Sunday, December 20, 2015

Allah Maha Berkuasa dan Maha Menentukan

Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati
(Surah At-Taghabun ayat 4)

(Dialah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah saja.(Surah At-Taghabun ayat 14)


Kalam Allah sentiasa berjaya mengetuk pintu hati hamba-hambanya. Ia bagaikan memahami apa yang kita rasa. Di saat kita merasa putus harap, kalam Allah datang bagaikan memujuk hati kita. 

Kita berusaha dalam segala macam hal dalam hidup kita. Sampai satu saat, kita tak mampu lagi berbuat apa-apa. Bukan sahaja kita tak boleh buat apa-apa dah, kita juga tak boleh berkata apa-apa lagi. Pada waktu tu, kita berserah bulat-bulat kepada Allah. Kita meletakkan pengharapan kepada Allah SWT.  Bukankah Allah yang Maha Berkuasa boleh laksanakan apa sahaja. Bukankah Allah yang Maha Menentukan bisa menentukan bila sesuatu itu akan terlaksana. 

Berdoalah kepadaNya. Mengadulah kepadaNya. Tiada tempat berharap selain Dia. Dia yang Maha Mengetahui apa sahaja yang ada di sekalian langit dan di bumi. Pandangan Allah menembusi ke dalam sanubari kita. 

Teringat suatu perkongsian seorang saudara baru di radio IKIM tak lama dulu. Apabila ukhti tu ditanya apakah kenangan paling manis yang beliau pernah lalui sejak memeluk agama Islam. Jawabnya, kenangan paling manis adalah ketika mendapat tahu yang segala ujian yang Allah berikan, Allah sertakan dengan ganjaran berlipat ganda. Segala kekurangan kita di dunia ini, jika kita bersabar dengan kekurangan itu, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik di akhirat kelak. Kata ukhti tu, sebelum ini, dia selalu bersedih dengan musibah, tetapi setelah beliau mengenal Allah, dia sentiasa gembira dan tenang.  Subhanallah..sangat dahsyat iman saudara baru tu. Jika soalan yang sama ditujukan kepada saya, mungkin jawapan saya, kenangan manis adalah pergi jalan-jalan sana sini, jumpa orang ni, orang tu. Sungguh, jawapan spontan saudara baru tu, sangat-sangat menginsafkan saya. 

Ada satu doa yang Rasulullah ajarkan kepada seorang sahabat. Doanya berbunyi...
Ya Allah bimbinglah akan daku atas mengingati Engkau dan bersyukur kepada Engkau dan beribadat dengan baik terhadap Engkau. 

Wallahualam

Friday, July 3, 2015

Satu Malam Sebelum Ramadhan

Malam sebelum 1 Ramadhan saya oncall. Kerap juga saya oncall dalam seminggu dua ni. Bagi saya, biarlah berlelah dahulu, asalkan dapat kurangkan oncall di malam-malam Ramadhan. 

Ada 3 pesakit saya yang menemui ajalnya sewaktu saya bertugas. Ada pula seorang pesakit yang juga collapse dan hampir sahaja nyawa meregang dari jasad. Sebagai doktor, kematian itu sudah selalu terjadi di hadapan mata. Cuma, bila waktunya menjelang Ramadhan, sayu juga rasa hati ini melihat ada yang tidak sempat bertemu dengan Ramadhan. 

Salah seorang pesakit saya meninggal itu adalah Mr Warburton yang merupakan lelaki inggeris berusia 95 tahun. Dia berada di wad sejak semalam lagi. Mr Warburton sudah setahun terlantar di rumah kerana tulang pahanya patah. Dia terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit disebabkan tulang patah itu. Dan kini, ubat tahan sakit yang dimakan secara berterusan itu telah menyebabkan ususnya berdarah. Keputusan Oesophagogastroduodenoscopy (OGDS) mengesahkan punca pendarahannya. 

Pagi tadi, tiba-tiba dia tidak sedar. Tekanan darahnya jatuh mendadak. Kami telah melakukan intubasi untuk menyokong pernafasan beliau. Oleh kerana pendarahan di usus sangat teruk, ditambah dengan keadaannya yang lemah, isterinya tidak memilih untuk aktif resusitasi(NAR=not active resuscitation). Jadi,selepas ini, jika sekiranya ajalnya telah sampai, kami tidak akan melakukan cardiac pulmonary resuscitation(CPR). 

Selang satu katil dari katil Mr Warburton, adalah En. Ab Aziz. Dia menghidap sakit buah pinggang. Dalam masa yang sama, dia terkena jangkitan kuman di paru-paru yang teruk sehingga ke tahap sepsis. Fungsi buah pinggangnya menjadi semakin merosot disebabkan sepsis. Pernafasan juga terjejas sehingga terpaksa menggunakan alat bantu pernafasan BiPAP. 

Apabila menjelaskan keperluan haemodialysis kepada En Aziz, beliau enggan untuk menjalani haemodialysis. "En. Aziz, kalau tak buat dialysis malam ni, mungkin encik akan mati malam ni", jelas saya kepada beliau yang enggan untuk menjalani haemodialysis. "Biar saya mati", sahut En Aziz sambil tercungap-cungap. "En. Aziz nak mati sekarang?esok bulan Ramadhan En.Aziz...takkan tak nak jumpa Ramadhan, kami nak bantu encik ni", jawab saya dengan harapan beliau mengubah fikirannya. Serta merta mukanya berubah. Mungkin, dia pun baru teringat tentang itu. 

Siapa yang tidak mahu bertemu Ramadhan, bulan yang mulia. Bulan yang lebih baik daripada seribu bulan. "Kita buat dialysis malam ni ya En Aziz?, sekali lagi saya cuba mendapatkan persetujuan beliau. Dia hanya mengangguk tanda setuju. Setelah saya masukkan femoral catheter untuk tujuan urgent haemodialysis, beliau segera dihantar ke ICU. 

Ketika saya dalam proses memasang femoral catheter untuk En Aziz sebentar tadi, Dr Nadia, junior saya, memaklumkan saya bahawa Mr Warburton telah meninggal dunia. Isterinya nampak begitu sedih tetapi sungguh tenang. Pada pengamatan saya, pasti mendiang merupakan seorang yang sangat baik hati. Disebabkan itu, isterinya telah menjaganya dengan begitu baik. Walaupun beliau sudah setahun terlantar, keadaan tubuh badannya bersih, tiada sacral sore, tiada masalah kulit. Saya tahu, bukan mudah untuk isterinya membuat keputusan untuk tidak melakukan aktif resusitasi ke atas suaminya. Hanya setelah melihat suaminya di intubate dan mustahil untuk melakukan OGDS sekali lagi, baru lah beliau menerima keadaan suaminya dan bersetuju untuk NAR. 

Sesuatu yang membuatkan saya tersentuh adalah apabila mengisi burial permit mendiang, saya perlu menandakan agama mendiang. Tiada data tentang agamanya di dalam fail beliau. Maka, saya bertanya kepada isteri mendiang yang merupakan seorang wanita Cina berkerakyatan British tetapi berstatus Malaysia as second home. "Mrs Warburton, may I know his religion?", saya bertanya kepada isterinya dengan perlahan. "ya?", tanya nya kembali kerana soalan saya tadi kurang didengari. " Is he a Christian?", tanya saya lagi. "Yes. He is", jawabnya ringkas. Hati saya agak terusik ketika itu. Selama 95 tahun insan ini hidup, belumkah datang seseorang yang menyampaikan Islam kepada beliau..

Selepas jasad mendiang Warburton di bawa keluar dari wad menggunakan keranda, masuk pula seorang pesakit baru daripada red zone jabatan kecemasan. Pakcik yang berusia 75 tahun itu terbaring dengan separa sedar. Kelihatan dia bernafas dengan payah. Walaupun sudah diberikan high flow mask dengan jumlah oxygen 15L/min, dia masih 'gasping'. Ada wajah tidak puas hati di kalangan staff nurse ketika menerima pesakit. "Kata GCS full", terdengar staff nurse yang in charge katil berkenaan mengomel. Sekilas saya membelek nota pesakitnya. "DIL and NAR issued", kata saya kepada junior saya(houseman) dan staff nurse. Semua kembali tenang. 

Saya dan houseman saya sama-sama mendapatkan history daripada keluarga pesakit. Rupa-rupanya pesakit ini sudah lama nazak di rumah. Tidak makan dan tidak berjalan. Tiba-tiba, pernafasannya menjadi laju setelah ahli keluarga menyuapkan makanan ke dalam mulut pesakit. Lalu dia tersedak dan susah bernafas. Jelas, pesakit ini baru sahaja terkena jangkitan kuman di paru-paru akibat makanan termasuk ke paru-paru, Aspiration Pneumonia. Disebabkan sudah tua dan keadaan sudah terlalu kritikal, pihak pegawai perubatan di jabatan kecemasan dan keluarga pesakit sudah sepakat untuk tidak melakukan intubasi/CPR sekiranya pesakit ini collapse

Setelah habis membuat pemeriksaan  dan menyenaraikan plan saya untuk pesakit baru ini, saya mendapat panggilan daripada kawan saya di wad sebelah. Ada pesakitnya collapse! Saya segera ke wad sebelah. Sesampainya saya di situ, Dr Nadia sudah pun menamatkan CPR pusingan pertama. Manakala Dr Hana sudah bersedia untuk melakukan intubasi. 

" Dah bagi adrenaline ke?", tanya saya. "Dah bagi sekali",jawab SN. "Ok,bg lagi 1ampule IV adrenaline. Dalam pada mereka memasukkan ubat adrenaline tu, Dr Hana sudah pun memasukkan ETT tube. Segera saya memeriksa samada tiub itu masuk ke peparu atau ke perut. "Ok, in!", beritahu saya kepada mereka. Lantas, manual bagging dan CPR di teruskan. 

Tiba-tiba, cardiac monitoring menunjukkan jantung sedang berdegup kencang, 240 degup seminit!Dan rima nya pula adalah ventricular tachycardia, sementara pulse, masih tiada. "Prepare gel, we need to shock her", kata Dr Stephanie. "Prepare IV Amiodarone 150mg in 500cc D5%", saya pula memberi arahan. "Ready to shock patient, I'm clear, everybody clear?", Dr Stephanie sudah bersedia untuk memberikan kejutan 200J kepada jantung pesakit. Semua melepaskan tangan daripada pesakit dan berganjak sedikit daripada katil. Kelihatan badan pesakit sedikit melambung setelah diberikan kejutan. 

Lalu CPR di teruskan, buat sementara rima jantung belum dapat dibaca, jadi hare wire. Manakala kadar nadi masih mencecah 200. "Staff nurse, boleh infuse IV Amiodarone tu sekarang", beritahu saya kepada SN. Sebentar saya mencari carotid pulse nya di leher,"pulse present!". 

Alhamdulillah, rima jantung nya kembali teratur. Kadar degupan jantung nya juga kembali normal, 99 degup seminit. "Blood pressure 180/90, SPO2:100%, I'm going call up anaest team now", kata Dr Stephanie. 

Sewaktu dalam kekalutan tadi, ada staff nurse dari wad saya mencelah menunjukkan printed cardiac monitoring pesakit saya yang baru tiba di wad sebentar tadi. Cardiac monitoring nya menunjukkan straight line, tanda sudah tiada lagi degupan jantung. " I balik wad dulu ya Stephanie, ada patient I LO", kata saya kepada Dr. Stephanie. Kawan saya itu memandang saya serta merta. "NAR patient", sambung saya lagi. "Ohh, ok ok, u pergi lah..thank you for helping", kata Dr. Stephanie. " Welcome!", jawab saya sambil terus menuju ke wad saya. 

Sesampainya saya di wad saya, burial permit sudah tersedia untuk saya isi. Saya menerangkan kembali punca kematian kepada keluarga pesakit, mereka nampak tenang dan dapat menerima pemergian ayah yang tersayang. 

Begitulah kisah 1 malam sebelum Ramadhan yang dilalui oleh saya. Terkadang kita menjalani hari-hari kita tanpa merasakan betapa bertuahnya kita. Kita lupa betapa bertuahnya kita dapat bertemu dengan Ramadhan. Bulan yang menyamai seribu bulan....Bulan yang sangat mudah untuk kita mendapat pengampunan dosa....Bulan yang di dalam nya ada malam lailatul qadar. 

Subhanallah..seandainya kita benar-benar tahu apa yang terkandung dalam bulan Ramadhan ini, pasti kita nak setiap hari dalam kehidupan kita adalah Ramadhan. Tapi, bulan ini hanya ada 30 hari. Jadi, sama-samalah kita meningkatkan motivasi untuk beramal sebanyak-banyaknya di bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini jauh lebih baik dari Ramadhan sebelum ini.


Monday, May 25, 2015

Mak Ngah...

Rumah peninggalan arwah nenek

Hujung minggu baru ni saya balik kampung Losong, di Kuala Terengganu. Pertama kali saya balik kampung selepas mak ngah pulang ke rahmatullah. Mak ngah saya, Allayarhamah Hasmah Jusoh telah meninggal dunia pada 11 Januari 2015 di Mekkah. 

Mak ngah adalah ibu saudara saya yang paling rapat dengan kami adik beradik. Mak ngah tak punya suami mahupun anak. Beliau pernah berkahwin di usia mudanya, namun, jodohnya tak panjang, perkahwinan beliau berakhir dengan penceraian. Beliau pernah ada anak, tapi meninggal dunia di usia kecil. 

Begitu banyak jasa mak ngah kepada kami. Beliau lah yang menjaga abang sulong saya dan kakak saya yang kedua ketika ibu saya sedang menuntut di UK. Bersama dengan nenek. Mak ngah dan nenek juga jaga kami sewaktu ayah dan ibu menunaikan haji. Namun, saya kurang hargai mak ngah dulu. Apa yang kami ingat, mak  ngah garang. Biasalah, budak kecil mana tahu apa-apa. Sekarang saya rindu mak ngah. Sedih bila balik kampung tapi mak ngah tiada. 

Gambar bersama mak ngah di Genting Highland

Saya masih ingat, sewaktu saya masih menuntut di universiti, pernah saya bawa beberapa orang kawan  balik ke kampung Losong untuk bercuti di Terengganu. Saya bawa kawan-kawan saya ke tempat-tempat menarik di Kuala Terengganu. Mak ngah sangat senang menerima kedatangan kami. Awal-awal pagi lagi, mak ngah sudah keluar untuk belikan kami nasi lemak ikan dan beli pelbagai jenis kuih untuk kami. Sebelah malam pula, mak ngah jamu kami dengan buah durian. 

Pada hari kedua, kawan-kawan saya ke tasik kenyir. Tapi saya tidak turut serta kerana mahu luangkan masa dengan mak ngah di rumah. Kami telah ke bandar Kuala Terengganu dengan menaiki teksi. Ketika di pasar, ada penjual sayur menegur, "anok mu ke mek moh?". Mak ngah hanya senyum. Saya juga cuma berbalas senyum dengan penjual itu. Dalam hati saya berbisik, mungkin mak ngah lebih senang hati jika kawan-kawannya di pasar fikir saya anaknya. Sedih bila mengenangkan. Mak ngah belikan saya tudung. Selepas makan nasi air, kami berdua pulang ke rumah nenek dengan menaiki van salah seorang penjual di pasar itu. Itulah kenangan yang paling saya ingat bersama mak ngah. 

Mak ngah saya berbakat orangnya. Hasil tenunan songket beliau sangat ekslusif. Beliau juga sangat hebat masak gulai dalam kawah. Waktu abang saya berwalimah, mak ngah lah yang jadi chief chef nya. Semua tetamu memuji-muji gulai daging mak ngah. 

Pada Januari yang lalu, mak ngah berpeluang menjadi tetamu Allah.  Saya tidak sempat untuk berjumpa dengan mak ngah sebelum dia berangkat kerana exam sangat dekat. Hanya mak saya dan adik saya, Munirah sempat berjumpa dengan mak ngah di airport. Mak cerita, sewaktu nak berangkat, mak ngah risau baju yang dibawanya tidak mencukupi. Sedangkan ayah long komen, mak ngah bawa terlalu banyak baju. Gayanya macam nak ke sana selama-lamanya. "mak ngah, doakan mun dapat keje ya?", pesan Munirah kepada mak ngah ketika di airport. "Mu dok dapat keje lagi?", sambut mak ngah. Munirah menggeleng. "Mak ngah doakan",jawab mak ngah.

Kali terakhir mak bertemu mak ngah di airport

Mak ngah pernah menghubungi ibu ketika di Madinah. Suaranya ceria. Arwah telefon untuk maklumkan kepada ibu, bahawa beliau akan bertolak ke Mekkah. Dalam minggu yang sama, ibu mendapat berita yang mak ngah telah pergi buat selama-lamanya. Arwah sempat, menunaikan ibadah umrah sebelum pulang menghadap al-Khaliq. 

Arwah meninggal dunia di hotel sewaktu mak long ke masjidil haram. Mak ngah tidak solat di masjid malam tu kerana dia agak tidak sihat sejak siang harinya. Sudah dipesan oleh ayah long, tidak perlu lah mak ngah ke Jaaranah esoknya untuk pasang niat umrah lagi memandangkan beliau tidak sihat. Tetapi mak ngah tetap berkira-kira mahu ikut esok. Sampaikan beliau sudah pun mencari orang yang boleh diupah menolak beliau menggunakan kerusi roda ketika melakukan umrah nanti. Siapa sangka, itulah hari terakhir mak ngah bernafas di dunia ini.

Urusan jenazah mak ngah di sana sangat mudah. Tambahan pula, mak ngah ke Mekkah dengan abang kandungnya, ayah long. Turut sama adalah anak-anak saudara lelaki beliau(anak ayah long, sepupu saya). Sesudah dimandikan dan dikafankan, jenazah telah dibawa ke masjidil haram untuk disembahyangkan. Almarhum telah disembahyangkan oleh ribuan jemaah di situ. Ayah long dan sepupu saya bersama-sama dengan petugas dari Arab Saudi menyelesaikan urusan pengkebumian.

Sampai sekarang, saya masih tidak percaya mak ngah sudah tiada. Berkat doa mak ngah, Munirah sekarang sudah dapat kerja. Saya berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah mak ngah, mengampunkan dosanya dan meletakkan beliau di kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah buat mak ngah...

Gambar terakhir saya dan adik saya bersama mak ngah

Saturday, May 23, 2015

Jaulah Ukhuwwah

Alhamdulillah, saya baru pulang dari Padang, Indonesia. Sungguh, ia merupakan satu pengembaraan yang sarat dengan ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman.

Kembara saya kali ini sungguh istimewa kerana rakan kembara saya  adalah ibu saya dan sahabat-sahabatnya. Ini merupakan salah satu aktiviti group usrah mereka. Alhamdulillah, saya berpeluang turut serta.

Kami tiba di Padang, Indonesia pada 17 May. Tempat yang pertama kami tuju adalah Perguruan Islam Darul Hikmah. Kami telah disambut baik oleh cikgu-cikgu sekolah ini. Darul Hikmah ini telah di tubuhkan oleh alumni Thawalib, salah sebuah sekolah yang pernah dipengetuai oleh Buya Hamka. Terdapat 3 perguruan yang pernah dipengetuai oleh Buya Hamka, Thawalib, Kuliyyatul mubalighin dan Diniyyah Putri. 


Siapakah Buya Hamka? Sebelum jaulah ini, saya tidak kenal dengan tokoh ini. Alhamdulillah, sekarang saya sudah tahu banyak tentang beliau. Buya Hamka adalah salah seorang ulama besar yang lahir di Indonesia. Beliau merupakan seorang pejuang yang sangat berjasa di era pergerakan melawan penjajahan Belanda. 

Disebabkan Thawalib kurang mendapat sambutan, alumni Tawalib telah menubuhkan perguruan ini pada tahun 2008 demi membangunkan anak bangsa. Alhamdulillah, semakin lama, sekolah ini semakin diminati bukan sahaja oleh masyarakat setempat, malah daripada negeri-negeri lain dalam Indonesia. 

Saya sangat meminati kurikulum sekolah ini yang mengharuskan pelajar menghafal al-quran di setiap tingkatan. Jadi, selepas, tamat 3 tahun pengajian di sini, pelajar-pelajarnya sudah menghafal 3 juzuk Al-Quran. Sekolah ini juga sangat memberi penekanan kepada kebolehan pelajar untuk menyampaikan ceramah. Setiap kali musim cuti sekolah, mereka perlu berceramah di 5 buah masjid. Jadi, setiap masjid yang pelajar itu pergi untuk sampaikan ceramah, pelajar itu akan meminta tandatangan atau cop daripada ketua masjid. Disamping itu, sudah tentu mereka boleh menjadi imam kerana sudah banyak hafalannya.

Selain itu, saya sangat tertarik dengan penekanan penguasaan bahasa asing di kalangan pelajar. Di sini, pelajar di letakkan di asrama mengikut bahasa yang sedang dipelajari. 3 bahasa yang perlu mereka pelajari adalah bahasa mandarin, arab dan English. 
Bak kata Buya Hamka, 'jika mahu mahunguasai dunia,kuasailah bahasa'. 

Sebelum pulang, kami sempat menemuramah pelajar-pelajar di sini. Ustazah Zaiton berbual dengan salah seseorang pelajar dalam bahasa arab. Kak wan, makcik ila dan emak saya bercakap dengan mereka dalam bahasa inggeris. Ada seorang pelajar lagi mengambil kesempatan untuk menemubual Dr Har. Saya sangat kagum dengan keyakinan diri yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar di sini. Sangat sukar untuk kita jumpa murid yang berani seperti ini di Malaysia. Saya banyak belajar daripada adik-adik di sini. Apabila sesuatu bahasa itu bukanlah bahasa ibunda kita, orang akan faham akan ketidakfasihan malah mereka akan hargai usaha kita yang telah mencuba. Jadi, sangat tidak wajar untuk bersifat malu atau takut untuk bertutur dalam bahasa asing. 

Kemudian, kami ke rumah kebudayaan Padang Panjang Sumatera Barat. Di sini, kami menemui ibu Nita. Saya sangat kagum dengan adat minangkabau. Ia merupakan adat yang diwarisi sejak turun temurun. Jika diteliti, adat mereka sungguh halus dan berjaya memberikan kesan positif ke dalam masyarakat. Mereka diajarkan untuk melindungi kaum wanita dan membiasakan kaum lelaki berdikari sedari kecil. Di sini, saya berpeluang mengenakan pakaian tradisi orang minangkabau. Asalnya, saya sangka pakaian yang biasa dengan topi yang bentuk kerbau tu. Rupa-rupanya, pakaian pengantin! Malunya nak pakai, tapi tak sampai hati pula nak tolak ajakan ibu Nita. Maka saya pun pakai la baju tu dan bergambar ramai-ramai bersama emak dan sahabat-sahabat emak. Siap ada pelamin lagi.hihi...

Mereka sedang khusyuk mendengar penerangan ibu Nita

Kami sempat juga menziarahi Kuliyyatul mubalighin dan Thawalib di Parabek. Ketika di Parabek, sesuatu yang diluar jangkaan telah berlaku. Dr Har telah bertanyakan kepada pihak sekolah, bagaimana cara mereka mengawasi anak-anak remaja di sini supaya mereka tidak terjebak dengan gejala sosial dan dalam masa yang sama memastikan mereka tidak ketinggalan dengan teknology masa kini. Langsung, cikgu di Thawalib meminta agar Dr Har memberi pengisian buat santri di Thawalib, Parabek pada malamnya. Maka, kami datang lagi ke sekolah itu pada malam itu. Saya sangat suka dengan penyampaian yang disampaikan oleh Dr Har. Ia sangat simple dan penuh informasi. Ia berkenaan fisiology peranakan wanita. Santri diberi pengetahuan tentang apa itu gangguan sexual. Berita berkenaan ceramah 'ad hoc' ini telah saya muatkan di blog kami, 'Mom against pornography'. 

Perkongsian dari Dr. Har

Kami telah ke kampung halaman mutawif kami, ustaz Abu Ilkiya di Sungai Landia. Kampungnya ber bukit-bukit. Sungguh indah dan mendamaikan. Sepi, tapi sudah tentu sarat dengan cerita-ceritanya. Di sana, kami bertemu dengan nenek ustaz. Namanya nek Jian. Rumah nek Jian juga disusun mengikut konsep rumah gadang. 

Sungai Landiar

Ketika bertandang ke sini, saya lihat emak saya begitu bahagia sekali. Terutama bila melihat dapur arang nek Jian. Kata mak, inilah dapur yang digunakan di zaman kecilnya. Kata mak, sesetengah orang ambil abu-abu arang di bawah dapur untuk buat facial. Ada juga yang ambil abu itu untuk buat gosok gigi. Dalam perjalanan untuk sampai ke rumah nenek tadi, kami singgah sebentar di tempat jemuran padi. Mak cerita, memang semua orang di kampung mak dulu jemur padi. Bila dah petang, mereka akan angkat padi tu, simpan dalam guni. Esoknya jemur lagi. Sebelum nak dapat padi tu juga, ada proses yang biasa mak buat iaitu irik padi untuk keluarkan padi dari tangkainya. Mak cakap, dia tak pernah ingat bila masanya dia mentelaah buku. Seluruh masanya irik padi dan bermain. Tiba-tiba, terus ke UK!wahh! macam mana tu? Bila mak bercerita, muka mak bercahaya, matanya bersinar. Mana tidak gembira, bila dah sampai ke tempat yang menggamit memori. Malam tu, mak pesan pada saya, mak sangat mengharapkan anak-anak tak lupa asal-usul. Setidak-tidaknya, jika kebetulan singgah ke Kuala Terengganu, singgah lah ke rumah pakcik-pakcik dan makcik-makcik di sana. Pesan tu akan saya ingat selalu. insyaAllah. 

Padi yang sedang dijemur

Seterusnya kami ke Puncak Lawang, Maninjau. Sebelum sampai ke puncak, kami singgah di kilang tradisional tebu yang menggunakan tenaga kerbau untuk memerah tebu. Tetapi waktu itu, kerbau nya tidak ada. Kerbau dibawa ke sawah. Jadi, kami terus ke Puncak Lawang. Sesampainya di puncak, kami terpukau dengan keindahan panorama di situ. Kami duduk-duduk sambil meninjau-ninjau. Terdapat kain rentang yang bertulis 'peluklah alam dengan cinta'. Bila dekat dengan alam begini, terasa sangat kebesaran Allah. Satu perasaan yang sukar dirasa dalam kehidupan seharian kita yang biasa. Subhanallah walhamdulillah wala ila ha illallah wallahuakbar. 



Setelah puas menikmati alam di puncak Lawang, kami turun ke bawah lalu singgah lagi ke kilang tebu tadi. Kami bernasib baik kerana kerbau sudah pulang. Dapatlah kami lihat proses memerah tebu menggunakan tenaga kerbau. Kerbau tu ditutup matanya dan di arah untuk tawaf, lalu mengerakkan mesin pemerah tebu itu. Pertama kali saya lihat mesin perah tebu yang sebegini. 

Kerbau yang menjalankan tugas dan kewajipannya. Dan dia nanti takkan dihisab di akhirat nanti 

Setelah melihat keindahan alam ciptaan Allah, kemudian lihat pula kerbau yang memberikan banyak manfaat buat manusia, membuatkan saya mencari-cari ayat Allah yang menyebut nikmat-nikmatNya. Lalu saya berjumpa dengan ayat ini. 'Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung dari apa yang telah Dia ciptakan, dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan ni`mat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya). Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajiban yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang(Surah al-Nahl, ayat 81-82). Langsung selepas Allah menyatakan nikmat-nikmatNya, Allah susuli dengan kewajiban manusia. Kerbau itu telah menjalankan kewajibannya dengan baik, saya pula bagaimana? Takut bila terkenangkan tanggungjawab ini. Semoga Allah sentiasa berikan kita semua peringatan. 

Kemudian, kami ke muzium tempat kelahiran Buya Hamka. Kami kurang bernasib baik kerana muzium telah tutup. Kami singgah di rumah saudara Hamka. Saya beli banyak buku Buya Hamka di situ. Antaranya, 'Tenggelamnya Kapal Van der Wijck', Tasauf moden, tafsir al-azhar dan buku biografi Buya Hamka yang bertajuk 'Ayah'. Di sana kami jumpa ibu Azizah. Saya hanya tahu ibu Azizah adalah saudara Buya Hamka setelah membaca buku 'Ayah'. Jaulah saya ke maninjau dan sedikit pengetahuan tentang adat orang minang banyak membantu saya menggambarkan apa yang diceritakan oleh Irfan Hamka dalam buku 'Ayah'. 


Kemudian kami ke Kutub Khanah. Di sini letaknya makam ayahanda Buya Hamka, Karim Abdullah. Kami bertemu nek Salmah di sini. Walaupun sudah tua, tapi ingatannya masih kuat, masih boleh bercerita salah silah keluarga dan kenangan beliau bersama Buya Hamka. Apa yang lagi menarik, nek Salmah merupakan alumni Diniyyah putri! 


Hari ketiga pengembaraan kami, kami telah ke Teluk Bayur sejurus pulang dari perguruan ar-risalah. Kami duduk sambil menikmati pemandangan laut yang luas terbentang. Di sini, kami mengenangkan nasib saudara Rohingya. Cuba menghayati penderitaan mereka yang terpaksa meredah badai lautan dengan menaiki bot yang sarat dengan manusia. Sudah tentu ada yang terjatuh ke dalam laut, yang di atas bot pula tidak ada makanan. Bagaimana pula nasib yang tertinggal di sana. Semoga kita semua lebih peka akan nasib saudara Rohingya kita. 

Teluk Bayur

Pada hari terakhir kami di Bukitinggi, kami singgah di rumah kelahiran Bung Hatta. Beliau merupakan bapa kemerdekaan Indonesia. Kami sungguh tertarik dengan rumah ini yang manggabungkan ciri Belanda dan ciri tempatan. Di sini, kami dapat lihat gambar-gambar lama Bung Hatta yang membawa kita menghayati perjuangan insan hebat ini. 


Seperti biasa, emak saya suka sangat lihat peralatan-peralatan di dalam rumah ini yang banyak persamaan dengan rumah neneknya. Dengan tempat simpan berasnya, dapur dan tempat simpan barang.


Emak bergambar dengan tempat simpan barang di rumah kelahiran Bung Hatta. Bekas ini sama seperti yang pernah dipunyai neneknya

Di masa-masa terakhir sebelum kami berangkat pulang, kami selesaikan aktiviti beli belah kami di sini. Di sini, banyak barang boleh didapati dengan harga yang murah seperti kain sulam, kain batik, dan barang-barang kraftangan. Saya dan emak telah membeli beberapa telekung sulam di sini. Bila bawa pulang, kakak beritahu kepada kami, jenis telekung yang kami beli, harganya RM 200 di Malaysia. Dan kami telah beli dengan harga RM 95 di sana. Seronoknya membeli-belah di sana. 

Alhamdulillah....sesungguhnya pengalaman mengembara ke Padang Panjang dan Bukittinggi ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga buat saya. Tidak semuanya dapat saya ceritakan di sini. Rasailah sendiri pengalamannya. 


Menikmati pemandangan matahari terbenam di Pantai Manis



Thursday, April 23, 2015

The Paradise On The Earth


Alhamdulillah...saya baru sahaja pulang dari bercuti ke India bersama mak dan ayah saya. Ada yang bertanya detail tentang percutian saya. Jadi, biar saya ceritakan tentang Kashmir.

Jom lah bercuti ke Kashmir....Kashmir sangat terkenal dengan keindahan panorama pergunungan himalaya sejak dari dulu lagi. 
Di dalam peta, Kashmir digambarkan sebagai salah satu lembah yang terpencil di pinggir turutan gunung Himalaya yang terletak tinggi di dataran benua kecil asia selatan.

The paradise on the earth

Kashmir mendapat gelaran wilayah tercantik di dunia. Mengikut satu catatan Bernier iaitu orang eropah yang pertama memasuki Kashmir. Beliau berkata “ in truth the kingdom surpasses in beuty all that my warmest imagination had anticipated”. Ramai juga yang menggelar Kashmir sebagai 'the paradise on the earth'.


ainaasakeenah
Srinagar
                                                                  Sejarah mencatatkan, Kashmir telah menjadi rebutan banyak kuasa seperti Kushan, Asoka dan Singh. Seterusnya, India dan Pakistan pula berebut untuk mendapatkan Kashmir. Konflik Kashmir telah banyak membawa kerosakan dan kerugian kepada pihak yang terlibat seperti Pakistan dan juga India.

Kerosakan dan kerugian yang teruk juga berlaku terutamanya kepada negeri Kashmir itu sendiri yang huru-hara akibat daripada konflik yang berlaku ini. Untuk meredakan konflik ini, beberapa jalan penyelesaian dan juga jalan damai telah dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak samaada India dan juga Pakistan. Antara perjanjian damai yang dimeterai oleh kedua belah pihak ialah perjanjian Simla yang telah mewujudkan kawalan sempadan antara kuasa besar asia selatan tersebut. 

Oleh sebab itu, jika anda datang ke Kashmir, anda akan lihat begitu ramai tentera India lengkap bersenjata membuat kawalan di sepanjang jalan. Beg anda juga akan di skrin sebelum sampai ke airport lagi oleh tentera India. 

Saya telah pergi ke Kashmir pada 17 Mac sehingga 20 Mac 2015. Waktu ini merupakan pertengahan musim sejuk dan musim bunga di Kashmir. Sebenarnya, anda boleh datang ke Kashmir pada bila-bila masa sepanjang tahun kerana Kashmir begitu indah, tidak kira apa musim sekali pun. Cuma, kalau anda datang pada musim panas, mungkin tiada peluang untuk berguling-guling atas salji di gunung Gulmak. 

Gunung Gulmak
                                                                           
Tetapi, musim panas di Kashmir tetap best sebab anda boleh menikmati panorama pergunungan himalaya yang subur dengan rumput hijau dan bunga- bunga mekar. Buah-buahan tempatan juga banyak di musim panas, contohnya buah epal. Suhu musim panas di Kashmir juga masih menyamankan antara 25-30 darjah celcius. Waktu kami di sana, suhunya 10 darjah celcius.

Gambar ketika menaiki kabel car
                  
Untuk datang ke Kashmir, anda boleh ke New Delhi terlebih dahulu. Seterusnya, anda boleh teruskan perjalanan dengan menaiki mana-mana kapal terbang domestic dalam India. Rombongan kami memilih Malaysia Airlines untuk perjalanan KL- New Delhi. Seterusnya, kami menaiki Indigo Air untuk perjalanan New Delhi- Kashmir. 

Sangat mudah untuk mengembara ke wilayah Kashmir ini kerana komunikasi di sini sangat mudah. Majoriti orang Kashmir fasih berbahasa Inggeris. Tanda-tanda jalan juga dalam bahasa Inggeris. Makanan halal juga mudah didapati kerana 99% penduduknya beragama Islam.

Antara tempat menarik yang harus anda pergi bila bercuti ke Kashmir adalah houseboats di Srinagar, Gunung Gulmak, Pahalgam dan 
Tulip GardenPernah tengok cerita Hindustan Bobby'?
Penggambaran filem Bobby juga dilakukan di Pahalgam. Banyak lagi cerita-cerita Hindustan yang di lakonan di Kashmir.


Pahalgam                                                              

Sepanjang berada di Kashmir, kami tinggal dalam boathouse di Srinagar. Di dalam satu, rumah, dapat menempatkan lebih kurang 14 orang. Anda akan bersarapan pagi dan makan malam di houseboat anda kerana biasanya sewa bilik dikira sekali dengan makan. 

Boat yang kami naiki setiap hari untuk ke boathouse, tempat penginapan kami
                   

Gambar ketika sedang makan di dalam boathouse. Bagai satu keluarga..

Setiap rumah akan ada seorang atau 2 orang butler yang akan sentiasa membantu anda. Mereka akan angkatkan beg, hidupkan pemanas bilik, hidang makanan dan macam-macam lagi. Tukang masak pula akan masak mengikut apa permintaan kita. Service mereka adalah yang terbaik. Bayaran sewa rumah boat pula sangat berpatutan. Oleh itu, harus untuk berikan mereka duit 'tips' yang setimpal dengan servis yang mereka berikan. 

Mak dan ayah bergambar dekat dengan pemanas rumah yang masih gunakan kayu api. Mungkin kurang sesuai jika anak-anak kecil dibawa ke sini.

Di dalam boathouse juga akan sentiasa ada penjual yang datang bertandang. Antara barang yang mereka jual adalah pashmina, silk, pakaian, batu-batu permata. Mereka juga aktif berjual ketika anda bergerak di dalam boat on the way untuk ke jeti. Just enjoy shopping di Kashmir. Jika terlebih beli atau terbeli dengan harga yang lebih mahal daripada biasa pun tidak mengapa asalkan anda niatkan membeli itu untuk membantu diorang yang hidup susah.

Sedang membeli belah di dalam rumah

Once dah berada di Kashmir, wajib untuk ke Gulmak mountain. Di sini lah kita boleh bermain salji. Untuk naik ke atas gunung, kita perlu menaiki kabel car. Sebelum sampai ke stesen kabel car, akan ada perkhidmatan sledge. Dimana, akan ada orang yang boleh tarikkan kita di atas papan sorong. Memang seronok. Satu kepala akan di caj 400 rupees. Lebih kurang RM 24. Daripada wang itu, tak tahu lah berapa ringgit habuan yang diberikan kepada orang yang menarik kita tu. Tak berpadanan dengan lelah mereka menarik. tetapi mereka ni, orang susah. Itulah kerja yang dapat mereka lakukan untuk mencari rezeki. maka, harus untuk bagi juga tips kepada orang yang menarik sledge tu. seperti yang saya sebutkan sebelum ni, niatkan untuk bersedekah. In shaa Allah, percutian anda akan diberkati.


Sledge
                         
Sesampainya di atas gunung, kita boleh bermain ski. Untuk bermain ski, caj yang dikenakan adalah 300 rupees, bersamaan dengan RM 18. Murah kan? Jadi, kalau teringin nak main ski, lebih baik ke Kashmir daripada ke negara Eropah yang segala-galanya mahal tu. 

Pengalaman ini mungkin kali pertama atau mungkin juga kali terakhir.huhu...

Alhamdulillah...dapat juga saya belajar bermain ski. Bukan susah sangat pun, bongkok kan badan ke depan, kayuh dengan kayu yang diberi. Nescaya, meluncur la anda ke depan selaju-laju nya. Sungguh, saya memang tak tahu macam mana mau berhenti. So, apa yang saya buat adalah, terjun saja ke dalam timbunan salji tu. In shaa Allah..tidak ada kecederaan asalkan anda tak luruskan badan atau ke belakangkan badan anda. 

Kalau lah gunung Gulmak ni ada di belakang rumah saya, sudah tentu bermain ski akan menjadi hobi saya..huhu

Jika saya diberi kesempatan untuk sampai lagi ke sini, saya akan tidur satu malam di kaki gunung Gulmak ini untuk bermain ski puas-puas:D

Minum teh panas di kaki bukit Gulmak

Bagi saya, 4 hari di Kashmir memang cun lah untuk betul-betul menikmati percutian di Kashmir. Kami tinggalkan Kashmir pada hari keempat.
Kami menuju ke New Delhi dan tidur satu malam di sana. Dari New Delhi, kami ke Agra dengan menaiki bas. Perjalanan New Delhi-Agra mengambil masa 4 jam. 

Apa yang menarik di Agra? Sudah tentulah Taj Mahal dan Agra Fort yang kaya dengan cerita-cerita sejarahnya. Pastikan anda berjalan dengan pakar sejarahnya untuk betul-betul dapat menghargai apa yang anda lihat di hadapan mata.

Taj Mahal yang indah tersergam. Alhamdulillah, dapat lihat keajaiban ini di hadapan mata.

Semoga informasi yang diberikan bermanfaat buat yang berhajat untuk mengembara ke Kashmir. Selamat mengembara! Selamat meneliti kehidupan di sana , pada udara, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Sambil itu, lihatlah pada keagungan dan kebesaran Allah dalam perbezaan bahasa-bahasa manusia, warna kulit, perangai, keinginan dan rupa paras. 

Saya sangat tertarik dengan orang Kashmir yang rajin bekerja. Walaupun rata-rata orang Kashmir hidup susah, saya tidak berjumpa dengan seorang pengemis pun sepanjang berada di Kashmir. 

Bergambar bersama ahli rombongan
 




Thursday, February 5, 2015

Sahabat semusafir

Assalamualaikum....
Lama sungguh tak menulis. Tangan terasa kaku, otak pula membeku. Hari ni, saya terbaca status kak Aisyah yang memaklumkan bahawa dia akan menjalani prosedur electrophysiology study with or without ablation disebabkan masalah supraventricular tachycardia yang berulang. Saya pernah jumpa kes seperti ini di wad. Rasa biasa je. Tapi, bila ia melibatkan kak Aisyah...saya jadi takut. Takut akan risikonya terhadap sahabat saya ni. Saya berdoa, semoga prosedur tersebut dapat merawat sahabat saya tanpa ada sebarang komplikasi.

Sebenarnya saya bukanlah teman rapat kak Aisyah, tetapi saya berpeluang untuk mengenali beliau dengan lebih dekat semenjak bulan Ramadhan tahun lepas. Ada orang kata, kita tak mungkin dapat mengenali seseorang selagi tidak bermusafir dengan orang itu. Pada bulan Ramadhan tahun lepas, kami telah mengembara bersama ke Australia. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna yang saya belum sempat rakamkan dalam penulisan saya sebelum ini.

Pada bulan Ramadhan yang lalu, saya, kak Mazwin dan kak Aisyah telah ke Australia. Perjalanannya singkat dan dirancang dalam waktu yang singkat. Tetapi, pengalaman dan pelajaran yang saya dapat hasil daripada permusafiran itu sangat banyak. Masya Allah...Sebenarnya, kak Mazwin dan kak Aisyah telah diundang oleh akhawat Australia untuk berkongsi ilmu dan cebisan pengalaman bersama mereka dalam daurah mereka. Alhamdulillah, Saya pula, macam tiada kaitan dengan program tersebut, tapi Allah telah pilih saya untuk bersama-sama mereka. Alhamdulillah, Allah telah menggerakkan hati kak Mazwin untuk mengajak saya sekali. Sungguh unik perancangan Allah ini. 

Sejurus tiba di Adelaide

Untuk perjalanan pergi, saya dan kak Mazwin telah ke Adelaide terlebih dahulu. Kami ke sana untuk menziarahi adik kak Mazwin yang telah menetap di sana. Adik kak Mazwin, Suhana, telah menetap di sana semenjak zaman medical student lagi. Kini, beliau berkhidmat sebagai doktor di Adelaide Hospital. Terima kasih yang tidak terhingga buat Suhana dan suami, yang telah menyambut kedatangan kami dengan sangat baik. Saya sangat sukakan keindahan Adelaide. Pantainya yang bersih dengan burung-burung berterbangan di persisiran pantai sungguh menggamit memori ketika berada disana tatkala sudah pulang ke Malaysia. Di sana, kami sempat ke dua buah masjid untuk iftar dan solat maghrib, isyak dan terawih. Kami berpeluang untuk berjumpa dengan komiti muslim di sana yang sangat friendly. Rata-ratanya sudah mengenali Suhana. Mereka sangat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan komuniti muslim Adelaide. Mereka turut bergilir-gilir menyediakan iftar setiap hari di masjid.
Di tepi pantai Adelaide

Antara juadah iftar yang dihidangkan. Sedap!

Kami membeli makanan untuk sahur di sini, kedai Swinging Bowl=mangkuk hayun, milik orang Malaysia 

Seterusya, kami terus berangkat ke Sydney. Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki ke bumi Sydney. Tentunya pengalaman kali ini berbeza. Untuk perjalanan ke Sydney kali ni, tumpuan kami adalah program daurah akhawat Australia. Akhawat yang menyertai program ini datang daripada seluruh pelusuk Australia. Rata-ratanya daripada Melbourne, Tazmania, Canberra, Adelaide, New Castle. Saya sangat kagum dengan kegigihan adik-adik ini untuk menjayakan program di bumi Australia. Ia merupakan satu pengorbanan yang besar. Bayangkan, kalau akahawat di Malaysia terpaksa travel jauh-jauh semata-mata untuk menghadiri daurah. Pasti akan lebih ramai yang futur. Tetapi, di setiap tempat dan situasi, cabarannya pasti berbeza. Di Malaysia, cabarannya adalah komitmen yang banyak dengan kerja, study, keluarga dan lain-lain. Hati saya tersentuh ketika mereka berbincang berkenaan takwim. Mereka begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam program-program tarbiyah. Walaubagaimanapun, banyak perancangan mereka terpaksa dikurangkan atas sebab kos perjalanan yang mahal. Untuk melakukan liqa' usrah juga, mereka terpaksa melakukan secara online kerana murabbi jauh di mata, tetapi dekat di hati dan di facetime atau skype:)

Hati saya sangat teruja untuk merasai pengalaman berprogram bersama akhawat Australia. Bagi saya, Australia adalah salah satu tempat di atas muka bumi yang subur dengan tarbiyyah. Saya masih ingat, sewaktu saya masih menuntut di Cyberjaya University College of Medical Sciences, terdapat beberapa pelajar yang merupakan bekas pelajar universiti di Australia. Oleh kerana sistem pemarkahan yang ketat di Australia, ada kalangan mereka yang terpaksa berhenti sesi pembelajaran di sana kerana gagal dalam peperiksaan dan terpaksa menyambung pelajaran di Malaysia. Bagi saya, ia merupakan ujian yang besar.Namun, disebalik setiap ujian, pasti ada hikmah yang tersurat. Kepulangan mereka ke tanah air sebenarnya merupakan rencana Allah untuk menghidup suburkan tarbiyyah di universiti saya pula. Subhanallah...Saya masih ingat, sewaktu saya masih student di situ, siapa yang mangatur daurah, program qiamullail, menggerakkan usrah, iftar jamaie, rihlah jika bukan mereka.

Program daurah dimulai dengan program untuk mutarabbi junior. Saya sungguh kagum melihat bagaimana melihat kakak-kakak mereka mengatur program. Sungguh kemas dan tersusun. Setiap aktiviti mesti ada flow yang betul, mesti mengikut hadaf yang dikehendaki, mereka juga akan pastikan semua mutarabbi faham akan apa yang disampaikan oleh muajih. Sebelum sesi apa pun bermula, pasti mereka akan duduk dan bincang dulu. Selepas setiap sesi juga, mereka akan bincang lagi. Saya cuba membayangkan situasi gerak kerja kita di Malaysia pula. Ahli jawatankuasa(AJK) bukan sahaja tidak sempat berbincang dulu, malah, AJK turut sama sampai lewat ke tempat program. Saya masih ingat, adik saya yang baru BFG daripada UK pernah melahirkan ketidakpuasan hatinya ketika menghadiri daurah di KL buat pertama kali. Adik saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk sampai awal ke tempat program, tetapi apabila sampai, pintu masih berkunci. Kononnya program akan bermula dengan pendaftaran jam 9 pagi, tetapi pukul 10 pagi baru lah mas'ul program tiba ke tempat kejadian. Dan pendaftaran dibuat serentak dengan penyampaian. Oleh sebab itu, ramai yang tidak dapat bertahan berada dalam jemaah. Bukan sahaja kerana komitmen pada setiap individu yang melebihi kemampuan, tetapi juga disebabkan kurang persefahaman antara satu sama lain.

Sebenarnya, walaupun cara kerja akhawat di Australia ini patut menjadi kebanggan naqibah mereka, namun, ada sesuatu yang merisaukan mereka. Apa yang dirisaukan mereka adalah, bagaimana nanti penerimaan mad'u-mad'u mereka terhadap realiti jemaah setelah mereka pulang ke tanah air nanti. Oleh sebab itu, daurah mereka kali ini bertemakan 'back to basic'. Bermakna, mereka tidak akan berbincang tentang kitab-kitab yang tinggi pengetahuan fikrahnya. Tajuk yang akan mereka selami adalah fiqh sirah. Saya sangat teruja dengan tema ini. Terasa sangat dekat di hati saya. Saya masih ingat suatu ketika dahulu, teman baik saya, Iffah, selalu mengajak saya untuk ke daurah. Saya cuba untuk hadirkan diri walaupun pada mulanya saya tak suka pergi daurah. Time tu, yang saya ingat, apabila pergi daurah mesti cakap pasal maratib amal, strategi dakwah dan banyak tajuk berbentuk fikrah. Saya sangat tidak suka dan suka ambil kesempatan untuk tidur je. Tujuan saya tidur, supaya saya ada energy bila balik nanti, dapat study. Saya sangat berkira tentang masa yang saya terpaksa habiskan di program. Namun, segalanya berubah bila saya nampak kaitannya dakwah ini dengan sirah Rasulullah S.A.W

Saya mula nampak kaitannya jalan dakwah ini dengan sirah Rasulullah sewaktu saya berada di tahun ke 4 pengajian saya di universiti. Padahal saya sudah berada di dalam sistem tarbiyyah sejak tahun pertama. Saya masih ingat, ketika itu, saya ingin ke daurah Ansar di Keramat. Kebiasaannya, saya akan terus ke tempat program daripada universiti saya di Cyberjaya. Samada dengan menaiki kereta bersama sahabat saya atau dengan manaiki ERL dan LRT. Hari itu, saya balik ke rumah terlebih dahulu untuk bertemu abang saya yang jarang pulang ke rumah. Ketika berbual dengan abang, abang sangat gembira apabila mengetahui saya mengikuti program tarbiyyah dan akan ke katibah pada hari itu. Kemudian, abang cerita tentang fasa-fasa dakwah Rasulullah S.A.W. Abang terangkan kenapa dakwah kita caranya begini, kenapa tidak begitu dan sebagainya. Akhirnya saya faham. Dengan memahami sirah, kita akan lebih memahami bagaimana untuk bekerja dalam jemaah. Proses tarbiyyah ini memang lambat kerana kita ingin membina secukupnya invidu muslim yang jelas fikrahnya. Untuk itu, kita perlu bekerja secara jam'ie. Apabila berada dalam jemaah, kita akan dapat lebih bersabar dengan kelemahan atau kekurangan orang lain. 

Berbalik kepada cerita jaulah saya, sebenarnya, bukanlah kami langsung tak bersiar-siar sepanjang kami berada di sana...kami telah berkesempatan untuk ke Zoo! Pada hari ketiga kami di sana, ada seorang akhawat ditugaskan untuk menjemput kak Aisyah di lapangan terbang Sydney. Akhawat-akhawat yang lain pula perlu menyiapkan planat untuk aktiviti tarbiyyah mereka bagi tahun hadapan. Jadi, saya dan kak Mazwin tumpang saja lah akhawat yang nak ke lapangan terbang tu. Di dalam perjalanan untuk ke bandar Sydney, akhawat comel tu dropkan kami di zoo.hehe...Jadi, dapat juga lah, kangaroo-kangaroo di zoo tu jumpa kami. Ada banyak juga haiwan pelik-pelik yang kami jumpa di zoo tu. Subhanallah..hebatnya ciptaan Allah.

Antara kangaroo yang bertuah sebab dapat jumpa kami:)

Ketika pulang ke kem daurah, kak Aisyah ada bersama-sama kami. Begnya besar, tapi bukan berisi pakaian tetapi berisi buku-buku yang dipesan oleh akhawat Ozi. Terdetik di hati saya, "bestnya jual buku!". Lebih-lebih lagi, kalau dapat jual buku-buku yang bagus pengisiannya. Kak Aisyah selalu cakap tentang pentingnya kita banyak menulis. Untuk dapat menulis, mesti banyak membaca. Saya nak sangat menulis sebenarnya, tetapi selalu rasa macam takde masa. Tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kata kak Aisyah, sementara menunggu akhawat ambil dia di lapangan terbang pun, dia sempat menulis satu artikel. Jadi, tiada alasan tiada masa. Kita cuma perlu gunakan masa sebaiknya.

Sesungguhnya, pengalaman sepanjang berjaulah ke Australia sangat-sangat berharga. Saya berdoa agar dapat berpeluang lagi mengembara di atas muka bumi Allah yang luas terbentang ini.