Monday, March 29, 2010

Itu Tanggungjawab Saya


Saya baru sahaja menghadiri satu kursus intensif perbandingan agama. Kursus ini disampaikan oleh aktivis dakwah yang tidak asing lagi, iaitu Brother Shah Kirit. Brother Shah telah memeluk Islam pada tahun 1996. Diikutkan saya telah menganut Islam lebih lama daripada beliau iaitu sejak tahun 1987. Tapi, subhanallah...ilmu dan kefahaman beliau tentang Islam jauh lebih banyak daripada saya. Bagaimana boleh beliau yang tidak diasuh dari kecil dengan kehidupan beragama Islam menjadi lebih pandai tentang Islam?

Ini adalah kerana sebelum memeluk Islam, beliau telah mengenal kekufuran, kesyirikan. Maka, apabila hidayah sampai kepada beliau, kenikmatan iman yang beliau dapat itu, sangat-sangat beliau hargai. Sebaliknya, bagi kita yang lahir sebagai muslim ini, kita tidak kenal tantang kekufuran, kepelikan fahaman yang dianuti agama-agama lain. Sebab itu ramai muslim tidak menghargai nikmat iman dan Islam yang mereka ada. Maka, tujuan sebenar brother Shah memberitahu kami tentang semua agama lain adalah untuk menyedarkan kita semua bahawa kita beruntung kerana menjadi muslim. Bukan untuk kita menghina ajaran agama lain.


Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. 
(Surah Al-An'am,ayat 108)

Tetapi tanggungjawab muslim itu berat. Seseorang muslim itu perlu menyampaikan agama Islam ini kepada seluruh umat manusia. Dalam erti kata lain, kita wajib berdakwah.


Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada jalan Allah, mengerjakan kebajikan dan berkata,"Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim(yang berserah diri)?”
(surah al-Fussilat,ayat 33)

Maaf. Bukan kita tetapi saya wajib berdakwah. Tugas dakwah itu bukan ditujukan kepada sesuatu golongan atau kumpulan. Tetapi ia adalah tugas setiap individu muslim. Dalam ayat di atas, orang-orang yang berserah diri ditujukan kepada orang Islam. Bukankah kita yang telah menyerahkan diri kepada Allah? Kenapa kita tidak mahu menjalankan tugas kita sebagai hamba Allah?

Kita menjadi muslim dengan kaedah yang sangat mudah iaitu dilahirkan sebagai muslim. Kita tidak perlu mencari. Tetapi Allah sangat adil. Allah tidak akan mengganjari kita pahala yang sama dengan orang yang baru menerima Islam. Analoginya, jika kita menduduki peperiksaan, jika soalan peperiksaan itu mudah, tentulah pemeriksa akan lebih strik dalam memberi markah. Begitu jugalah kita. Allah tidak akan mudah memberi kita ganjaran kerana kita masuk Islam dengan cara yang mudah. Maka kita mestilah bekerja untuk agama Allah. Bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menegakkan agama Allah.

Dan jika kamu berpaling(dari jalan yang benar) Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan(durhaka)seperti kamu
(surah Muhammad,ayat38)

Sedihkan?jika Allah gantikan kita dengan orang lain. Maka sampaikanlah kerana itu adalah tanggungjawab kita.

Friday, March 26, 2010

Insan-insan berhati mulia

MasyaAllah...begitu ramai yang memberi sumbangan kepada tabung pemindahan buah pinggang abang long. Ada yang telah memberi sejumlah wang yang besar tetapi tidak diketahui namanya. Murninya hati mereka. Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas mereka.

Monday, March 15, 2010

Penganiayaan budak berusia 11 tahun


SYUKUR alhamdulillah, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, budak yang dipaksa berkahwin dengan seorang lelaki berusia 41 tahun akhirnya ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, Kepong, Kuala Lumpur kelmarin. Selepas dua minggu menjadi 'isteri' kepada Shamsuddin Che Derahman, Siti Nur kini boleh kembali ke pangkuan keluarga dan lebih penting, dapat meneruskan persekolahan seperti mana rakan-rakan sebayanya yang lain.-Utusan Malaysia,15 Mac 2010-

Memang benci bila ada yang menggunakan agama untuk buat benda terkutuk ni. Mana boleh samakan diri kita dengan nabi.

Sudahlah dalam era hari ini, umat Islam terpaksa menepis pelbagai bentuk penghinaan yang menyakitkan hati termasuk dalam kes kartunis Sweden, Lars Vilk yang menghina Nabi Muhammad SAW, muncul pula kes Shamsuddin yang berselindung di sebalik gerakan tabligh untuk memuaskan nafsu sendiri. -Utusan Malaysia,15 Mac 2010-

Sepatutnya kita orang Islam ni kenalah bela nabi atas fitnah yang orang kafir buat. Ini tidak, orang Islam sendiri yang cemarkan nama nabi dengan kononnya mengikut apa yang nabi buat.

Memang perlu ambil serious hal ni. Orang Islam mesti tahu sirah Rasulullah. Tahu kenapa Rasulullah berkahwin dengan isteri-isteri baginda. Ada satu kuliah best dari Imam Suhaib Webb. Tajuknya Mothers of Believers. Wajib untuk kita dengar kuliah ini supaya kita tidak salah sangka pada Rasulullah S.A.W.

Tidak adil untuk kita compare Rasulullah dengan culture kita sekarang. Walaupun Rasulullah berkahwin dengan Aisyah ketika Aisyah berusia 6 tahun, tetapi Rasulullah hanya tinggal bersama Aisyah apabila Aisyah berusia 9 tahun. Dan gadis berusia 9 tahun di zaman Rasulullah tidak sama dengan gadis 9 tahun zaman sekarang. Nenek kita pun rata-rata berkahwin pada usia 12 tahun. Jika 20 masih belum berkahwin, sudah dianggap andartu pada oleh masyarakat nenek kita. Kalau begitu, apatah lagi pada zaman Rasulullah.Tambahan pula, sebelum Rasulullah berkahwin dengan Aisyah lagi, Aisyah sudah pun bertunang dengan seseorang. Tetapi pertunangan itu dibatalkan kerana Abu Bakar memeluk Islam dan lelaki itu adalah musyrikin Quraisy. Jadi, jelas di sini bahawa berkahwin dengan gadis berusia 9 tahun adalah perkara yang norma di zaman Rasulullah.


http://www.youtube.com/watch?v=fkDXp3DZqmQ&feature=PlayList&p=206E1D06A74B1F29&index=0

Monday, March 8, 2010

My birthday

Sejak kebelakangan ini terlalu kurang rasanya waktu untuk bersama family. Minggu ni ada daurah lagi. Terlalu berat rasanya untuk pergi. Tambahan pula keluarga abang long yang tinggal nun di Kedah pulang ke KL. Rindu dengan Bihah, mesti banyak pengalaman pasal naik darjah satu yang nak diceritakan. Hati ini terlalu ingin berjumpa seorang abang yang sedang menanggung ujian yang sangat berat. Akhirnya saya buat keputusan untuk pulang sebentar ke rumah. Kemudahan kereta yang ayah berikan digunakan sepenuhnya. Sesampainya di rumah, hanya ada abang long di rumah. Kak long dan ayah pergi meeting. Mak pula pergi hantar Nana ke sekolah.


Abangku bercerita


Bila dengar saja saya pulang sebentar cuma kerana akan pergi ke program daurah, abang long terus bercerita tentang dakwah, tarbiyah, pasal Rasulullah. Abang long cakap pentarbiyahan sangat penting dalam mengembangkan dakwah. Alhamdulillah, sistem pentarbiyahan yang kita ada sekarang sangat cantik. Sangat mengikut sunnah Rasulullah. Dulu, semasa Rasulullah mula-mula mendapat wahyu, Rasulullah ditawarkan untuk mendapat kuasa dalam masyarakat. Tetapi Rasulullah tak pilih kuasa. Kenapa Rasulullah tak pilih kuasa?Bukankah mudah berdakwah kalau kita ada kuasa memerintah? Rasulullah memilih untuk mentarbiyah para sahabat kerana Rasulullah tahu, apa yang penting adalah mendapatkan hati pengikut baginda terlebih dahulu. Akhirnya telah terbukti, daripada pentarbiyahan itu, telah menghasilkan jemaah yang sangat kuat. Sehinggakan seorang sahabat nabi itu memiliki kekuatan 1000 orang. Mereka tidak gentar berjuang di jalan-Nya. Mereka tidak takut mati dan sangat merindui syahid.

Abang long juga ceritakan kisah nabi ketika baginda ke Thaif untuk mendapatkan perlindungan tetapi ditentang. Sungguh sedih mengenangkan nabi yang dibaling batu sehingga berdarah tubuh badannya. Sehinggakan malaikat minta pada nabi untuk menterbalikkan gunung biar terhapus manusia yang kejam itu semuanaya. Tetapi Rasulullah tidak membenarkannya kerana Rasulullah berharap suatu hari nanti orang-orang Thaif akan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Besarnya pengorbanan nabi untuk umatnya. Hasil daripada pengorbanan nabi dapatlah kita menikmati nikmat Iman dan Islam hingga kini. Rasulullah tidak tinggalkan bangunan yang tinggi, istana yang indah atau lapangan terbang yang canggih. Tapi Rasulullah tinggalkan kita dengan Al-Quran dan As-sunnah. Abang long ceritakan juga kisah penghijrahan nabi dan orang Islam ke Madinah. InsyaAllah akan saya tulis dalam entry yang lain. Sebab ceritanya agak panjang.

Pada mulanya saya berniat untuk terus ke program daurah di Keramat walaupun ada satu penyampaian oleh seorang akhi di kolej. Tetapi selepas berbual dengan abang long,semangat untuk berdakwah semakin berkobar-kobar. maka saya gagahkan juga diri untuk ke kolej sebelum zohor. Lagipun kalau saya tak bersama dengan akhawat yang masih berada di Cyberjaya, siapa yang akan bawa mereka ke Keramat. Tak ramai yang tahu jalan. So, after abang long keluar rumah untuk ke hospital bagi menjalani dialysis, saya pon bertolak balik ke Cyberjaya.

Agak sedih dengan kehadiran di kolej petang itu. Akhawat berapa kerat je,manakala ikhwah takde langsung. Memang benarlah kata-kata brother ammar dalam daurah minggu lepas, kerja-kerja dakwah ini sifatnya lambat dan susah.
Wa amma man jaaka yas’a, wa huwa yakhsya. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersusah payah, dan dia takut kepada Allah. (Surah Abasa:8-9)

Dua tahap yang membolehkan seseorang itu memperoleh hidayah adalah ‘as sa’yu’ (susah payah) dan ‘alkhasyiyah’ (rasa takut kepada Allah SWT). Ertinya, sesiapa pun yang mengkehendaki hidayah Allah SWT, dia harus bersusah payah berusaha mencari dan mendapatkannya dan dia juga harus memiliki rasa takut kepada Allah di dalam lubuk hatinya yang paling dalam.

Surau A

Sesampainya di surau A, seperti biasa, kami disambut mesra oleh akhawat di sana. Rasa hati sangat gembira bila bertemu mereka lagi. Memetik kata-kata Afeera dalam emailnya;

kata-kata Salman alFarisi - ‘Abil islamun, la abaali siwahun, hiina iftaqarrun bi qais au tamimun’ – Ayahku adalah islam, tidak ada ayah selainnya di saat manusia lain berbangga-bangga dengan puak Qais atau Tamim. Aku berbangga ayahku adalah Islam.

Salman berbangga ayahnya Islam. Apa maksud ayah kita adalah Islam? Maksudnya semua orang Islam itu adalah adik beradik kita. Kalau kita kata ayah kita adalah Encik S, maka adik beradik kandung kita sahaja adalah adik beradik kita. Tapi kalau ayah kita adalah Islam, semua orang Islam adalah adik beradik kita. Dan itulah yang kami rasai sepanjang kami di sana.

Pengisian pada malam tu sangat menarik. Tajuknya adalah jerat-jerat syaitan. Dalam sesi LDK, Kak Iman fasi telah tambahkan lagi pengisian tentang pintu-pintu syaitan. Antara pintu syaitan memasuki fikiran manusia adalah marah. Saya telah menceritakan kepada group LDK saya tentang pengalaman saya 2 hari lepas. Saya marah pada seorang kawan sampaikan terlintas di hati untuk tidak bertegur sapa dengan sahabat itu. Nasib baik ia tidak berlarutan. Sesungguhnya melawan hasutan syaitan itu sangat susah. Sebab itu kita mesti berserah diri secara total pada Allah. Minta perlindungan daripada Allah dan selalu beristighfar.

Wahai orang-orang yang beriman!Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah setan. Sungguh ia musuh yang nyata bagimu. Surah Al-Baqarah: 208

Ada yang menangis tatkala mendengar cerita saya. Lembutnya hati mereka. Saya sendiri tidak menangis semasa menceritakan pengalaman saya itu.

Sebelum tidur, kami mentadabbur ayat 32-42 dari surah Al-Aaraf.

Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah AlAaraf: 35)
Allah tahu saya sedih kerana tidak dapat berada di rumah di hujung minggu. Tambahan pula, esok adalah hari lahir saya. Tetapi Allah telah ingatkan saya dengan kalamNya. Mereka yang benar-benar bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak akan bersedih dan berdukacita.

Kemudian kami menghayati pula ayat ini,
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. (Surah Al Aaraf: 40)

MasyaAllah..hamba-Nya yang tidak patuh tidak akan dapat masuk syurga. “….dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum”.

Sesungguhnya saya sangat bersyukur kerana sekali lagi dipilih oleh Allah untuk berada dalam program seperti ini. Ya ALLAH kau tetapkanlah hatiku dalam jalan dakwah dan kau kuatkanlah imanku.amin.