Baru sahaja rasanya saya ke Kedah. Tiba-tiba cuti raya cina yang lepas, abang ajak kami sekeluarga ke Hat Yai,Thailand. Macam tidak mahu percaya sahaja. Kata abang, ramai kawan-kawan sekerjanya yang sudah sampai ke Hatyai. Mana tidaknya, untuk sampai ke Hat Yai dari Sungai Petani cuma mengambil masa 2 jam.
Malam sebelum bertolak, saya on call. Saya tidak tahu pula abang Umar tidak akan ikut sama ke Thailand. Katanya mahu siapkan assignment. Apabila saya pulang ke rumah, abang Umar tiada, mungkin ke kedai mamak makan roti canai. Sementara tunggu kakak saya, kak ngah balik, kami ke kedai mamak untuk sarapan pagi. Di sana kami jumpa abang Umar. Dia kata tidak mahu ikut kerana perlu siapkan satu assignment. Dalam waktu yang singkat itu, saya tidak sempat memujuk abang Umar untuk ikut. Akhirnya kami pergi meninggalkan abang Umar sendirian di rumah. Kami hanya bertawakal kepada Allah. Mudah-mudahan Allah melindungi abang Umar. Memang sebelum-sebelum ini pun, Allah sentiasa menjaga dia. Allah...ampunkan kami atas kelalaian kami.
Ya, saya memulakan pengembaraan ini dengan hati yang tidak senang. Keadaan jalan raya agak sibuk. Ramai mengambil peluang cuti yang agak panjang ini untuk berjalan-jalan. Kami sampai di Sungai Petani pada waktu petang. Abang Long sudahpun menunggu kami di tepi highway. Kami meneruskan perjalanan ke Thailand.
Kami masuk ke Thailand melalui sempadan Padang Besar. Sesampainya di Hatyai kami makan malam di restoran Sami Kitchen. Bukan sahaja halal, semua makanan di sini sedap. Harga pun tidaklah terlalu mahal. Harga makan kami malam tu adalah 2000 baht, iaitu RM 200. Alhamdulillah..nikmatnya!Tapi sayangnya, tiada wifi di restoran ini. Jadi tiada seorang pun dapat check in foursquare di situ. Restoran itulah yang rugi. Kami tidak dapat promote restoran itu di foursquare.
makan malam di Sami Kitchen
Selepas makan, kami terus ke hotel. Nama hotel ini ialah JB Hotel. Rate hotel ini tidaklah mahal sangat. Untuk satu bilik, harganya RM 140 satu malam, sekali dengan sarapan pagi untuk 2 orang. Lagi pun hotel ini menyajikan makanan halal. Ramai sangat pelancong dari Malaysia dan Indonesia yang menginap di hotel ini.
Sarapan pagi di Hotel JB
Di depan JB Hotel
Keesokan harinya, kami ke pasar dengan menaiki tut tut. Inilah kali pertama saya naik tut tut. Saya tidak pernah terfikir untuk menaiki pengangkutan awam yang dipanggil tut tut ini. Seronok!tetapi orang yang paling seronok tentulah anak-anak saudara saya. Apabila saya tengok keriangan mereka, teringat pula zaman kecil-kecil dulu. Ayah pernah bawa kami semua ke Melaka. Kami sangat seronok bila ayah beri peluang naik kereta lembu. Waktu itu, kami tinggal di Terengganu. Walaupun waktu itu ayah tidaklah banyak duit, tetapi ayah suka bawa kami jalan-jalan. Seronok sangat kalau ayah bawa kami ke KL atau mana-mana negeri lain. Terima kasih ayah!
wajah-wajah riang kerana dapat naik tut tut
Abang long,pemandu pelancong yang berjaya
Sesampainya di pasar,masing-masing sibuk menilik barang-barang. Macam-macam ada di sini. Paling seronok, kita boleh tawar menawar harga di sini. Kalau tidak menawar harga,alamatnya kita lah yang rugi. Saya beli kasut baru di sini. Memang sudah lama saya mencari kasut yang selesa. Hari raya yang lepas, saya sudah pun beli kasut baru. Kononnya mahu beli kasut yang selesa, alih-alih saya beli kasut tumit tinggi. Memanglah selesa kasut tu, tapi kalau dah berdiri berjam-jam tu..sakit lah kaki.Itulah padah membeli mengikut nafsu,bukan mengikut keperluan. Tak mengapa,jadikan ini sebagai iktibar. Sekarang saya mahu beli kasut baru. Harga kasut yang saya baru beli ini ialah 380 baht. Tapi setelah tawar menawar, dapatlah 300 baht,iaitu RM 30. Memang selesa kasutnya. Apa ada pada jenama kan?
Bagi sesiapa yang datang ke pasar ini, anda wajib beli kacang gajus. Sedap sungguh!
pak cik coboy ni jual permainan kanak-kanak
Selepas penat membeli-belah,kami pun makan pulut ayam yang dijual oleh penjaja di depan pasar ini. Memang mudah untuk dapatkan makanan halal di sini. Rupa-rupanya ramai orang selatan Thai merupakan muslim. Pulut ayam ni ala-ala pulut gaul nyiur lah. Bezanya,kalau pulut gaul nyiur tu, orang Terengganu guna ikan. Tetapi yang kami jumpa di Thailand ni, mereka guna ayam goreng. Lepas tu, mereka tidak pakai nyiur. Tetapi mereka guna bawang goreng. Kesimpulannya, pulut ayam Thai ini lebih tinggi cholesterol.huhu...rosaklah program diet saya!
Pulut ayam
Sementara menunggu abang ngah dan mak membeli,kami didekati oleh seorang penjaja yang menjual apron.Pada mulanya,tiada siapa yang mempedulikan orang itu. Tapi orang itu tetap menunggu sambil berulang kali memberi tahu saya harga apron itu,iaitu 100 baht, untuk 3 apron. Saya tidak berminat untuk membeli sebab tidak pernah pakai apron untuk memasak. Tetapi,selesai sahaja mak membeli, mak menilik-nilik apron itu.Mak cakap, elok apron ini. Akhirnya mak beli apron itu. Peristiwa itu mengingatkan saya tentang lumrah hidup ini. Kadang-kadang kita terlalu cepat mengalah dalam mengajak orang ke arah kebaikan. Apabila orang itu tidak mahu menerima kata-kata kita, terus sahaja kita putus asa.padahal, hati manusia sentiasa boleh dilentur. Tidak kira sekeras mana pun hati orang itu. Batu pun boleh menjadi lekuk dek titisan air.
Kemudian kami naik tut tut untuk ambil kereta di hotel. Destinasi seterusnya ialah floating market.
Kami sampai di floating market agak lewat petang. Meriah betul di sini. Selepas parking, kami menyusuri satu lorong untuk sampai ke floating market.
The exotic food
Di sepanjang lorong itu, terdapat macam- macam jenis makanan yang dijual. Termasuklah belalang goreng, ulat goreng dan bermacam -macam makanan pelik yang lain.
Ada juga souvenir dan pakaian dijual disini. Kami sangat berpuas hati dengan harganya. Sebelum pulang, kami beli air kelapa, ikan panggang dan ais krim. Makanan di sini bukan sahaja murah, tetapi setiap peniaga sangat kreatif untuk menjadikan barang jualan mereka nampak menarik. Kesungguhan mereka untuk berniaga memang patut dipuji.
Ais krim diletakkan di dalam mangkuk tanah liat
Air kelapa siap letak dalam buluh lagi..bagus kan?kurang pencemaran
Alhamdulillah..seronoknya pergi makan angin. Kalau dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, nak pergi makan angin lagi.
No comments:
Post a Comment