Lama sungguh tak menulis. Tangan terasa kaku, otak pula membeku. Hari ni, saya terbaca status kak Aisyah yang memaklumkan bahawa dia akan menjalani prosedur electrophysiology study with or without ablation disebabkan masalah supraventricular tachycardia yang berulang. Saya pernah jumpa kes seperti ini di wad. Rasa biasa je. Tapi, bila ia melibatkan kak Aisyah...saya jadi takut. Takut akan risikonya terhadap sahabat saya ni. Saya berdoa, semoga prosedur tersebut dapat merawat sahabat saya tanpa ada sebarang komplikasi.
Sebenarnya saya bukanlah teman rapat kak Aisyah, tetapi saya berpeluang untuk mengenali beliau dengan lebih dekat semenjak bulan Ramadhan tahun lepas. Ada orang kata, kita tak mungkin dapat mengenali seseorang selagi tidak bermusafir dengan orang itu. Pada bulan Ramadhan tahun lepas, kami telah mengembara bersama ke Australia. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna yang saya belum sempat rakamkan dalam penulisan saya sebelum ini.
Pada bulan Ramadhan yang lalu, saya, kak Mazwin dan kak Aisyah telah ke Australia. Perjalanannya singkat dan dirancang dalam waktu yang singkat. Tetapi, pengalaman dan pelajaran yang saya dapat hasil daripada permusafiran itu sangat banyak. Masya Allah...Sebenarnya, kak Mazwin dan kak Aisyah telah diundang oleh akhawat Australia untuk berkongsi ilmu dan cebisan pengalaman bersama mereka dalam daurah mereka. Alhamdulillah, Saya pula, macam tiada kaitan dengan program tersebut, tapi Allah telah pilih saya untuk bersama-sama mereka. Alhamdulillah, Allah telah menggerakkan hati kak Mazwin untuk mengajak saya sekali. Sungguh unik perancangan Allah ini.
Sejurus tiba di Adelaide |
Untuk perjalanan pergi, saya dan kak Mazwin telah ke Adelaide terlebih dahulu. Kami ke sana untuk menziarahi adik kak Mazwin yang telah menetap di sana. Adik kak Mazwin, Suhana, telah menetap di sana semenjak zaman medical student lagi. Kini, beliau berkhidmat sebagai doktor di Adelaide Hospital. Terima kasih yang tidak terhingga buat Suhana dan suami, yang telah menyambut kedatangan kami dengan sangat baik. Saya sangat sukakan keindahan Adelaide. Pantainya yang bersih dengan burung-burung berterbangan di persisiran pantai sungguh menggamit memori ketika berada disana tatkala sudah pulang ke Malaysia. Di sana, kami sempat ke dua buah masjid untuk iftar dan solat maghrib, isyak dan terawih. Kami berpeluang untuk berjumpa dengan komiti muslim di sana yang sangat friendly. Rata-ratanya sudah mengenali Suhana. Mereka sangat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan komuniti muslim Adelaide. Mereka turut bergilir-gilir menyediakan iftar setiap hari di masjid.
Di tepi pantai Adelaide |
Antara juadah iftar yang dihidangkan. Sedap! |
Kami membeli makanan untuk sahur di sini, kedai Swinging Bowl=mangkuk hayun, milik orang Malaysia |
Seterusya, kami terus berangkat ke Sydney. Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki ke bumi Sydney. Tentunya pengalaman kali ini berbeza. Untuk perjalanan ke Sydney kali ni, tumpuan kami adalah program daurah akhawat Australia. Akhawat yang menyertai program ini datang daripada seluruh pelusuk Australia. Rata-ratanya daripada Melbourne, Tazmania, Canberra, Adelaide, New Castle. Saya sangat kagum dengan kegigihan adik-adik ini untuk menjayakan program di bumi Australia. Ia merupakan satu pengorbanan yang besar. Bayangkan, kalau akahawat di Malaysia terpaksa travel jauh-jauh semata-mata untuk menghadiri daurah. Pasti akan lebih ramai yang futur. Tetapi, di setiap tempat dan situasi, cabarannya pasti berbeza. Di Malaysia, cabarannya adalah komitmen yang banyak dengan kerja, study, keluarga dan lain-lain. Hati saya tersentuh ketika mereka berbincang berkenaan takwim. Mereka begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam program-program tarbiyah. Walaubagaimanapun, banyak perancangan mereka terpaksa dikurangkan atas sebab kos perjalanan yang mahal. Untuk melakukan liqa' usrah juga, mereka terpaksa melakukan secara online kerana murabbi jauh di mata, tetapi dekat di hati dan di facetime atau skype:)
Hati saya sangat teruja untuk merasai pengalaman berprogram bersama akhawat Australia. Bagi saya, Australia adalah salah satu tempat di atas muka bumi yang subur dengan tarbiyyah. Saya masih ingat, sewaktu saya masih menuntut di Cyberjaya University College of Medical Sciences, terdapat beberapa pelajar yang merupakan bekas pelajar universiti di Australia. Oleh kerana sistem pemarkahan yang ketat di Australia, ada kalangan mereka yang terpaksa berhenti sesi pembelajaran di sana kerana gagal dalam peperiksaan dan terpaksa menyambung pelajaran di Malaysia. Bagi saya, ia merupakan ujian yang besar.Namun, disebalik setiap ujian, pasti ada hikmah yang tersurat. Kepulangan mereka ke tanah air sebenarnya merupakan rencana Allah untuk menghidup suburkan tarbiyyah di universiti saya pula. Subhanallah...Saya masih ingat, sewaktu saya masih student di situ, siapa yang mangatur daurah, program qiamullail, menggerakkan usrah, iftar jamaie, rihlah jika bukan mereka.
Program daurah dimulai dengan program untuk mutarabbi junior. Saya sungguh kagum melihat bagaimana melihat kakak-kakak mereka mengatur program. Sungguh kemas dan tersusun. Setiap aktiviti mesti ada flow yang betul, mesti mengikut hadaf yang dikehendaki, mereka juga akan pastikan semua mutarabbi faham akan apa yang disampaikan oleh muajih. Sebelum sesi apa pun bermula, pasti mereka akan duduk dan bincang dulu. Selepas setiap sesi juga, mereka akan bincang lagi. Saya cuba membayangkan situasi gerak kerja kita di Malaysia pula. Ahli jawatankuasa(AJK) bukan sahaja tidak sempat berbincang dulu, malah, AJK turut sama sampai lewat ke tempat program. Saya masih ingat, adik saya yang baru BFG daripada UK pernah melahirkan ketidakpuasan hatinya ketika menghadiri daurah di KL buat pertama kali. Adik saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk sampai awal ke tempat program, tetapi apabila sampai, pintu masih berkunci. Kononnya program akan bermula dengan pendaftaran jam 9 pagi, tetapi pukul 10 pagi baru lah mas'ul program tiba ke tempat kejadian. Dan pendaftaran dibuat serentak dengan penyampaian. Oleh sebab itu, ramai yang tidak dapat bertahan berada dalam jemaah. Bukan sahaja kerana komitmen pada setiap individu yang melebihi kemampuan, tetapi juga disebabkan kurang persefahaman antara satu sama lain.
Sebenarnya, walaupun cara kerja akhawat di Australia ini patut menjadi kebanggan naqibah mereka, namun, ada sesuatu yang merisaukan mereka. Apa yang dirisaukan mereka adalah, bagaimana nanti penerimaan mad'u-mad'u mereka terhadap realiti jemaah setelah mereka pulang ke tanah air nanti. Oleh sebab itu, daurah mereka kali ini bertemakan 'back to basic'. Bermakna, mereka tidak akan berbincang tentang kitab-kitab yang tinggi pengetahuan fikrahnya. Tajuk yang akan mereka selami adalah fiqh sirah. Saya sangat teruja dengan tema ini. Terasa sangat dekat di hati saya. Saya masih ingat suatu ketika dahulu, teman baik saya, Iffah, selalu mengajak saya untuk ke daurah. Saya cuba untuk hadirkan diri walaupun pada mulanya saya tak suka pergi daurah. Time tu, yang saya ingat, apabila pergi daurah mesti cakap pasal maratib amal, strategi dakwah dan banyak tajuk berbentuk fikrah. Saya sangat tidak suka dan suka ambil kesempatan untuk tidur je. Tujuan saya tidur, supaya saya ada energy bila balik nanti, dapat study. Saya sangat berkira tentang masa yang saya terpaksa habiskan di program. Namun, segalanya berubah bila saya nampak kaitannya dakwah ini dengan sirah Rasulullah S.A.W
Saya mula nampak kaitannya jalan dakwah ini dengan sirah Rasulullah sewaktu saya berada di tahun ke 4 pengajian saya di universiti. Padahal saya sudah berada di dalam sistem tarbiyyah sejak tahun pertama. Saya masih ingat, ketika itu, saya ingin ke daurah Ansar di Keramat. Kebiasaannya, saya akan terus ke tempat program daripada universiti saya di Cyberjaya. Samada dengan menaiki kereta bersama sahabat saya atau dengan manaiki ERL dan LRT. Hari itu, saya balik ke rumah terlebih dahulu untuk bertemu abang saya yang jarang pulang ke rumah. Ketika berbual dengan abang, abang sangat gembira apabila mengetahui saya mengikuti program tarbiyyah dan akan ke katibah pada hari itu. Kemudian, abang cerita tentang fasa-fasa dakwah Rasulullah S.A.W. Abang terangkan kenapa dakwah kita caranya begini, kenapa tidak begitu dan sebagainya. Akhirnya saya faham. Dengan memahami sirah, kita akan lebih memahami bagaimana untuk bekerja dalam jemaah. Proses tarbiyyah ini memang lambat kerana kita ingin membina secukupnya invidu muslim yang jelas fikrahnya. Untuk itu, kita perlu bekerja secara jam'ie. Apabila berada dalam jemaah, kita akan dapat lebih bersabar dengan kelemahan atau kekurangan orang lain.
Berbalik kepada cerita jaulah saya, sebenarnya, bukanlah kami langsung tak bersiar-siar sepanjang kami berada di sana...kami telah berkesempatan untuk ke Zoo! Pada hari ketiga kami di sana, ada seorang akhawat ditugaskan untuk menjemput kak Aisyah di lapangan terbang Sydney. Akhawat-akhawat yang lain pula perlu menyiapkan planat untuk aktiviti tarbiyyah mereka bagi tahun hadapan. Jadi, saya dan kak Mazwin tumpang saja lah akhawat yang nak ke lapangan terbang tu. Di dalam perjalanan untuk ke bandar Sydney, akhawat comel tu dropkan kami di zoo.hehe...Jadi, dapat juga lah, kangaroo-kangaroo di zoo tu jumpa kami. Ada banyak juga haiwan pelik-pelik yang kami jumpa di zoo tu. Subhanallah..hebatnya ciptaan Allah.
Antara kangaroo yang bertuah sebab dapat jumpa kami:) |
Ketika pulang ke kem daurah, kak Aisyah ada bersama-sama kami. Begnya besar, tapi bukan berisi pakaian tetapi berisi buku-buku yang dipesan oleh akhawat Ozi. Terdetik di hati saya, "bestnya jual buku!". Lebih-lebih lagi, kalau dapat jual buku-buku yang bagus pengisiannya. Kak Aisyah selalu cakap tentang pentingnya kita banyak menulis. Untuk dapat menulis, mesti banyak membaca. Saya nak sangat menulis sebenarnya, tetapi selalu rasa macam takde masa. Tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kata kak Aisyah, sementara menunggu akhawat ambil dia di lapangan terbang pun, dia sempat menulis satu artikel. Jadi, tiada alasan tiada masa. Kita cuma perlu gunakan masa sebaiknya.
Sesungguhnya, pengalaman sepanjang berjaulah ke Australia sangat-sangat berharga. Saya berdoa agar dapat berpeluang lagi mengembara di atas muka bumi Allah yang luas terbentang ini.
No comments:
Post a Comment