rasulullah datang dari "Ma" iaitu Madinah:) 


Jadi, ambillah iktibar daripada kisah Rasulullah. Tak baik menipu, terutamanya kepada budak kecil.


huda dan hannah


cinnamon kami dah siap!!
               








                      





Saturday, March 26, 2011

Destinasi Cinta

Tahniah kepada adik-adik yang telah berjaya melancarkan Kempen Destinasi Cinta tempoh hari. Uhibbukum fillah:)


Mari kita berkongsi...

DESTINASI CINTA

Anda pernah bercinta?
Tidak pernah?


Tidak salah untuk bercinta, kerana cinta merupakan fitrah manusia. Bersyukurlah dengan perasaan ini kerana ia adalah anugerah. Ia membuktikan yang kita adalah manusia yang normal.
Tetapi awas! Cinta yang fitrah ini boleh bertukar menjadi cinta fitnah sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

Pernah dengar tak kisah puteri Rasulullah , Fatimah Az-Zahra dan Saidina Ali?
Pada malam pertama mereka disatukan, Fatimah memberitahu Saidina Ali bahawa ada seorang lelaki yang sangat beliau minati sebelum beliau berkahwin dengan Saidina Ali. Dengan rasa yang sangat cemburu, Saidina Ali bertanya; "siapakah lelaki itu?" Fatimah menjawab; "lelaki itu adalah engkau,wahai suamiku "

Walaupun Fatimah sudah lama meminati Ali, tetapi dia tidak pernah menunjukkannya. Begitu juga dengan Ali. Yang sebenarnya Saidina Ali juga ada memendam perasaan terhadap Fatimah. Tetapi perasaan ini dipendamkan. Beliau menghormati sahabat-sahabat nabi yang lain, yang turut ingin melamar Fatimah ketika itu. Diantara sahabat nabi yang turut ingin melamar Fatimah ketika itu adalah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar b Khatab. Saidina Ali berasa sangat rendah diri untuk bersaing dengan mereka yang nyata lebih hebat.

Pointnya disini, Fatimah dan Ali juga merupakan manusia yang normal yang mempunyai perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Tetapi cinta antara mereka tidak melampaui cinta mereka kepada Allah. Fatimah redha dan menerima siapa sahaja yang ayahanda tercinta pilih untuk dijadikan suaminya. Ali juga begitu. Beliau masuk meminang tetapi pada masa yang sama, beliau menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah. Dengan izin Allah, Rasulullah S.A.W memilih Ali untuk dijadikan menantu kerana baginda tidak mahu semua puterinya dimadukan. 

Cinta yang seperti inilah yang harus kita contohi. Cinta yang tidak sampai menandingi cinta kepada pencipta, kerana dunia hanya sementara, akhirat jualah yang kekal.

كَلّا إِذا بَلَغَتِ التَّراقِىَ


Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong.
(surah al-qiamah, ayat 26)


Mari kita mengenali apa itu cinta...

Dr. Abdullah Nasih Ulwan mendefinasikan cinta sebagai perasaan cinta dan gejolak hati yang mendorong seseorang untuk mencintai kekasihnya dengan penuh gairah, lembut, dan kasih sayang. Cinta adalah fitrah yang murni, yang tak dapat dipisahkan dengan kehidupannya.

Ibnul Qayyim pula menyenaraikan ciri-ciri cinta dalam buku karangan beliau Raudhatul Muhibbin. Ada 60 semuanya tetapi yang saya senaraikan disini cuma 6. Jika mahu tahu selebihnya, bolehlah dapatkan buku ini;


Pertama,cinta mendorong seseorang untuk berhubung dengan si dia(al-alaqah). Samada melalui pertemuan, call, sms, atau chat.


Kedua, kecenderungan seks. Perkara ini sememangnya menjadi masalah yang semakin membarah di kalangan anak muda masa kini. Mereka bukan sahaja berani mengahantar gambar bogel melalui MMS, tetapi juga tergamak melakukan seks luar nikah. Kesannya, lihat sahaja kes-kes buang bayi yang semakin meningkat. Sebanyak 517 kes pembuangan bayi dilaporkan sejak tahun 2005 hingga Januari tahun ini,2011.


Ketiga, cinta akan membuatkan seseorang sanggup berbuat apa sahaja yang berkaitan dengan si dia supaya dapat mendekati si dia (assabwah). Sanggup buat assignment dia, masak makanan kegemarannya, ambil tahu tentang keluarga dia...apa sahaja untuk si dia.

Keempat, cinta merelakan seseorang untuk melakukan pengorbanan (at-tatayum). Kerana cinta, seseorang boleh jadi sanggup meninggalkan keluarga untuk bersama si dia walaupun terpaksa hidup susah. Contoh, macam dalam cerita Ibu Mertuaku. Sanggup tinggalkan kesenangan untuk bersama kekasih hati.

Kelima, cinta boleh membuai seseorang di dalam keasyikan (al-ishk). Bak kata orang, mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang. Lagi, senyum sorang-sorang...


Dan yang keenam, cinta boleh memukau (al-junun). Kadang-kadang kita susah mahu faham kenapa orang ini tergila-gilakan sangat orang itu. Cinta bermati-matian. Ada berlaku anak gadis kita yang tergilakan pendatang asing. Bukannya ada harta, rupa pun tidak ada..pelik sangat. Tapi itulah cinta.

Jika begitu, bagaimana harus kita menguruskan cinta ini supaya cinta yang fitrah tidak bertukar menjadi cinta fitnah?

Cinta boleh tercemar sekiranya kita berhubung dengan si dia tanpa ada urusan. Apa maksud urusan?
Urusan adalah perkara yang mustahak yang mana, kita yakin, apabila ditanya oleh Allah di akhirat kelak, kita mampu membela diri dengan alasan yang kukuh.
Contoh bukan urusan;
hi..dah makan ke belum?

~Iklan~

Pernah dengar lagu ni? Saya suka sangat dengar lagu ni. Rasa tenang sangat bila dengar lagu ni.


Cuba hayati lirik lagu ini...

Membina diri yang lesu tak bermaya
Semaikan setulus kasih di jiwa


Agarku bisa bahagia
Walau tanpa bersamanya
Gantikanlah yang hilang
Tumbuhkan yang telah patah
Ku inginkan bahagia
Di dunia dan akhirat
PadaMu Tuhan ku mohon segala


Seseorang yang redha dengan perasaan cinta yang fitrah itu tidak akan menderita, mereka akan membina diri dan menjadi lebih dekat dengan Allah, bukannya lebih jauh. Mereka tidak akan meraung kerana putus cinta, sebab tiada apa pun yang berlaku antara mereka. Jika orang yang dia cintai bernikah dengan orang lain sekalipun, mereka akan pasrah dengan ketentuan Allah itu. Kerana mereka yakin dengan janji Allah. Best kan lirik lagu ni? 

Cinta sesama manusia menduduki tingkat terendah dalam tingkatan cinta menurut Islam. Tingkat pertama ialah Allah, kedua ialah Rasul dan ketiga adalah orang-orang disekitar kita yang meliputi ibu bapa dan sahabat handai.Jadi, untuk apa dikejar cinta ini?

Mari kita ambil iktibar kisah cinta Atikah dan Abdullah.
Abdullah merupakan anak kepada Saidina Abu Bakar. Suatu hari, Abu Bakar terdengar Abdullah sedang bercanda dengan isterinya Atikah. Abu Bakar langsung ke masjid tetapi didapati Abdullah langsung tidak ke masjid. Lalu Saidina Abu Bakar menyuruh Abdullah menceraikan Atikah diatas sebab kelalaian mereka. Abdullah akur. Lihatlah, bagaimana sahabat mendisiplinkan diri mereka dalam mencintai Allah. Mereka tidak membenarkan cinta kepada makhluk lain menguasai diri dan mengatasi cinta mereka terhadap Allah dan Rasul. Namun, selepas mereka bercerai, Abdullah sentiasa bersedih. Saidina Abu Bakar yang melihatnya berasa simpati dan membenarkan mereka berkahwin semula. Mereka telah berkahwin semula tetapi kali ini mereka lebih berhati-hati. Mereka meletakkan Allah melebihi segala-galanya.

Dalam kisah ini, Abdullah dan Atikah merupakan pasangan suami isteri. Habis, bagaimana pula dengan pasangan kekasih yang tidak halal? Berapa ramai pasangan kekasih yang asyik bergayut di telefon sampaikan lambat mengerjakan solat. Dalam solat pula, siapa yang lebih anda ingat, Allah..atau si dia?

Pernahkah anda mendengar tentang Allah yang bersifat cemburu? Ya. Allah juga memiliki sifat cemburu. Allah cemburu dengan hambaNya yang melebihkan perkara lain berbanding Dia. Apabila Allah cemburu pada hambaNya, Allah tidak lagi peduli akan hambaNya itu.  

قُل إِن كانَ ءاباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ فى سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِىَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِى القَومَ الفٰسِقينَ


Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(Surah At-Taubah ayat 24)

Anda rasakan ianya sukar?

Ya, mungkin sukar, tetapi syurga itu mahal sangat harganya. Syurga hanya berhak untuk dinikmati oleh mereka yang hebat. Mereka yang kuat. Sebab itu kita memerlukan kekuatan untuk berdepan dengan ujian cinta. Ada 5 kekuatan yang perlu kita ada;
Pertama, kefahaman; kedua, keikhlasan; ketiga, menutup pintu fitnah(saddu' zaroi); kekuatan prinsip; kekuatan amal dan istiqamah.

Jika begitu, bagaimana kita boleh mengenali dirinya sebelum berkahwin?

Risikan
Sebelum berkahwin, mestilah kita mahu tahu banyak perkara tentang dia. Ini memang perlu. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk berdating dengan dia. Kita boleh bertanya kepada orang-orang yang dekat dengan dia.

Saidina Umar pernah ingin merisik latar belakang seseorang. Dia bertanya kepada orang-orang yang mungkin mengenali orang tersebut. Ada seorang pemuda yang mengaku bahawa dia kenal dengan pemuda yang sedang Umar siasat itu.  Maka, Umar bertanya kepada pemuda itu; "adakah saudara pernah bermusafir dengan dia?". Pemuda itu menjawab; "tidak". Umar bertanya lagi; "adakah saudara pernah menjadi tetamu di rumahnya?". Jawapannya; "itu pun tidak". Lantas Umar bertanya, "Jadi bagaimana saudara boleh kata yang saudara kenal dengan dia?". Pemuda itu menjawab; "kerana saya selalu bertemunya di masjid ketika ingin menunaikan solat". Lalu Saidina Umar berkata; "Justeru, saudara tidak kenal dengan dia".

Untuk memilih pasangan hidup juga memerlukan risikan yang teliti sebagaimana Saidina Umar lakukan. Tidak guna kalau anda tanya sendiri kepada dia kerana sudah tentu dia akan memberitahu yang baik-baik sahaja.

Istikharah
Selain daripada itu, solatlah istikharah. Jadikanlah ia amalan bermula daripada sekarang.Mudah-mudahan Allah bantu kita ketika ingin membuat keputusan kelak.

Musyawarah
Seterusnya, kita boleh berbincang dengan orang yang lebih tua dan boleh dipercayai(musyawarah).


Terima kasih kerana sudi membaca entry ini. Sebagai hadiah, saya berikan beberapa tips untuk mendapat jodoh, yang saya dapat daripada ceramah Ustazah Fatimah Syarha.

Yang pertama, kita mesti mempersiapkan diri untuk menjadi produk yang baik. Kata ustazah, jika kita sibuk bercinta tentu kita tiada masa untuk belajar banyak perkara. Belajar memasak, belajar ilmu agama, belajar jaga anak..huhu..saya cuma sampaikan apa yang ustazah cakap:)

Yang kedua, mesti tegas dengan prinsip kita. Kata Ustazah Fatimah Syarha, perempuan jangan gedik, lelaki sukakan cabaran. Jika mereka benar-benar ikhlas, biarkan mereka berusaha lebih lagi. Lihat, sanggupkah mereka berjumpa dengan ibu ayah kita, mencari orang tengah, bertunang dan lain-lain.

Yang ketiga, duduk di lingkungan orang baik-baik. Siapa tahu, jodoh kita nanti merupakan adiknya, abangnya, atau anaknya. Saya juga ada adik yang soleh...ehem ehem:P

Yang keempat, gunakan orang tengah. Sebaiknya, pilihlah orang yang sudah berkahwin dan boleh dipercayai. Jika boleh dapat Yusuf al-Qardawi lagi bagus! Maksud saya, pilihlah orang tengah yang terbaik.

Dan yang kelima, eh eh..sudah habis. Jika ada tips lain yang anda semua ada boleh lah berkongsi di sini:)

Akhir sekali, jika mahu tahu bagaimana indahnya cinta sejati, ambil analogy orang yang berpuasa. Orang yang berpuasa akan mendapat kenikmatan apabila dia berbuka puasa kerana dia telah menahan diri daripada lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Begitu juga orang yang menahan diri daripada hawa nafsu dan tidak mendekati zina. Orang-orang ini akan beroleh cinta yang sangat indah setelah mereka mendirikan rumah tangga. Itu sahaja. Selamat bermujahadah.

PENGHARGAAN
Saya ingin menyampaikan sekalung penghargaan yang tidak terhingga kepada Ustazah Fatimah Syarha yang sudi datang ke Cyberjaya University College of Medical Sciences tempoh hari. Syukran atas pengisian yang mantap. Kita mesti mencontohi ustazah dan suaminya, Dr. Farhan Hadi. Cinta mereka adalah cinta yang suci. Masyaallah.

Insyaallah, saya akan baca buku karangan ustazah dan suami ustazah. Mungkin selepas exam final nanti. Insyaallah.