Sejak kebelakangan ini terlalu kurang rasanya waktu untuk bersama family. Minggu ni ada daurah lagi. Terlalu berat rasanya untuk pergi. Tambahan pula keluarga abang long yang tinggal nun di Kedah pulang ke KL. Rindu dengan Bihah, mesti banyak pengalaman pasal naik darjah satu yang nak diceritakan. Hati ini terlalu ingin berjumpa seorang abang yang sedang menanggung ujian yang sangat berat. Akhirnya saya buat keputusan untuk pulang sebentar ke rumah. Kemudahan kereta yang ayah berikan digunakan sepenuhnya. Sesampainya di rumah, hanya ada abang long di rumah. Kak long dan ayah pergi meeting. Mak pula pergi hantar Nana ke sekolah.
Abangku bercerita
Bila dengar saja saya pulang sebentar cuma kerana akan pergi ke program daurah, abang long terus bercerita tentang dakwah, tarbiyah, pasal Rasulullah. Abang long cakap pentarbiyahan sangat penting dalam mengembangkan dakwah. Alhamdulillah, sistem pentarbiyahan yang kita ada sekarang sangat cantik. Sangat mengikut sunnah Rasulullah. Dulu, semasa Rasulullah mula-mula mendapat wahyu, Rasulullah ditawarkan untuk mendapat kuasa dalam masyarakat. Tetapi Rasulullah tak pilih kuasa. Kenapa Rasulullah tak pilih kuasa?Bukankah mudah berdakwah kalau kita ada kuasa memerintah? Rasulullah memilih untuk mentarbiyah para sahabat kerana Rasulullah tahu, apa yang penting adalah mendapatkan hati pengikut baginda terlebih dahulu. Akhirnya telah terbukti, daripada pentarbiyahan itu, telah menghasilkan jemaah yang sangat kuat. Sehinggakan seorang sahabat nabi itu memiliki kekuatan 1000 orang. Mereka tidak gentar berjuang di jalan-Nya. Mereka tidak takut mati dan sangat merindui syahid.
Abang long juga ceritakan kisah nabi ketika baginda ke Thaif untuk mendapatkan perlindungan tetapi ditentang. Sungguh sedih mengenangkan nabi yang dibaling batu sehingga berdarah tubuh badannya. Sehinggakan malaikat minta pada nabi untuk menterbalikkan gunung biar terhapus manusia yang kejam itu semuanaya. Tetapi Rasulullah tidak membenarkannya kerana Rasulullah berharap suatu hari nanti orang-orang Thaif akan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Besarnya pengorbanan nabi untuk umatnya. Hasil daripada pengorbanan nabi dapatlah kita menikmati nikmat Iman dan Islam hingga kini. Rasulullah tidak tinggalkan bangunan yang tinggi, istana yang indah atau lapangan terbang yang canggih. Tapi Rasulullah tinggalkan kita dengan Al-Quran dan As-sunnah. Abang long ceritakan juga kisah penghijrahan nabi dan orang Islam ke Madinah. InsyaAllah akan saya tulis dalam entry yang lain. Sebab ceritanya agak panjang.
Pada mulanya saya berniat untuk terus ke program daurah di Keramat walaupun ada satu penyampaian oleh seorang akhi di kolej. Tetapi selepas berbual dengan abang long,semangat untuk berdakwah semakin berkobar-kobar. maka saya gagahkan juga diri untuk ke kolej sebelum zohor. Lagipun kalau saya tak bersama dengan akhawat yang masih berada di Cyberjaya, siapa yang akan bawa mereka ke Keramat. Tak ramai yang tahu jalan. So, after abang long keluar rumah untuk ke hospital bagi menjalani dialysis, saya pon bertolak balik ke Cyberjaya.
Agak sedih dengan kehadiran di kolej petang itu. Akhawat berapa kerat je,manakala ikhwah takde langsung. Memang benarlah kata-kata brother ammar dalam daurah minggu lepas, kerja-kerja dakwah ini sifatnya lambat dan susah.
Wa amma man jaaka yas’a, wa huwa yakhsya. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersusah payah, dan dia takut kepada Allah. (Surah Abasa:8-9)
Dua tahap yang membolehkan seseorang itu memperoleh hidayah adalah ‘as sa’yu’ (susah payah) dan ‘alkhasyiyah’ (rasa takut kepada Allah SWT). Ertinya, sesiapa pun yang mengkehendaki hidayah Allah SWT, dia harus bersusah payah berusaha mencari dan mendapatkannya dan dia juga harus memiliki rasa takut kepada Allah di dalam lubuk hatinya yang paling dalam.
Surau A
Sesampainya di surau A, seperti biasa, kami disambut mesra oleh akhawat di sana. Rasa hati sangat gembira bila bertemu mereka lagi. Memetik kata-kata Afeera dalam emailnya;
kata-kata Salman alFarisi - ‘Abil islamun, la abaali siwahun, hiina iftaqarrun bi qais au tamimun’ – Ayahku adalah islam, tidak ada ayah selainnya di saat manusia lain berbangga-bangga dengan puak Qais atau Tamim. Aku berbangga ayahku adalah Islam.
Salman berbangga ayahnya Islam. Apa maksud ayah kita adalah Islam? Maksudnya semua orang Islam itu adalah adik beradik kita. Kalau kita kata ayah kita adalah Encik S, maka adik beradik kandung kita sahaja adalah adik beradik kita. Tapi kalau ayah kita adalah Islam, semua orang Islam adalah adik beradik kita. Dan itulah yang kami rasai sepanjang kami di sana.
Pengisian pada malam tu sangat menarik. Tajuknya adalah jerat-jerat syaitan. Dalam sesi LDK, Kak Iman fasi telah tambahkan lagi pengisian tentang pintu-pintu syaitan. Antara pintu syaitan memasuki fikiran manusia adalah marah. Saya telah menceritakan kepada group LDK saya tentang pengalaman saya 2 hari lepas. Saya marah pada seorang kawan sampaikan terlintas di hati untuk tidak bertegur sapa dengan sahabat itu. Nasib baik ia tidak berlarutan. Sesungguhnya melawan hasutan syaitan itu sangat susah. Sebab itu kita mesti berserah diri secara total pada Allah. Minta perlindungan daripada Allah dan selalu beristighfar.
Wahai orang-orang yang beriman!Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah setan. Sungguh ia musuh yang nyata bagimu. Surah Al-Baqarah: 208
Ada yang menangis tatkala mendengar cerita saya. Lembutnya hati mereka. Saya sendiri tidak menangis semasa menceritakan pengalaman saya itu.
Sebelum tidur, kami mentadabbur ayat 32-42 dari surah Al-Aaraf.
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah AlAaraf: 35)
Allah tahu saya sedih kerana tidak dapat berada di rumah di hujung minggu. Tambahan pula, esok adalah hari lahir saya. Tetapi Allah telah ingatkan saya dengan kalamNya. Mereka yang benar-benar bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak akan bersedih dan berdukacita.
Kemudian kami menghayati pula ayat ini,
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. (Surah Al Aaraf: 40)
MasyaAllah..hamba-Nya yang tidak patuh tidak akan dapat masuk syurga. “….dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum”.
Sesungguhnya saya sangat bersyukur kerana sekali lagi dipilih oleh Allah untuk berada dalam program seperti ini. Ya ALLAH kau tetapkanlah hatiku dalam jalan dakwah dan kau kuatkanlah imanku.amin.