Saturday, March 19, 2011

Tawaduk Itu Mulia

Kata orang, profession ini dipenuhi dengan manusia yang sombong. Saya sangat setuju dengan mereka. Justeru, saya sangat mengkagumi insan yang hebat dalam bidang ini, tetapi sangat tawaduk.


Apa itu tawaduk? Menurut Hassan Al-Basri, tawaduk itu, apabila kamu keluar daripada rumahmu, kamu merasakan orang lain lebih tinggi kedudukannya daripada kamu. Kamu juga tunduk dan insaf kepada perkara kebenaran.

Contoh terbaik yang saya dapat lihat adalah cikgu-cikgu saya di tempat saya menimba ilmu. Pencapaian mereka sangat luar biasa menjadikan mereka amat disegani. Namun mereka tidak sombong. Apabila berdepan dengan pelajar yang lemah dalam peperiksaan, mereka memberikan nasihat tanpa menyinggung perasaan anak didik mereka. Mereka senang bergaul dengan pelajar-pelajar dan sudi mendengar cerita anak didik yang masih hingusan. Saya sangat kagum dengan mereka. Mereka adalah murabbi hebat yang akan saya kenang selamanya. Mudah-mudahan mereka mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah untuk mereka yang tawaduk. Apa dia ganjaran Allah untuk mereka yang tawaduk? Ada 2 ganjaran bagi mereka yang tawaduk. Yang pertama, mereka menjadi orang yang disukai manusia lain semasa hidup di dunia(mahbunnas) dan yang kedua adalah, diangkat darjat oleh Allah azzawajalla di akhirat kelak.

Lain pula halnya dengan kebanyakan doktor lain. Saya pernah berjumpa dengan doktor pakar yang sombong. Setiap hari, ada sahaja doktor pelatih yang diherdik oleh doktor pakar ini. Masyaallah, saya mohon pada Allah, minta dijauhkan sifat sombong, bongkak dan takbur daripada bertapak dalam diri saya kerana sifat ini merupakan sifat mazmumah(sifat-sifat tercela dan keji). Allah tidak redha dengan hambaNya yang bersikap sebegini. Firman Allah,

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;
(Surah al-furqan ayat 63)

Saya juga pernah jumpa seorang MO(medical officer yang berpangkat lebih tinggi berbanding house officer). Sebagai orang baru, dia sepatutnya memperkenalkan diri kepada sister yang in charge di ward tersebut. Tetapi dia tidak berbuat demikian. Dengan jururawat-jururawat yang lain apatah lagi. Oleh kerana tidak beramah mesra dengan kakitangan lain, dia tidak disukai. Dia juga tidak pernah mahu berbaik-baik dengan pelajar perubatan. Pernah sekali, seorang pelajar perubatan sedang clerk pesakit yang baru dimasukkan ke wad sedang house officer belum sempat clerk pesakit itu. Dengan rasa rendah diri, house officer ini ingin bertanya kepada pelajar perubatan ini, history pesakit tersebut yang telah disoal oleh pelajar itu. Datang sahaja medical officer tersebut, dia bertanya kepada house officer tersebut dengan angkuhnya;
are you trying to get the history from this medical student?
Padahal, apalah salahnya kalau doktor mahu bekerjasama dengan pelajar perubatan. Mereka juga akan menjadi doktor pada suatu masa nanti. Mereka juga ingin belajar. Marilah kita mencontohi akhlak Rasulullah yang sangat tawaduk. Anas B Malik pernah meriwayatkan, ketika Rasulullah S.A.W lalu melintasi sekumoulan kanak-kanak, Rasulullah memberi salam kepada kanak-kanak tersebut. Cantiknya akhlak Rasulullah. Baginda tidak pernah mearasakan dirinya lebih besar.

Saya pernah juga dengar jururawat bercerita tentang beberapa orang doktor yang dulu lain, sekarang lain. Waktu mula-mula jadi houseman, mereka sangat hormat kepada jururawat dan pembantu perubatan. Namun, semakin lama, mereka menjadi bongkak. Mereka meninggikan suara dan memberi arahan kepada kakitangan yang lain dengan tidak sopan sekali. Jika ada kesilapan yang dibuat, dia enggan menerima teguran. Seolah-olah mereka sudah pandai segalanya. Walhal, masih banyak ilmu yang boleh ditimba daripada Kakitangan hospital yang lebih berpengalaman. Sebenarnya mereka sudah tertipu. Bukan sifat angkuh dan sombong yang menjadikan seseorang itu nampak mulia, tetapi sifat tawaduk lah yang akan menjadikan seseorang bertambah mulia.

Jadi, bagaimana mahu menyuburkan sifat tawaduk dalam diri kita? Sifat tawaduk itu lahir daripada ilmu, kebenaran, tahu tentang Allah dan tahu tentang dirinya sendiri. Manusia yang tahu tentang kekuasaan Allah tidak akan berdaya untuk merasa angkuh kerana dia tahu Allah itu lagi hebat. Manusia yang tahu tentang dirinya sendiri pula, akan tahu tentang kelemahan diri dan dosa-dosanya yang menggunung. Maka mereka tidak mungkin akan sombong kepada manusia lain.

Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya. Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Dalam konteks yang lebih luas, manusia bukan hanya perlu tawaduk pada manusia lain, malah manusia perlu juga tawaduk terhadap agamanya. Manusia yang tawaduk pada agamanya tidak akan menentang agamanya dengan menggunakan akal. Mereka tidak akan pernah mencari jalan untuk berbeza daripada agama.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina-dina.” - (Al-Mukmin: 60).

Allahualam. Catatan ini untuk diri saya sendiri, untuk dibaca semula di lain masa.

2 comments:

  1. betul fana pun kagum dgn cikgu2 kita yang dah achieve so many things, tapi low profile je kan...

    ReplyDelete
  2. betul tu fana.kat OnG ni ada lagi satu Dr yang baik giler. Dr non muslim,nama dia Dr Vani.Kalau satu hari nnti dia dpt hidayah..syukur sgt!suka Dr. Vani sgt2!!

    ReplyDelete