Apabila penglihatan saya berkembar(diplopia)..saya rasa pening, keliling saya bagai bergoyang, macam berdiri di atas bot yang terumbang ambing, saya tidak boleh drive kerana jalan di depan saya kelihatan bersepah dengan pelbagai imej. Dalam keadaan itu, saya pejamkan mata. Ia tak sakit. Alhamdulillah..
Apabila pertuturan saya terjejas, percakapan saya menjadi pelat. Lidah saya menjadi keras. Nak menghabiskan satu ayat pun susah. Justeru itu, saya hanya diam. Saya tidak merasa sakit. Alhamdulillah..
Apabila saya tidak dapat mengunyah makanan, setiap suapan sungguh menyeksakan. Saya tidak dapat gerakkan makanan itu ke gigi. Saya selalu simpan pengacau kopi untuk saya gunakan waktu makan. Kalau Munirah beli kopi, dia akan ambil alat kacau kopi tu lebih..dia bagi pada saya. Munirah selalu sweet. Selalu je ingat kat saya. Dengan kayu itu, saya akan tolak makanan di dalam mulut ke arah gigi supaya saya dapat kunyah dan kemudian saya telan. Bila saya dah penat, saya rasa marah, saya hempaskan sudu dan garfu ke dalam pinggan. Tapi, sekejap sahaja Allah uji dengan kekurangan itu. Kemudian Allah pulihkan saya kembali melalui ubat yang saya ambil. Saya boleh makan macam biasa. Saya rasa malu sangat dengan Allah. Dia uji saya sikit je, itupun nak marah. Dan saya tidak merasa sakit. Allah...
Memang banyak yang berlaku kepada diri saya di bulan Disember. Dalam keriangan saya bercuti di Itali, saya mula mengalami lemah otot di bahagian tangan. Saya tidak dapat angkat tangan saya melebihi bahu. Saya tidak dapat sikat rambut. Saya tidak dapat syampu rambut. Alhamdulillah, saya dapat menghadapi situasi itu dengan tenang kerana sebelum bertolak ke oversea, doktor baru sahaja menaikkan dos ubat prednisolone. Doktor naikkan dos tu disebabkan pertuturan saya semakin terjejas dan dos ubat harus terus dinaikkan 10mg setiap minggu sehinggalah ia mencapai 50mg sehari. Jadi, saya hanya ikut sahaja peraturan ubat itu. Dan, alhamdulillah.. tidak lah lama saya mengalami lemah otot tangan. Dan ia tidak menyakitkan.
Bila mula-mula ubat prednisolone mencecah 50mg per day. Letihnya bagai sudah seharian bekerja keras padahal hari baru bermula. Balik daripada kerja, saya melepek. Saya hanya mampu melihat baju-baju saya yang belum dijemur. Sudahnya, ayah saya lah yang jemurkan baju saya. Sudah solat isyak, saya terus tidur. Diri saya bukan lagi saya yang dulu. Alhamdulillah, keluarga saya sentiasa bersama, dan saya tidak merasa sakit.
Di tempat kerja juga, ramai yang sangat mengambil berat akan saya. Saya masih ingat hari tu. Saya menghabiskan rondaan di wad bersama doktor pakar dengan sangat payah. Setelah selesai, saya terpaksa luahkan juga kepada doktor pakar, bos saya. "Bos, saya rasa letiiih sangat", terus air mata saya gugur tak dapat dibendung. Bos saya, Dr Shahada suruh saya berehat, riak mukanya sangat cemas. Saya sangat bersyukur ditakdirkan bekerja di kalangan bos-bos yang sangat baik. Bukan Dr Shahada sahaja yang sangat memahami saya, Dr Sharifah, Dr Habibah dan Dr Mandy juga. Dr Sahrifah yang sering mahu buatkan kerja yang sepatutnya tugas saya; "Let me do the BMAT, it has been a while I don't do", " Let me insert the femoral catheter, the patient request me". Saya tahu, Dr Sharifah buat semua tu kerana ingin membantu saya, kerana dia bersimpati dengan saya. Saya akan selalu mendoakan Dr Sharifah agar Allah merahmati bos saya yang sangat baik ini. Apabila saya merasa letih, saya tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja di wad. Saya hanya ditugaskan di klinik dengan kerja-kerja yang lebih ringan. Itupun, kalau Dr Habiba nampak saya asyik berdiri dia akan suruh saya ambil kerusi dan duduk. Bos-bos saya semuanya sweet. Alangkah bagusnya kalau saya dapat terus berada di Jabatan Haematology. Tetapi agak mustahil saya dapat duduk di jabatan ini, menambahkan bilangan pegawai perubatan nya pada angka tetapi tidak mampu berfungsi seperti medical officer(MO) Haematology yang lain. Saya masih ingat kata-kata seorang consultant saya kepada saya, " You have to find some other field that suit you. You see, you can not depend on other mercy forever'. Saya sedar, apa yang bos saya katakan itu ada benarnya. Saya perlu mencari bidang lain.
Terlalu banyak nikmat yang saya kecapi. Adalah satu nikmat juga, apabila saya tidak merasa sakit walaupun menghidapi penyakit. Maka Allah memberi peluang kepada saya untuk merasa juga sakit agar saya menghargai nikmat tiada sakit itu. Subhanallah, saya berpeluang merasai sakit yang sangat-sangat apabila menjalani pembedahan thymectomy.
Pada bulan Januari, doktor menasihatkan agar saya menjalani pembedahan thymectomy kerana nampaknya selama 10 bulan saya menghidap myasthenia gravis, saya masih tidak dapat pisahkan prednisolon daripada diri saya. Setiap kali dos prednisolon cuba dikurangkan, diplopia akan datang, slurring speech pun datang. Dan lebih merisaukan apabila saya mula merasakan paru-paru saya juga lemah. Saya tidak dapat lagi meniup belon. Apabila saya terlalu penat, saya mula rasa mengah. Maka saya terpaksa mengambil ubat prednisolone pada dos yang tinggi. Namun, saya tidak boleh terus bergantung kepada ubat prednisolon kerana kesan sampingan nya yang banyak. Memang saya sudah mulakan ubat Azathioprine untuk sebulan sejak Disember. Namun, saya terpaksa berhenti makan ubat itu. Bagaimanalah Azathioprine dapat gantikan prednisolone sedangkan saya tidak mahu bergantung kepada ubat cytotoxic itu juga.
1 Mac 2017 merupakan tarikh saya menjalani thymectomy(removal of thymus gland). Saya sempat merasai kesakitan yang paling teruk ketika kesan ubat bius hilang. Waktu itulah, saya rasakan kesakitan di skala 10(paling sakit). Doktor bius mulakan ubat morphine untuk saya. Lama-kelamaan sakit itu berkurangan. 12 hari telah berlalu, sakit di tempat pembedahan sudah semakin hilang. Saya hanya makan celebrex bila perlu. Tetapi saya masih tidak dapat tinggalkan paracetamol dan tramal. Saya tidak dapat lupa juga sakitnya ketika 2 chest tube yang digunakan untuk mengalirkan keluar darah, hendak di tarik keluar. Sakitnya subhanallah. Untuk chest tube yang pertama, tiada analgesia yang diberikan. Oleh kerana terlalu sakit, saya minta doktor yang melakukan procedure itu memberikan saya analgesia. Mereka masukkan IV Fentanyl dan menarik keluar chest tube kedua. Untuk kedua-dua chest tube yang ditarik keluar itu, saya menjerit. Saya tahu, sepatutnya saya perlu menarik nafas untuk mengelakkan daripada berlaku pneumothorax. Tetapi, saya tidak tahan sakit lalu menjerit. Ya Allah, dengan kesakitan ini, ampunkanlah dosa-dosaku.
Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan saya. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya. Saya juga ingin mendengar cerita-cerita daripada ramai lagi yang sentiasa memberikan inspirasi buat saya.
" Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau ridhai dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh, aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh, aku termasuk orang muslim."- Surah Al-Ahqaf 15-
Among my pain killers;) |
Susah payah adik-adik datang ziarah, sambil berkejar-kejar dengan kelas. Jazakunallahukhairan kathira. Uhibbukumfillah. |
Glasari:
BMAT: Bone marrow aspiration and trephine