Kalau dibandingkan pahit getir yang ditempuh Rasulullah dengan masalah dalam kehidupan seharian kita, masalah kita itu terlalulah kecil. Tetapi kita sering merasa penat dengan masalah yang ada. Ujian yang kecil pun menjadi masalah yang besar. Tujuan asal kenapa kita diciptakan sering kita lupa. Itu baru masalah sendiri,belum lagi mahu menyelesaikan masalah ummah.
Sekarang saya di semester akhir kursus perubatan. Peperiksaan pun semakin dekat. Saya rasakan ujian ini berat tetapi sebenarnya ada orang yang mengalami kesukaran lebih lagi..
Baru-baru ini, ada seorang adik menelefon saya. Dia merupakan antara pelajar tahun satu yang terpaksa dikeluarkan daripada kolej. Kolej terpaksa mengeluarkan 80 pelajar demi mendapatkan pengiktirafan dan menjadikan kolej saya sebuah kolej perubatan yang sah. Masyaallah, besar sungguh ujian adik ini. Sesungguhnya dia dizalimi. Belum ada universiti di mana-mana pun yang mengeluarkan pelajar selepas tamat satu semester. Setidak-tidaknya, pelajar akan diberi peluang untuk repeat subjek yang mereka gagal. Dan adik ini tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek. Cuma pointernya rendah sedikit. Adik saya ini tidak mampu untuk memberitahu ibu bapanya tentang hal ini.
kak keenah, saya rasa saya dah breakdown sekarang ni kak..apa yang harus saya buat?Saya tahu, saya harus memberikannya kekuatan tetapi rasanya saya tidak layak. Tidak layak pun untuk menyuruhnya bersabar. Tambahan pula Ibunya sedang menghidap penyakit kanser. Ayah pula sangat tegas. Dulu adik ini pernah meluahkan kepada saya, ayahnya sangat meletakkan harapan yang tinggi untuknya. Seluruh masa adik ini mesti dihabiskan dengan mentelaah pelajaran. Jadi, kalau ada perjumpaan mingguan antara saya dan adik-adik, adik ini terpaksa merahsiakannya daripada pengetahuan ayahnya. Kata ayahnya, perjumpaan mingguan kami itu tidak menjanjikan anaknya dapat A dalam pelajaran. Bayangkan bagaimana harus adik ini memberitahu ayahnya yang dia tidak lagi dapat meneruskan pelajaran di sini. Sungguh saya tidak tahu bagaimana harus saya membantunya.
Ujian adik ini merupakan tarbiyah daripada Allah. Bukan hanya untuk adik saya itu, tetapi juga untuk diri saya. Semoga kami menjadi lebih tabah. Sesungguhnya disamping ujian yang Allah berikan kepada setiap hambanya, Allah berikan nikmat juga yang sebenarnya melebihi ujian yang Dia berikan. Contoh, jika seseorang diuji dengan kehilangan harta dan saudara sehingga tiada apa-apa yang tinggal sekalipun dia masih memiliki tubuh badan yang boleh bekerja dan mencari rezeki. Hakikatnya ujian itu juga merupakan nikmat daripada Allah. Kerana daripada situlah Dia mengangkat darjat hambanya. Dan ganjarannya bukan di dunia yang sementara ini tetapi di akhirat yang abadi. Firman Allah;
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam pejuangan)
(Ali-Imran ayat 142)
Boleh jadi juga ujian ini merupakan nikmat kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Seperti firman Allah;
كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيـًٔا وَهُوَ خَيرٌ لَكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيـًٔا وَهُوَ شَرٌّ لَكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui
(Al-Baqarah ayat 216)
Saya harap sangat adik yang saya sayang ini berjaya mengharungi ujian ini lantas menjadi hambaNya yang Dia cintai. Kerana tiada yang lebih bahagia melainkan mendapat cinta Allah. Yang penting mindset mesti jelas bahawa hidup di dunia hanyalah sementara. Saya petik kata-kata sahabat saya daripada blognya;
Dan orang-orang yang hatinya penuh iman, tidak ada mindset yang salah itu, hatinya sungguh tenang. Dan Allah memanggilnya..
"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang! "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! " (89-27-30)
Ya Allah, nikmatnya nak dapat semua itu. Bestnya.. Hebatkan kelebihan orang yang tenang ini? Gagal tak takut, tidak kahwin tidak kisah, tak dapat anak tidak heran. Sebab semuanya dalam kekuasaan Allah. Yang penting dakwah dan tarbiah berjalan sehingga akhir kehidupannya bertemu dengan Allah.