Thursday, September 21, 2017

Lombok Untuk Pertama Kalinya


31 Julai 2017, saya telah bercuti ke Lombok, Indonesia bersama suami. Alhamdulillah, saya telah selamat diijabkabulkan bersama suami saya, Muhammad Mahazan pada 21 Julai 2017. Majlis perkahwinan kami pula telah berlangsung pada 29 Julai 2017&30 Julai 2017. Setelah selesai semua majlis, kami telah bertolak ke Lombok Indonesia. Ini adalah percutian kami berdua yang pertama atau lebih dikenali sebagai bulan madu💓💓. 

Kami ke sana selama 4 hari. Dalam tempoh 4 hari ini, banyak yang kami belajar dalam mengenali bukan hanya tempat percutian ini, malah turut belajar mengenali antara satu sama lain💕. Perkara pertama yang belajar tentang suami adalah, dia bukan lah yang suka buat planning percutian seperti saya. Untuk itu, saya lah yang perlu lebih proaktif jika hendak ke mana-mana selepas ini😄. Resam hidup suami isteri harus saling lengkap melengkapi. 

Saya telah menempah tiket kapal terbang ke Lombok kira-kira 4 bulan lebih awal. Harga tiket kapal terbang untuk seorang adalah RM 339. Saya juga telah menempah hotel lebih awal. Harga hotel bertaraf 3 bintang untuk 3 malam di Pulau Gili Trawangan adalah RM 689.32. Oleh kerana kurangnya research yang saya buat sebelum ke sana, saya telah menempah penginapan sepanjang di Lombok hanya tertumpu kepada satu tempat iaitu di Gili Trawangan. Ia termasuklah untuk malam pertama setibanya kami di sana. Kami tidak sempat sampai ke hotel tersebut kerana kami tiba di Lapangan terbang  Lombok pada jam 5petang sedangkan perkhidmatan public boat yang terakhir adalah pada jam 6 petang. Tambang menaiki speed boat adalah 15,000 rupiah. Selepas jam 6 petang, kami hanya boleh ke pulau Gili dengan menaiki speed boat, dengan harga yang berganda-ganda iaitu 300,000 rupiah. Alhamdulillah, suami kelihatan tenang apabila terpaksa mengeluarkan duit di luar jangkaan untuk menempah homestay pula😜 . Kami menginap satu malam di homestay berdekatan jeti yang dipanggil bangsal. Jadi, bagi sesiapa yang berhasrat untuk ke Lombok secara DIY, tanpa mana-mana agent, anda harus menempah hotel di kawasan darat terlebih dahulu. Contohnya, Mataram yang juga menempatkan tempat menarik untuk dilawati iaitu pantai Senggigi. 

Disajikan dengan kopi Lombok di tempat kami menginap

Walaupun kami telah tersilap perkiraan yang menyebabkan kami sedikit rugi, ada hikmah disebaliknya. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kerana kami tak sempat ke pulau petang itu, kami sempat singgah di sebuah pesantren atas ajakan sekumpulan pelancong yang juga dari Malaysia. Rombongan tersebut terdiri daripada makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang sebaya ibu dan ayah kami. Di pesantren itu, kami dijamu dengan macam-macam hidangan yang lazat. Ada satay, nasi, ikan bakar dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati insan-insan yang berhati murni yang sedang membangunkan pesantren tersebut demi menyalurkan pendidikan buat anak bangsa. Selesai makan, kami di hantar ke jeti oleh salah seorang cikgu di pesantren tersebut. Kami bermalam di homestay berhampiran jeti. Keesokan harinya, kami berjalan kaki ke arah boat dan bertolak ke Gili Trawangan dengan menaiki public boat. 


Subhanallah, Gili Trawangan merupakan sebuah pulau yang sangat cantik. Airnya terdiri daripada warna-warna yang berbeza mengikut kedalaman air. Ada bahagian airnya hijau, ada biru muda dan ada biru tua. Kami habiskan hari pertama di pulau itu dengan bersiar-siar menaiki basikal. Suasana malam di pulau ini sangat meriah dengan adanya bermacam-macam jenis kedai makan dengan pelbagai jenis hidangan. 

panorama matahari terbenam di Gili Trawangan
Hari kedua, kami habiskan dengan melakukan aktiviti snorkeling. Kami telah menjelajah ke 3 pulau untuk snorkeling, Gili Air, Gili Trawangan dan Gili Menor. Snorkeling di sini agak berlainan dengan pengalaman saya bersnorkeling sebelum ini. Beach boy yang membawa kami snorkeling memberikan kami pilihan samaada mahu menggunakan fin(kasut sirip) atau menggunakan life jacket. Jika tahu berenang, mereka akan bekalkan fin dan tidak perlu lagi pakai life jacket. Pada mulanya, saya yang kononnya pandai berenang ni mahu mencuba memakai fin tanpa life jacket. Walaupun tahu berenang, pergerakan kaki saya agak kaku bila berada di tengah-tengah laut yang dalam itu. Akhirnya saya pakai juga life jacket dan snorkeling seperti biasa. Itu lebih selamat bagi saya yang sudah selalu sangat lemas sebelum ni tapi belum serik lagi. hihi.. 

Berhenti makan tengah hari di Gili Air

Hari keempat, kami telah menaiki public boat seawal 7 pagi ke bangsal. Ini merupakan hari terakhir kami di Lombok, dan kami berhajat mahu membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang. Sempat juga kami singgah di Air Terjun Benang Kelambu sebelum berangkat ke lapangan terbang. Air terjun ini agak unik kerana biasanya kita terpaksa mendaki untuk sampai ke air terjun. Tetapi di sini, pengunjung akan bergerak menuruni bukit-bukit untuk sampai ke air terjun. Untuk ke sana, kita boleh menggunakan perkhidmatan motorsikal yang disediakan oleh penduduk tempatan. Setelah selesai menikmati keindahan alam semulajadi, barulah kami bertolak ke lapangan terbang untuk pulang. 

Air terjun benang kelambu
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur sungguhpun ini merupakan percutian kami yang pertama dan tempat yang kami kunjungi agak jauh dan mencabar tanpa menggunakan perkhidmatan mana-mana travel agent, tidak banyak masalah yang dihadapi dan kami sangat gembira kerana telah melawat Lombok yang sangat indah. 


Pemandangan pagi di Gili Trawangan
***Tips untuk berbulan madu: Tak perlu tempat yang jauh dan berbelanja mahal. Apa yang penting sentiasa bersama pasangan dan saling bertoleransi.

Monday, March 13, 2017

Tidak Sakit Adalah Nikmat

Antara yang saya syukuri dalam pada menghidap penyakit myasthenia gravis adalah, saya tidak merasa sakit. Kebanyakan penyakit memberikan kesakitan, dah nama pun sakit. Tetapi tidak untuk sakit myasthenia gravis, alhamdulillah.

Apabila penglihatan saya berkembar(diplopia)..saya rasa pening, keliling saya bagai bergoyang, macam berdiri di atas bot yang terumbang ambing, saya tidak boleh drive kerana jalan di depan saya kelihatan bersepah dengan pelbagai imej. Dalam keadaan itu, saya pejamkan mata. Ia tak sakit. Alhamdulillah..

Apabila pertuturan saya terjejas, percakapan saya menjadi pelat. Lidah saya menjadi keras. Nak menghabiskan satu ayat pun susah. Justeru itu, saya hanya diam. Saya tidak merasa sakit. Alhamdulillah..

Apabila saya tidak dapat mengunyah makanan, setiap suapan sungguh menyeksakan. Saya tidak dapat gerakkan makanan itu ke gigi. Saya selalu simpan pengacau kopi untuk saya gunakan waktu makan. Kalau Munirah beli kopi, dia akan ambil alat kacau kopi tu lebih..dia bagi pada saya. Munirah selalu sweet. Selalu je ingat kat saya. Dengan kayu itu, saya akan tolak makanan di dalam mulut ke arah gigi supaya saya dapat kunyah dan kemudian saya telan. Bila saya dah penat, saya rasa marah, saya hempaskan sudu dan garfu ke dalam pinggan. Tapi, sekejap sahaja Allah uji dengan kekurangan itu. Kemudian Allah pulihkan saya kembali melalui ubat yang saya ambil. Saya boleh makan macam biasa. Saya rasa malu sangat dengan Allah. Dia uji saya sikit je, itupun nak marah. Dan saya tidak merasa sakit. Allah...

Memang banyak yang berlaku kepada diri saya di bulan Disember. Dalam keriangan saya bercuti di Itali, saya mula mengalami lemah otot di bahagian tangan. Saya tidak dapat angkat tangan saya melebihi bahu. Saya tidak dapat sikat rambut. Saya tidak dapat syampu rambut. Alhamdulillah, saya dapat menghadapi situasi itu dengan tenang kerana sebelum bertolak ke oversea, doktor baru sahaja menaikkan dos ubat prednisolone. Doktor naikkan dos tu disebabkan pertuturan saya semakin terjejas dan dos ubat harus terus dinaikkan 10mg setiap minggu sehinggalah ia mencapai 50mg sehari. Jadi, saya hanya ikut sahaja peraturan ubat itu. Dan, alhamdulillah.. tidak lah lama saya mengalami lemah otot tangan. Dan ia tidak menyakitkan.

Bila mula-mula ubat prednisolone mencecah 50mg per day. Letihnya bagai sudah seharian bekerja keras padahal hari baru bermula. Balik daripada kerja, saya melepek. Saya hanya mampu melihat baju-baju saya yang belum dijemur. Sudahnya, ayah saya lah yang jemurkan baju saya. Sudah solat isyak, saya terus tidur. Diri saya bukan lagi saya yang dulu. Alhamdulillah, keluarga saya sentiasa bersama, dan saya tidak merasa sakit.

Di tempat kerja juga, ramai yang sangat mengambil berat akan saya. Saya masih ingat hari tu. Saya menghabiskan rondaan di wad bersama doktor pakar dengan sangat payah. Setelah selesai, saya terpaksa luahkan juga kepada doktor pakar, bos saya. "Bos, saya rasa letiiih sangat", terus air mata saya gugur tak dapat dibendung. Bos saya, Dr Shahada suruh saya berehat, riak mukanya sangat cemas. Saya sangat bersyukur ditakdirkan bekerja di kalangan bos-bos yang sangat baik. Bukan Dr Shahada sahaja yang sangat memahami saya, Dr Sharifah, Dr Habibah dan Dr Mandy juga. Dr Sahrifah yang sering mahu buatkan kerja yang sepatutnya tugas saya; "Let me do the BMAT, it has been a while I don't do", " Let me insert the femoral catheter, the patient request me".  Saya tahu, Dr Sharifah buat semua tu kerana ingin membantu saya, kerana dia bersimpati dengan saya. Saya akan selalu mendoakan Dr Sharifah agar Allah merahmati bos saya yang sangat baik ini. Apabila saya merasa letih, saya tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja di wad. Saya hanya ditugaskan di klinik dengan kerja-kerja yang lebih ringan. Itupun, kalau Dr Habiba nampak saya asyik berdiri dia akan suruh saya ambil kerusi dan duduk. Bos-bos saya semuanya sweet. Alangkah bagusnya kalau saya dapat terus berada di Jabatan Haematology. Tetapi agak mustahil saya dapat duduk di jabatan ini, menambahkan bilangan pegawai perubatan nya pada angka tetapi tidak mampu berfungsi seperti medical officer(MO) Haematology yang lain. Saya masih ingat kata-kata seorang consultant saya kepada saya, " You have to find some other field that suit you. You see, you can not depend on other mercy forever'. Saya sedar, apa yang bos saya katakan itu ada benarnya. Saya perlu mencari bidang lain.

Terlalu banyak nikmat yang saya kecapi. Adalah satu nikmat juga, apabila saya tidak merasa sakit walaupun menghidapi penyakit. Maka Allah memberi peluang kepada saya untuk merasa juga sakit agar saya menghargai nikmat tiada sakit itu. Subhanallah, saya berpeluang merasai sakit yang sangat-sangat apabila menjalani pembedahan thymectomy.

Pada bulan Januari, doktor menasihatkan agar saya menjalani pembedahan thymectomy kerana nampaknya selama 10 bulan saya menghidap myasthenia gravis, saya masih tidak dapat pisahkan prednisolon daripada diri saya. Setiap kali dos prednisolon cuba dikurangkan, diplopia akan datang, slurring speech pun datang. Dan lebih merisaukan apabila saya mula merasakan paru-paru saya juga lemah. Saya tidak dapat lagi meniup belon. Apabila saya terlalu penat, saya mula rasa mengah. Maka saya terpaksa mengambil ubat prednisolone pada dos yang tinggi. Namun, saya tidak boleh terus bergantung kepada ubat prednisolon kerana kesan sampingan nya yang banyak. Memang saya sudah mulakan ubat Azathioprine untuk sebulan sejak Disember. Namun, saya terpaksa berhenti makan ubat itu. Bagaimanalah Azathioprine dapat gantikan prednisolone sedangkan saya tidak mahu bergantung kepada ubat cytotoxic itu juga.

1 Mac 2017 merupakan tarikh saya menjalani thymectomy(removal of thymus gland). Saya sempat merasai kesakitan yang paling teruk ketika kesan ubat bius hilang. Waktu itulah, saya rasakan kesakitan di skala 10(paling sakit). Doktor bius mulakan ubat morphine untuk saya. Lama-kelamaan sakit itu berkurangan. 12 hari telah berlalu, sakit di tempat pembedahan sudah semakin hilang. Saya hanya makan celebrex bila perlu. Tetapi saya masih tidak dapat tinggalkan paracetamol dan tramal. Saya tidak dapat lupa juga sakitnya ketika 2 chest tube yang digunakan untuk mengalirkan keluar darah, hendak di tarik keluar. Sakitnya subhanallah. Untuk chest tube yang pertama, tiada analgesia yang diberikan. Oleh kerana terlalu sakit, saya minta doktor yang melakukan procedure itu memberikan saya analgesia. Mereka masukkan IV Fentanyl dan menarik keluar chest tube kedua. Untuk kedua-dua chest tube yang ditarik keluar itu, saya menjerit. Saya tahu, sepatutnya saya perlu menarik nafas untuk mengelakkan daripada berlaku pneumothorax. Tetapi, saya tidak tahan sakit lalu menjerit. Ya Allah, dengan kesakitan ini, ampunkanlah dosa-dosaku.

Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan saya. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya. Saya juga ingin mendengar cerita-cerita daripada ramai lagi yang sentiasa memberikan inspirasi buat saya.

" Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau ridhai dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh, aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh, aku termasuk orang muslim."- Surah Al-Ahqaf 15-

Among my pain killers;)
Susah payah adik-adik datang ziarah, sambil berkejar-kejar dengan kelas. Jazakunallahukhairan kathira. Uhibbukumfillah.  

Glasari:
BMAT: Bone marrow aspiration and trephine

Salam Benua Eropah

Alhamdulillah, ketenangan di petang ahad memanggilku untuk menulis. Menulis catatan kembara yang sudah lama tertangguh. Atas nama Allah yang Maha Lembut, sentiasa memberi nikmat yang tidak pernah putus. Pada 20 Decemeber 2016 hingga 2 Januari 2017, saya telah sampai ke benua Eropah.  Kebanyakan masa saya di Itali adalah di Milan kerana abang saya kini bermastautin di sana. 

Courmayeur
Kami telah ke Courmayeur pada hari kedua percutian di Itali. Courmayeur adalah salah satu kawasan pergunungan salji yang memang banyak terdapat di Itali ini. Bagi yang ingin bercuti disini, anda boleh memilih mana saja kawasan pergunungan yang memang banyak itu. Kami ke sana dengan menaiki kereta sewa. Alhamdulillah, perjalanan yang lancar mendapatkan kami sampai awal ke skytrek. 


Apakah itu skytrek? Skytrek adalah perkhidmatan cable car yang kami gunakan untuk menaiki kawasan pergunungan salji di Courmayeur. Tiket untuk menaiki cable car ini adalah 48 euro untuk seorang. Bagi saya, tambang yang dikenakan sangat berpadanan dengan perkhidmatan yang diberikan. Dengan menaiki cable car ini, kami berpeluang untuk bermain salji sepuas hati di atas gunung. Pemandangan yang dapat dinikmati di atas gunung sungguh menakjubkan. Disamping itu, kemudahan yang disediakan oleh skytrek sangat bagus, seperti kemudahan wifi, toilet, kawasan pit stop yang bersih, membolehkan kami solat di situ. Menjelang petang barulah kami turun ke kaki gunung. 





Kami telah bermalam di salah sebuah hotel di courmeyeur. Bayaran penginapan satu malam di situ adalah 130 euro, ia merupakan sebuah rumah kecil yang menyediakan 2 bilik, lengkap dengan dapur dan ruang makan yang sangat selesa. Keesokan harinya, kami menghabiskan masa bermain salji. Kami telah menyewa 2 papan luncur(sledge) dan bermain sampai puas. Alhamdulillah. 






Lake Como
Kami telah meneruskan pengembaraan ke Lake Como. Subhanallah, sungguh indah pemandangan di sini. Kami telah tiba di bumi Allah ini pada 25 Disember. Oleh kerana penduduk tempatan sedang merayakan hari natal, kawasan ini sungguh lengang sewaktu kami tiba. Tidak banyak kedai yang dibuka. Kami juga tidak dapat menaiki cruise kerana perkhimatan cruise juga ditutup pada hari tersebut. Sungguhpun begitu, kami cukup berpuas hati kerana dapat duduk makan di tepi tasik sambil menikmati pemandangan yang indah.



Cathedral
Tidak sah rasanya jika bersiar-siar di kota Milan tanpa melawat Cathedral. Cathedral adalah satu pusat tumpuan pelancong yang menempatkan binaan gereja lama beserta monumen-monumen unik.  Di sinilah letaknya Duomo, gereja yang kelima terbesar di dunia. Kami hanya meluangkan masa bersiar-siar di luar gereja sambil melihat-lihat keindahan seni bina bangunan di sini. Ada banyak burung merpati berterbangan di sebuah dataran luas yang dikepung oleh bangunan gereja yang mempunyai senibina indah. Terdapat ramai pelancong yang beratur untuk memasuki gereja. Di kawasan luar gereja terdapat banyak gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan dan barang cenderamata. Di sinilah kami membeli keychain dan fridge magnet. 



Terdapat sebuah kedai coklat di sini bernama, OD Store. Bermacam-macam jenis coklat ada dijual disini siap dengan packaging yang menarik. Sangat sesuai untuk dapatkan cederamata buat orang tersayang yang ditinggalkan di tanah air.






Rome 
Destinasi seterusnya adalah Rome. Kami ke Rome daripada Milan dengan menaiki keretapi. Kerana masa kami yang singkat di sini, kami memilih untuk menggunakan pengangkutan bas hop on hop off. Kami tidak mahu mengambil risiko tersesat jalan dan sebagainya. Kami menghabiskan masa selama 2 hari penuh untuk sightseeing di bangunan-bangunan yang indah di Rome iaitu Collaseum, Roman Forum, Pantheon, Piazza di Spagna, Piazza Navona, Castel San't Angelo, Campo de Fiori dan lain-lain. Walaupun masa yang kami habiskan di Rome agak singkat, tapi ia sudah cukup memberi kepuasan kepada kami. Seperti tidak percaya, kami sudah sampai ke Rome! 


Gambar diambil dari tingkat 2 Collaseum


Pemandangan di dalam Collaseum yang menakjubkan

Gambar dari luar Collaseum