Thursday, September 21, 2017

Lombok Untuk Pertama Kalinya


31 Julai 2017, saya telah bercuti ke Lombok, Indonesia bersama suami. Alhamdulillah, saya telah selamat diijabkabulkan bersama suami saya, Muhammad Mahazan pada 21 Julai 2017. Majlis perkahwinan kami pula telah berlangsung pada 29 Julai 2017&30 Julai 2017. Setelah selesai semua majlis, kami telah bertolak ke Lombok Indonesia. Ini adalah percutian kami berdua yang pertama atau lebih dikenali sebagai bulan madu💓💓. 

Kami ke sana selama 4 hari. Dalam tempoh 4 hari ini, banyak yang kami belajar dalam mengenali bukan hanya tempat percutian ini, malah turut belajar mengenali antara satu sama lain💕. Perkara pertama yang belajar tentang suami adalah, dia bukan lah yang suka buat planning percutian seperti saya. Untuk itu, saya lah yang perlu lebih proaktif jika hendak ke mana-mana selepas ini😄. Resam hidup suami isteri harus saling lengkap melengkapi. 

Saya telah menempah tiket kapal terbang ke Lombok kira-kira 4 bulan lebih awal. Harga tiket kapal terbang untuk seorang adalah RM 339. Saya juga telah menempah hotel lebih awal. Harga hotel bertaraf 3 bintang untuk 3 malam di Pulau Gili Trawangan adalah RM 689.32. Oleh kerana kurangnya research yang saya buat sebelum ke sana, saya telah menempah penginapan sepanjang di Lombok hanya tertumpu kepada satu tempat iaitu di Gili Trawangan. Ia termasuklah untuk malam pertama setibanya kami di sana. Kami tidak sempat sampai ke hotel tersebut kerana kami tiba di Lapangan terbang  Lombok pada jam 5petang sedangkan perkhidmatan public boat yang terakhir adalah pada jam 6 petang. Tambang menaiki speed boat adalah 15,000 rupiah. Selepas jam 6 petang, kami hanya boleh ke pulau Gili dengan menaiki speed boat, dengan harga yang berganda-ganda iaitu 300,000 rupiah. Alhamdulillah, suami kelihatan tenang apabila terpaksa mengeluarkan duit di luar jangkaan untuk menempah homestay pula😜 . Kami menginap satu malam di homestay berdekatan jeti yang dipanggil bangsal. Jadi, bagi sesiapa yang berhasrat untuk ke Lombok secara DIY, tanpa mana-mana agent, anda harus menempah hotel di kawasan darat terlebih dahulu. Contohnya, Mataram yang juga menempatkan tempat menarik untuk dilawati iaitu pantai Senggigi. 

Disajikan dengan kopi Lombok di tempat kami menginap

Walaupun kami telah tersilap perkiraan yang menyebabkan kami sedikit rugi, ada hikmah disebaliknya. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kerana kami tak sempat ke pulau petang itu, kami sempat singgah di sebuah pesantren atas ajakan sekumpulan pelancong yang juga dari Malaysia. Rombongan tersebut terdiri daripada makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang sebaya ibu dan ayah kami. Di pesantren itu, kami dijamu dengan macam-macam hidangan yang lazat. Ada satay, nasi, ikan bakar dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati insan-insan yang berhati murni yang sedang membangunkan pesantren tersebut demi menyalurkan pendidikan buat anak bangsa. Selesai makan, kami di hantar ke jeti oleh salah seorang cikgu di pesantren tersebut. Kami bermalam di homestay berhampiran jeti. Keesokan harinya, kami berjalan kaki ke arah boat dan bertolak ke Gili Trawangan dengan menaiki public boat. 


Subhanallah, Gili Trawangan merupakan sebuah pulau yang sangat cantik. Airnya terdiri daripada warna-warna yang berbeza mengikut kedalaman air. Ada bahagian airnya hijau, ada biru muda dan ada biru tua. Kami habiskan hari pertama di pulau itu dengan bersiar-siar menaiki basikal. Suasana malam di pulau ini sangat meriah dengan adanya bermacam-macam jenis kedai makan dengan pelbagai jenis hidangan. 

panorama matahari terbenam di Gili Trawangan
Hari kedua, kami habiskan dengan melakukan aktiviti snorkeling. Kami telah menjelajah ke 3 pulau untuk snorkeling, Gili Air, Gili Trawangan dan Gili Menor. Snorkeling di sini agak berlainan dengan pengalaman saya bersnorkeling sebelum ini. Beach boy yang membawa kami snorkeling memberikan kami pilihan samaada mahu menggunakan fin(kasut sirip) atau menggunakan life jacket. Jika tahu berenang, mereka akan bekalkan fin dan tidak perlu lagi pakai life jacket. Pada mulanya, saya yang kononnya pandai berenang ni mahu mencuba memakai fin tanpa life jacket. Walaupun tahu berenang, pergerakan kaki saya agak kaku bila berada di tengah-tengah laut yang dalam itu. Akhirnya saya pakai juga life jacket dan snorkeling seperti biasa. Itu lebih selamat bagi saya yang sudah selalu sangat lemas sebelum ni tapi belum serik lagi. hihi.. 

Berhenti makan tengah hari di Gili Air

Hari keempat, kami telah menaiki public boat seawal 7 pagi ke bangsal. Ini merupakan hari terakhir kami di Lombok, dan kami berhajat mahu membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang. Sempat juga kami singgah di Air Terjun Benang Kelambu sebelum berangkat ke lapangan terbang. Air terjun ini agak unik kerana biasanya kita terpaksa mendaki untuk sampai ke air terjun. Tetapi di sini, pengunjung akan bergerak menuruni bukit-bukit untuk sampai ke air terjun. Untuk ke sana, kita boleh menggunakan perkhidmatan motorsikal yang disediakan oleh penduduk tempatan. Setelah selesai menikmati keindahan alam semulajadi, barulah kami bertolak ke lapangan terbang untuk pulang. 

Air terjun benang kelambu
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur sungguhpun ini merupakan percutian kami yang pertama dan tempat yang kami kunjungi agak jauh dan mencabar tanpa menggunakan perkhidmatan mana-mana travel agent, tidak banyak masalah yang dihadapi dan kami sangat gembira kerana telah melawat Lombok yang sangat indah. 


Pemandangan pagi di Gili Trawangan
***Tips untuk berbulan madu: Tak perlu tempat yang jauh dan berbelanja mahal. Apa yang penting sentiasa bersama pasangan dan saling bertoleransi.

Monday, March 13, 2017

Tidak Sakit Adalah Nikmat

Antara yang saya syukuri dalam pada menghidap penyakit myasthenia gravis adalah, saya tidak merasa sakit. Kebanyakan penyakit memberikan kesakitan, dah nama pun sakit. Tetapi tidak untuk sakit myasthenia gravis, alhamdulillah.

Apabila penglihatan saya berkembar(diplopia)..saya rasa pening, keliling saya bagai bergoyang, macam berdiri di atas bot yang terumbang ambing, saya tidak boleh drive kerana jalan di depan saya kelihatan bersepah dengan pelbagai imej. Dalam keadaan itu, saya pejamkan mata. Ia tak sakit. Alhamdulillah..

Apabila pertuturan saya terjejas, percakapan saya menjadi pelat. Lidah saya menjadi keras. Nak menghabiskan satu ayat pun susah. Justeru itu, saya hanya diam. Saya tidak merasa sakit. Alhamdulillah..

Apabila saya tidak dapat mengunyah makanan, setiap suapan sungguh menyeksakan. Saya tidak dapat gerakkan makanan itu ke gigi. Saya selalu simpan pengacau kopi untuk saya gunakan waktu makan. Kalau Munirah beli kopi, dia akan ambil alat kacau kopi tu lebih..dia bagi pada saya. Munirah selalu sweet. Selalu je ingat kat saya. Dengan kayu itu, saya akan tolak makanan di dalam mulut ke arah gigi supaya saya dapat kunyah dan kemudian saya telan. Bila saya dah penat, saya rasa marah, saya hempaskan sudu dan garfu ke dalam pinggan. Tapi, sekejap sahaja Allah uji dengan kekurangan itu. Kemudian Allah pulihkan saya kembali melalui ubat yang saya ambil. Saya boleh makan macam biasa. Saya rasa malu sangat dengan Allah. Dia uji saya sikit je, itupun nak marah. Dan saya tidak merasa sakit. Allah...

Memang banyak yang berlaku kepada diri saya di bulan Disember. Dalam keriangan saya bercuti di Itali, saya mula mengalami lemah otot di bahagian tangan. Saya tidak dapat angkat tangan saya melebihi bahu. Saya tidak dapat sikat rambut. Saya tidak dapat syampu rambut. Alhamdulillah, saya dapat menghadapi situasi itu dengan tenang kerana sebelum bertolak ke oversea, doktor baru sahaja menaikkan dos ubat prednisolone. Doktor naikkan dos tu disebabkan pertuturan saya semakin terjejas dan dos ubat harus terus dinaikkan 10mg setiap minggu sehinggalah ia mencapai 50mg sehari. Jadi, saya hanya ikut sahaja peraturan ubat itu. Dan, alhamdulillah.. tidak lah lama saya mengalami lemah otot tangan. Dan ia tidak menyakitkan.

Bila mula-mula ubat prednisolone mencecah 50mg per day. Letihnya bagai sudah seharian bekerja keras padahal hari baru bermula. Balik daripada kerja, saya melepek. Saya hanya mampu melihat baju-baju saya yang belum dijemur. Sudahnya, ayah saya lah yang jemurkan baju saya. Sudah solat isyak, saya terus tidur. Diri saya bukan lagi saya yang dulu. Alhamdulillah, keluarga saya sentiasa bersama, dan saya tidak merasa sakit.

Di tempat kerja juga, ramai yang sangat mengambil berat akan saya. Saya masih ingat hari tu. Saya menghabiskan rondaan di wad bersama doktor pakar dengan sangat payah. Setelah selesai, saya terpaksa luahkan juga kepada doktor pakar, bos saya. "Bos, saya rasa letiiih sangat", terus air mata saya gugur tak dapat dibendung. Bos saya, Dr Shahada suruh saya berehat, riak mukanya sangat cemas. Saya sangat bersyukur ditakdirkan bekerja di kalangan bos-bos yang sangat baik. Bukan Dr Shahada sahaja yang sangat memahami saya, Dr Sharifah, Dr Habibah dan Dr Mandy juga. Dr Sahrifah yang sering mahu buatkan kerja yang sepatutnya tugas saya; "Let me do the BMAT, it has been a while I don't do", " Let me insert the femoral catheter, the patient request me".  Saya tahu, Dr Sharifah buat semua tu kerana ingin membantu saya, kerana dia bersimpati dengan saya. Saya akan selalu mendoakan Dr Sharifah agar Allah merahmati bos saya yang sangat baik ini. Apabila saya merasa letih, saya tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja di wad. Saya hanya ditugaskan di klinik dengan kerja-kerja yang lebih ringan. Itupun, kalau Dr Habiba nampak saya asyik berdiri dia akan suruh saya ambil kerusi dan duduk. Bos-bos saya semuanya sweet. Alangkah bagusnya kalau saya dapat terus berada di Jabatan Haematology. Tetapi agak mustahil saya dapat duduk di jabatan ini, menambahkan bilangan pegawai perubatan nya pada angka tetapi tidak mampu berfungsi seperti medical officer(MO) Haematology yang lain. Saya masih ingat kata-kata seorang consultant saya kepada saya, " You have to find some other field that suit you. You see, you can not depend on other mercy forever'. Saya sedar, apa yang bos saya katakan itu ada benarnya. Saya perlu mencari bidang lain.

Terlalu banyak nikmat yang saya kecapi. Adalah satu nikmat juga, apabila saya tidak merasa sakit walaupun menghidapi penyakit. Maka Allah memberi peluang kepada saya untuk merasa juga sakit agar saya menghargai nikmat tiada sakit itu. Subhanallah, saya berpeluang merasai sakit yang sangat-sangat apabila menjalani pembedahan thymectomy.

Pada bulan Januari, doktor menasihatkan agar saya menjalani pembedahan thymectomy kerana nampaknya selama 10 bulan saya menghidap myasthenia gravis, saya masih tidak dapat pisahkan prednisolon daripada diri saya. Setiap kali dos prednisolon cuba dikurangkan, diplopia akan datang, slurring speech pun datang. Dan lebih merisaukan apabila saya mula merasakan paru-paru saya juga lemah. Saya tidak dapat lagi meniup belon. Apabila saya terlalu penat, saya mula rasa mengah. Maka saya terpaksa mengambil ubat prednisolone pada dos yang tinggi. Namun, saya tidak boleh terus bergantung kepada ubat prednisolon kerana kesan sampingan nya yang banyak. Memang saya sudah mulakan ubat Azathioprine untuk sebulan sejak Disember. Namun, saya terpaksa berhenti makan ubat itu. Bagaimanalah Azathioprine dapat gantikan prednisolone sedangkan saya tidak mahu bergantung kepada ubat cytotoxic itu juga.

1 Mac 2017 merupakan tarikh saya menjalani thymectomy(removal of thymus gland). Saya sempat merasai kesakitan yang paling teruk ketika kesan ubat bius hilang. Waktu itulah, saya rasakan kesakitan di skala 10(paling sakit). Doktor bius mulakan ubat morphine untuk saya. Lama-kelamaan sakit itu berkurangan. 12 hari telah berlalu, sakit di tempat pembedahan sudah semakin hilang. Saya hanya makan celebrex bila perlu. Tetapi saya masih tidak dapat tinggalkan paracetamol dan tramal. Saya tidak dapat lupa juga sakitnya ketika 2 chest tube yang digunakan untuk mengalirkan keluar darah, hendak di tarik keluar. Sakitnya subhanallah. Untuk chest tube yang pertama, tiada analgesia yang diberikan. Oleh kerana terlalu sakit, saya minta doktor yang melakukan procedure itu memberikan saya analgesia. Mereka masukkan IV Fentanyl dan menarik keluar chest tube kedua. Untuk kedua-dua chest tube yang ditarik keluar itu, saya menjerit. Saya tahu, sepatutnya saya perlu menarik nafas untuk mengelakkan daripada berlaku pneumothorax. Tetapi, saya tidak tahan sakit lalu menjerit. Ya Allah, dengan kesakitan ini, ampunkanlah dosa-dosaku.

Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan saya. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya. Saya juga ingin mendengar cerita-cerita daripada ramai lagi yang sentiasa memberikan inspirasi buat saya.

" Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau ridhai dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh, aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh, aku termasuk orang muslim."- Surah Al-Ahqaf 15-

Among my pain killers;)
Susah payah adik-adik datang ziarah, sambil berkejar-kejar dengan kelas. Jazakunallahukhairan kathira. Uhibbukumfillah.  

Glasari:
BMAT: Bone marrow aspiration and trephine

Salam Benua Eropah

Alhamdulillah, ketenangan di petang ahad memanggilku untuk menulis. Menulis catatan kembara yang sudah lama tertangguh. Atas nama Allah yang Maha Lembut, sentiasa memberi nikmat yang tidak pernah putus. Pada 20 Decemeber 2016 hingga 2 Januari 2017, saya telah sampai ke benua Eropah.  Kebanyakan masa saya di Itali adalah di Milan kerana abang saya kini bermastautin di sana. 

Courmayeur
Kami telah ke Courmayeur pada hari kedua percutian di Itali. Courmayeur adalah salah satu kawasan pergunungan salji yang memang banyak terdapat di Itali ini. Bagi yang ingin bercuti disini, anda boleh memilih mana saja kawasan pergunungan yang memang banyak itu. Kami ke sana dengan menaiki kereta sewa. Alhamdulillah, perjalanan yang lancar mendapatkan kami sampai awal ke skytrek. 


Apakah itu skytrek? Skytrek adalah perkhidmatan cable car yang kami gunakan untuk menaiki kawasan pergunungan salji di Courmayeur. Tiket untuk menaiki cable car ini adalah 48 euro untuk seorang. Bagi saya, tambang yang dikenakan sangat berpadanan dengan perkhidmatan yang diberikan. Dengan menaiki cable car ini, kami berpeluang untuk bermain salji sepuas hati di atas gunung. Pemandangan yang dapat dinikmati di atas gunung sungguh menakjubkan. Disamping itu, kemudahan yang disediakan oleh skytrek sangat bagus, seperti kemudahan wifi, toilet, kawasan pit stop yang bersih, membolehkan kami solat di situ. Menjelang petang barulah kami turun ke kaki gunung. 





Kami telah bermalam di salah sebuah hotel di courmeyeur. Bayaran penginapan satu malam di situ adalah 130 euro, ia merupakan sebuah rumah kecil yang menyediakan 2 bilik, lengkap dengan dapur dan ruang makan yang sangat selesa. Keesokan harinya, kami menghabiskan masa bermain salji. Kami telah menyewa 2 papan luncur(sledge) dan bermain sampai puas. Alhamdulillah. 






Lake Como
Kami telah meneruskan pengembaraan ke Lake Como. Subhanallah, sungguh indah pemandangan di sini. Kami telah tiba di bumi Allah ini pada 25 Disember. Oleh kerana penduduk tempatan sedang merayakan hari natal, kawasan ini sungguh lengang sewaktu kami tiba. Tidak banyak kedai yang dibuka. Kami juga tidak dapat menaiki cruise kerana perkhimatan cruise juga ditutup pada hari tersebut. Sungguhpun begitu, kami cukup berpuas hati kerana dapat duduk makan di tepi tasik sambil menikmati pemandangan yang indah.



Cathedral
Tidak sah rasanya jika bersiar-siar di kota Milan tanpa melawat Cathedral. Cathedral adalah satu pusat tumpuan pelancong yang menempatkan binaan gereja lama beserta monumen-monumen unik.  Di sinilah letaknya Duomo, gereja yang kelima terbesar di dunia. Kami hanya meluangkan masa bersiar-siar di luar gereja sambil melihat-lihat keindahan seni bina bangunan di sini. Ada banyak burung merpati berterbangan di sebuah dataran luas yang dikepung oleh bangunan gereja yang mempunyai senibina indah. Terdapat ramai pelancong yang beratur untuk memasuki gereja. Di kawasan luar gereja terdapat banyak gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan dan barang cenderamata. Di sinilah kami membeli keychain dan fridge magnet. 



Terdapat sebuah kedai coklat di sini bernama, OD Store. Bermacam-macam jenis coklat ada dijual disini siap dengan packaging yang menarik. Sangat sesuai untuk dapatkan cederamata buat orang tersayang yang ditinggalkan di tanah air.






Rome 
Destinasi seterusnya adalah Rome. Kami ke Rome daripada Milan dengan menaiki keretapi. Kerana masa kami yang singkat di sini, kami memilih untuk menggunakan pengangkutan bas hop on hop off. Kami tidak mahu mengambil risiko tersesat jalan dan sebagainya. Kami menghabiskan masa selama 2 hari penuh untuk sightseeing di bangunan-bangunan yang indah di Rome iaitu Collaseum, Roman Forum, Pantheon, Piazza di Spagna, Piazza Navona, Castel San't Angelo, Campo de Fiori dan lain-lain. Walaupun masa yang kami habiskan di Rome agak singkat, tapi ia sudah cukup memberi kepuasan kepada kami. Seperti tidak percaya, kami sudah sampai ke Rome! 


Gambar diambil dari tingkat 2 Collaseum


Pemandangan di dalam Collaseum yang menakjubkan

Gambar dari luar Collaseum






Monday, July 4, 2016

Menjadi Tetamu Allah

MG ni, luarannya ujian, di dalam nya begitu banyak nikmat. MasyaAllah, disebabkan MG, saya dijemput ke tanah suci pada bulan Ramadhan. Syukur alhamdulillah..cuti saya diluluskan kerana masalah kesihatan. 


Ia masih baru, saya masih dalam proses berkenalan dengan MG. Rupa-rupanya, symptom yang datang berubah-ubah yang disebaliknya mengandungi seribu hikmah. Mula-mula, diplopia atas bawah, tapi kemudian menjadi side by side. Biasanya setelah sampai di wad, saya akan rehat dulu sampai jam 8 pagi, barulah dapat bekerja. Selepas ward round, saya akan berehat lagi di surau kerana diplopia di wad sangat-sangat memberatkan kepala. Sepatutnya kena tagging di tempat baru sebagai persediaan untuk oncall. Namun, apakan daya, saya langsung tak boleh bekerja selepas jam 5 petang disebabkan diplopia dan ptosis

Pendek kata, salah satu amalan saya di bulan Ramadhan ini adalah iktikaf di surau sebelah wad saya bekerja. huhu...Minggu pertama, saya sudah ambil MC 3 hari. Masuk minggu kedua, MC lagi 1 hari. 

Akhirnya, saya ambil keputusan untuk ambil cuti rehat 2 minggu. Siapa sangka, dalam waktu yang singkat, saya masih sempat tempah tiket untuk menunaikan umrah. 

MasyaAllah..disebalik ujian, ada nikmat. Saya berlepas ke Madinah pada 16 Ramadhan. Tenang rasanya berada di kota Madinah. Saya tidak lagi iktikaf di surau wad, tapi di Masjid Nabawi dan kemudiannya nanti akan ke Masjidil Haram. Diplopia langsung tiada kecuali setelah membaca 1 muka surat al-quran. Selepas itu, tulisan quran sudah nampak berterabur. 

Subhanallah, uniknya MG yang Allah takdirkan ni, saya mula perasan sebutan saya menjadi pelat di waktu waktu pagi. Medical term nya dysarthria, banyak sebutan jadi lain. Payah untuk sebut huruf sin, shin, dho, sebutan baris depan. Ada sikit-sikit susah menelan dan susah mengunyah. Jika saya makan, makanan tu stay di depan gigi , terpaksa pula saya tolak menggunakan jari. 

Alhamdulillah, menjelang tengah hari semua symptom hilang, kesan daripada ubat mestinon dengan izin Allah. Saya berdoa di raudhah, di setiap tempat yang saya pernah duduk dalam masjid Nabawi, saya berdoa semoga Allah sembuhkan penyakit ini sepenuhnya. 

20 Ramadhan, saya sudah berada di Mekkah al-mukarramah. Cantiknya aturan Allah..pada asalnya, tarikh ini yang saya dapat daripada travel agent. Tapi, disebabkan tiket flight tak sempat ditempah oleh travel agent sebaik visa siap, maka saya bertolak lebih awal, berada di Madinah lebih awal dan..ya, 10 malam terakhir di Mekkah. MasyaAllah!

Subhanallah...diplopia langsung tiada di Mekkah. Saya boleh membaca Al-Quran sebanyak-banyaknya. Tetapi, Allah masih mahu memberikan kebaikan buat saya melalui MG ni. Masih ada symptom-symptomnya yang Allah berikan mengikut kemampuan saya merasainya. Susah nak telan dan susah mengunyah tu masih ada, tapi di bulan puasa ni, bukannya kita selalu makan. Dan di bulan Al-Quran ni, Allah elokkan pula mata saya di sepuluh hari terakhir Ramadhan supaya saya dapat membaca Al-Quran. Subhanallah, walhamdulillah, allahuakbar...

Di hadapan kaabah, saya berdoa, semoga Allah tunjukkan saya jalan kehidupan yang harus saya ambil. Jika betul keputusan saya untuk quit master, moga Allah permudahkan urusannya. Syukur atas segala takdir Allah. 

Thursday, June 16, 2016

Berjalan Tanpa Henti

Sejak minggu lepas, saya memang tak drive. Double vision kerap datang. Side by side pulak tu. Kalau atas bawah, rasanya masih berani untuk drive.

Kalau double vision side by side ni, memang ngeri kalau jadi waktu tengah drive. Bersepah-sepah atas jalan raya dengan macam-macam imej, Ada tiang lampu la, divider dan kereta. Kereta yang parking di tepi pun saya nampak imej yang satu lagi di tengah jalan raya. 

Minggu ni bermula la episod baru perjalanan hidup sebagai postgrad student. Alhamdulillah, saya dapat duduk kuarters. Kuarters dan hospital saya yang baru adalah walkable distance. Hari ni, pagi-pagi lagi saya dah keluar rumah. 

Best sangat sebab terjumpa dengan sekumpulan undergrad student yang turut berjalan kaki. Umur mereka baru 19 tahun, sedang saya 29 tahun. Tapi, saya berjalan lagi laju daripada mereka. hihi..Asyik kena toleh belakang dan jerit,"adik, cepat la sikit..". Haha..
Siap sempat selfie lagi sementara tunggu diorang catching me up😆

Saturday, June 4, 2016

Oh My MG



Terlalu banyak untuk diceritakan tentang penyakit ini. Semoga perkongsian ini bermanfaat juga untuk orang lain. 

10 April 2016 - Pertama kali dapat ptosis 

Dalam perjalanan pulang dari mukhayam. Saya drive straight dari Sepang ke Setapak. Ukhti Hidayah tiba-tiba menegur, "kinah mengantuk??". Saya cakap "tak". Tak lama selepas tu, kak mizah pula memanggil dari belakang. "kinah, tukar driver la..". Pelik ni, saya cakap dalam hati. Saya memang tak mengantuk, mungkin mereka just risau saya tertidur waktu drive dalam waktu-waktu macam ni. Selepas turunkan semua sahabat di Setapak, saya rasa mata berat. Ohh, hampir tertutup tapi masih boleh nampak clear. Lepas sampai rumah, dah boleh bukak mata luas. Oh..abaikan je lah. 

22 April 2016 - Bila saya tidak boleh membaca

Saya ada meeting dengan bos berkenaan kursus dysphagia yang sepatutnya saya handle pada 18 May 2016. Masa tu pukul 3.30 petang. Bos hulurkan tentatif program. Kenapa blur ni?. Saya perlu mencatat apa yang bos cakap. Lantas, saya tutup satu mata. Aha, sekarang baru nampak!letih kot mata ni....

22 April 2016- All I see is double

Lepas maghrib, saya bertolak ke rumah adik2 usrah. Allahu..kenapa saya nampak double pulak ni?..Kereta-kereta di jalan raya menjadi 2 tingkat. Line jalan saya nampak dua lapis, atas bawah. Ok, sakeenah,sabar..sabar..sementara je ni. insyaAllah. Sampai je di rumah adik usrah, turn saya untuk baca quran. Saya tutup satu mata dan baca. Saya hanya dapat baca 2 ayat. Kamudian saya lost. Tak tau dah baca ayat mana. Oleh kerana adik-adik usrahku student medic, ayuh..jom kita cek differential diagnosis of diplopia. Aha..saya ada binocular diplopia. Ok, apa penyebabnya..ok, 1st, myasthenia gravis. Uhuu, takkan la. Ok2, go for second, strabismus. Ok, dulu pernah ada kawan tegur saya macam juling. Tapi,saya sangka itu hanya kerana saya ni pemalu. Memang susah nak pandang muka orang waktu bercakap. Tapi, boleh jadi jugak, saya ada strabismus ni. Ataupun, dah start rabun....

23 April 2016- Berita yang baik 

Pukul 1 pagi, apabila baca whatsaap, kawan-kawan dah dapat keputusan master. Saya on laptop pukul 1 pagi. Aha..nampak clear, mata saya dah ok. Dengan penuh debaran masukkan nombor ic. Alhamdulillah...saya dapat tawaran melanjutkan pelajaran di UITM untuk kursus sarjana perubatan internal medicine. MasyaAllah, betapa besar kuasa Allah. Dia yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya. Walaupun saya pernah putus asa dengan internal medicine dan terjun ke ear,nose,throat...dia telah mengaturkan segala-galanya yang terbaik untuk saya. Syukur ya Allah..

Saya tidur dengan hati berbunga-bunga malam tu. Awal-awal pagi, saya cuba siapkan surat untuk minta sponsor yang diarahkan bos petang semalam. Ah, susahnya nak siapkan, rasa pening la mengadap komputer. Pagi tu, saya ikut ayah ke Jalan Pasar, nak cari speaker untuk sekolah. Lepas dah sudah, ke kedai cermin mata pulak. Setelah di cek, lens sebelah kiri 25. sebelah kanan ada astigmatism 750. Bila optometrist pakaikan lens yang dia dah ukur. Uhuu..saya nampak double jugak. Optometrist tu minta saya datang lagi esok, untuk cek balik dengan optometrist yang lebih berpengalaman. 

24 April 2016 - Double vision lagi

Hari ni saya oncall. Sebelum start oncall saya hubungi kawan yang oncall opthalmology hari yang sama. Dah set untuk jumpa dia lepas settle kan pesakit-pesakit saya. Bila dia cek, tak ada yang tak normal. Saya disuruh datang lagi esok pagi ke klinik opthalmology untuk pemeriksaan yang lebih detail. Esok mereka akan dilate anak mata saya. Saya stay di hospital sampai petang. Saya buat slide CME sampai pukul 6 petang. Sebelum pulang, dapat pula referel daripada bahagian kecemasan untuk kes nasal bone fracture. Setelah selesai, saya pulang lebih kurang pukul 6petang. Subhanallah, sekali lagi saya nampak double vision atas jalan raya. Ya Allah..kenapa ni ya Allah...

25 April 2016 - Superior oblique palsy

3 optometris buat pemeriksaan reflex terhadap mata saya. Finding mereka sama...distance: small hypertropia with good recovery, near: small hypertropia with moderate recovery
Hess chart saya pula menunjukkan, untuk mata kanan ada medial rectus muscle restriction. 
Saya diperiksa oleh seorang opthalmologist. Pertama kali saya jumpa dia...saya tak pernah terserempak dengan specialist ni sebelum ni. Dia sangat baik dan sangat teliti. Walaupun anak mata saya boleh bergerak ke semua arah, tetapi specialist tu dapati, otot inferior oblique saya over react, ini menunjukkan saya ada superior oblique palsy on right side of the eye. Alhamdulillah..saya bersyukur, doktor pakar tu dapat menemui sesuatu. Harapan saya, penyebab diplopia saya akan dapat dikenal pasti. 2 lagi pakar mata turut memeriksa mata saya. Ikutkan mereka, mahu sahaja buat MRI brain, tapi oleh kerana MRI tak mungkin dapat dilakukan dalam secepat yang diperlukan, maka CT brain lah dulu. 

26 April 2016 - Diplopia sepanjang hari

Hari ni saya buat CT brain, ditemani mak. Saya tengok TV waktu menunggu giliran. Objek yang dilihat dalam TV nampak dua. Ya Allah..sembuhkan mata ku. 
Balik dari CT brain, saya ke merata tempat. Mula-mula ke rumah atifah, kemudian ambil kawan mak dan hantarkan kawan mak ke suatu tempat. MasyaAllah, sepanjang hari tu, saya lihat semua objek di atas jalan raya adalah double. Balik rumah, ahli keluarga juga saya nampak double. Maksudnya, mereka ada dua kepala, satu atas, satu bawah(paras dada). uhuuu....

27 April 2016- Saya mc hari ni. Rehat di rumah je lah. 

28 April 2016 - Pertama kali ada dysphagia(susah telan)

Saya bangun awal-awal pagi untuk bersahur. Waktu makan nasi, kira-kira jam 5.30 pagi, entah kenapa, saya rasa susah nak telan. Seolah-olah makanan tu saya telan tanpa kunyah dulu. Saya cuba untuk suapan kedua, gulp! rasa macam telan seketul batu. Eh, betul ke ni? Saya minum air pula. Bila minum air, air tu rasanya seperti naik ke hidung. Ya Allah..sakit apakah aku. 
Pagi itu juga saya ke ORL clinic. Specialist saya scope kan. Arytenoid sedikit oedematous. Gag reflex normal. Semua cranial nerve normal. Dalam masa yang sama, saya tanya abang ipar yang merupakan doktor di bidang neurologi. Superior oblique palsy ni jarang sangat berlaku katanya. Rasanya perlu buat MRI. Abang ipar terus buat surat rujukan kepada kawannya di PPUM, Saya terus ke sana. Mereka suspect Myasthenia Gravis tapi featuresnya tak convincing. Disuruhnya saya ke opthalmology PPUM pula. Finding mereka tetap sama dan tiada definite diagnosis daripada opthalmology. Saya kembali lagi berjumpa doktor neromedical, kali ini bersama doktor pakar. Bagi dia, saya ada ptosis dan neck flexion agak lemah. Baru saya ingat, ya..saya ada ptosis sebelum ni! 
Ok, kesimpulannya, saya ada ptosis, diplopia, dysphagia. Maka, boleh lah buat neuroconduction study. Mereka bawa saya ke neuro lab. Itulah pertama kali dalam hidup saya, saya ke neurology lab. Saya merasai sendiri pengalaman menjalani neuroconduction study. Sakit lah jugak, especially bila aliran kejutan elektrik tu mengalir di saraf-saraf yang lebih halus contohnya di bahagiaan ocular nerve. 

Alhamdulillah..berbaloi juga buat test ni. Keputusan yang saya dapat adalah jittery at all single muscle fibers, suggesting neuromuscular junction disorder. Doktor saya agak pasti disitu yang saya sebenarnya menghidapi myasthenia gravis. Tetapi saya perlu juga menjalani lumbar puncture procedure untuk rule out miller fischer. Masa tulah, baru saya rasa macam mana rasanya buat lumbar puncture. Sakit kot..masa nak cari CSF tu. Bila dah dapat tu, dah tak sakit. Tapi the whole night masih rasa juga sengal ditempat dia cucuk. Insaf nya...selama ni buat lumbar puncture dekat patient, cuba banyak-banyak kali. Sedangkan doktor saya buat LP kat saya sekali je, itupun sakit. Ya Allah...ampunkan dosaku seandainya aku cuai/lalai dalam melakukan kerja-kerja ku sebagai pegawai perubatan selama ini. 
Habis buat lumbar puncture, ada sikit-sikit lagi susah nak telan. Saya pun mula makan ubat teman rapat saya sekarang, T. Pyridostigmine 60mg, buat pertama kali pada petang itu. 

29 April 2016- Pulang dengan MG

Saya dibenarkan keluar ward hari ni. Sebenarnya saya ada dapat juga side effect pyridostigmine iaitu abdominal pain, tapi tak teruk. Dalam perjalanan pulang, kepala saya mula rasa sakit. Saya boleh berbaring di dalam kereta.  Saya masih ingat petang tu, adik saya pasang radio ikim, dan lagu yang berkumandang di corong radio adalah, segenggam tabah. Wahhh..feelingnya bila dengar lagu tu waktu tu. Ya Allah, sungguhpun aku ni hambaMu yang kurang bersyukur. Jangan kau tarik nikmat kesihatan yang telah kau bagi sebelum ni Ya Allah..

Alhamdulillah, sekarang sudah 1 bulan saya menghidapi penyakit yang namanya myasthenia gravis ni. Ada kala ok, ada kala bertahan 8 jam, ada kalanya saya perlu makan ubat lebih kerap, mungkin selepas 6 jam atau 4 jam. Alhamdulillah..syukur ada ubat made in Spain ni, hihi..;-)

Syukur alhamdulillah...Allah sentiasa bagi apa yang terbaik buat hambanya. Setiap ujian ada hikmahnya. Yang paling penting sentiasa percaya kepada kuasa Allah. Allah yang menciptakan semua penyakit, Allah jualah yang boleh beri kesembuhan. Saya berharap dapat pulih daripada penyakit ni sepenuhnya, dan itu tidak mustahil. InsyaAllah..bulan puasa ni  nak doa banyak2, minta doa semua juga ya..^_^

Wednesday, March 30, 2016

Orang Baik



Orang kata, bila kita berjumpa dengan orang yang berbuat baik dengan kita, itu adalah rezeki kita. Dan juga, orang yang berbuat baik di saat-saat perbuatan baik itu amat diperlukan orang, itu juga rezeki buat orang yang berbuat baik itu. Rezeki apa? rezeki untuk dapat pahala. Tiada orang yang tahu amal perbuatan dia yang mana yang membolehkan dia masuk ke syurga. 

Kita pasti berpengalaman berjumpa dengan orang baik. Selalunya, kita akan sangat terkesan jika orang yang berbuat baik dengan kita tu, adalah orang yang tidak kita kenali pun sebelum ini. 

Saya ada satu kisah yang saya masih ingat sampai sekarang. Kisah ni berlaku 3 tahun yang lepas. Masa tu, saya bekerja di Sungai Petani, di Kedah. Saya lalui banyak kenangan manis sepanjang berkhidmat di sana. Waktu tu, saya selalu mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti outdoor seperti berkelah di air terjun, mendaki bukit dan gunung. Bukit yang selalu saya panjat adalah Bukit Semarak.  

Tersebutlah kisah, saya pernah panjat bukit tu beramai-ramai dengan kawan-kawan saya. Tetapi, dalam perjalanan, kami berpecah. Ada yang sampai ke puncak dulu, ada yang tak teruskan sampai ke puncak, ada juga yang sampai puncak tapi tiba lambat. 

Kelompok saya sampai ke puncak, tapi lambat. Kawan-kawan yang sudah sampai dulu, turun bukit sebelum kami. Apabila kami hendak turun bukit, entah macam mana, kami tersalah jalan. 

Sampailah kami jejak kaki ke kaki bukit, tapi tempat yang kami turun tak sama dengan tempat kami mula-mula mendaki tadi. Ya Allah....masa tu, kami sungguh buntu. Tak tahu nak buat macam mana. Nak mendaki bukit semula, memang tak sanggup. Bekalan air juga dah habis. Matahari sudah tegak di atas kepala. 

Tempat kami berdiri waktu tu adalah tempat yang asing buat kami. Kami menapak tanpa ada arah tujuan. Sampailah kami ke kawasan perumahan.

Dari kejauhan, kami nampak seorang brother tengah ambil barang dari kereta dia. Kami mendekatinya dan bertanya,
" abang, ni kat mana ya? kami ni baru turun dari Bukit Semarak tapi tadi kami naik dari tempat lain.." 

Daripada brother tu, tau lah kami, sekarang kami berada di Tikam Batu. Agak jauh juga untuk ke tempat kami parking kereta. Kami berpandangan sesama sendiri, brother tu pula terus masuk ke dalam rumah. 

Kami berjalan lagi. Ada beberapa remaja lelaki menunggang motor. Saya tahan adik tu. Saya tanya kepadanya, ada tak teksi kat situ. Adik tu terus tinggalkan kami. Ketika tu, kami rasa sungguh kecewa. Dalam hati hanya berdoa kepada Allah. 

Tak lama selepas tu, adik yang membawa motor tadi datang lagi tapi kali ni, diekori oleh sebuah kereta kancil. Rupa-rupanya, adik yang tadi tu panggil jirannya yang ada kereta. Jirannya itu lah yang tolong menghantarkan kami ke tapak di mana saya parking kereta dan memulakan pendakian. 

Subhanallah...kami sangat bersyukur kerana dalam keadaan yang sangat memerlukan tu, Allah datangkan seseorang yang sudi menolong. Ingin rasanya bagi duit minyak kat anak muda yang membantu kami tu, tapi masa tu, duit pun kami tak bawa. Adik tu juga faham dan tak minta apa-apa balasan.

Setelah sampai, kami sempat bergambar dengan beliau yang sudah saya lupa namanya. Tak kira di mana dia berada sekarang, saya mendoakan Allah murahkan rezeki beliau. Sama-sama kita berdoa semoga sentiasa bertemu dengan orang baik dan berdoa kita juga jadi orang yang baik. 

'Dan berbuat baiklah kerana sesugguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik'- Al-Baqarah: 195






Thursday, March 10, 2016

Hari Lahirku ke 29

Terlebih dulu, nak mengaku..penulisan ni bukan dari saya. Saya copy dari fb mis. Sangat terkesan dengan isi penulisannya. Sempena birthday saya yang baru tiba, saya just nak share. 

Bila menginjak dewasa ni perlahan-lahan sedar, birthday tu bukanlah tentang berapa ramai yang wish, berapa banyak hadiah yang dapat, berapa banyak kek, surprise, celebration yang dibuat. 

Birthday itu adalah tentang muhasabah diri sejauh mana puluhan tahun ini kita bersungguh menambah amal sebagai bukti syukur. Syukur kerana sampai hari ini Allah masih beri nafas untuk hidup. Syukur kerana sampai hari ini Allah masih memberi pinjam nikmat, masih membiar setiap pancaindera berfungsi tanpa cacat.

Birthday itu tentang mati. Bukti umur semakin kurang. Bukti kematian jaraknya boleh jadi tinggal sejengkal. Kalau kita mati pada hari birthday kita, rasa-rasa kita layak tak masuk syurga? Tak layak? Habis tu kenapa tak pernah bersungguh dapatkan syurga? 

Birthday itu adalah ulang tahun jasad ini diberi pinjam pada kita. Selama itu, kita jaga baik tak pinjaman ini? Kita tunai tak hak-hak jasad ini? Hak tidak dibawa ke tempat maksiat. Hak ditutup auratnya. Hak diberi makan yang halal. Hak tidak dimudaratkan. 

Birthday itu adalah tentang malu. Malu pada Allah kerana selama puluhan tahun diberi nikmat yang tidak terkira masih tidak mampu jadi abid khalifah yang sempurna bahkan bahagia dalam zon dosa dan perkara-perkara lagha. Masih tidak yakin tegur kemungkaran depan mata. Masih tidak tegas sebar dakwah. Padahal sudah tahu itulah matlamat diri dicipta.

Birthday itu adalah tentang kita merenung diri. Selama kita hidup ini, rasa-rasa Allah redha tak dengan cara kita hidup? Ke mana nikmat sihat, nikmat akal sempurna, nikmat masa setiap saat selama puluhan tahun itu kita bahagikan? Nikmat yang tujuannya untuk mempermudah ibadah kita, mempermudah urusan mengajak orang lain beribadah pada Allah. Ke mana? Atau kita masih selesa menyalahguna segala nikmat untuk perbuatan-perbuatan dilarang Allah? Sila jawab dalam hati sendiri.

Semoga Allah memberkati umur kita yang telah berlalu, umur kita hari ini dan sisa-sisa umur yang akan datang.

Selamat ulang tahun buat diriku yang kerdil. 



Saturday, January 30, 2016

Perempuan...

Selalu saya dengar puisi ini di corong radio. Suka sangat dengan bait-baitnya. Saya dedikasikan puisi ini buat wanita-wanita hebat di luar sana.

Perempuan...
Duhai...
Siapakah kau ini??
Jika jadi anak, ia adalah bidadari kecil ayah bunda
Permata yang siang malam dijaga keduanya..     

Jika kau seorang isteri,

engkau adalah kesenangan terindah,
syurga untuk pasanganmu di dunia.

Jika jadi orang tua?

Wahhh..syurga itu telah berpindah di telapak kakinya.
Ia bawa ke mana-mana

Nabi pun membilangnya sebagai tiang

Tatkala kehidupan adalah bangunan
Ya. engkaulah tiang itu
Engkaulah perempuan

Perempuan adalah tiang negara

Jika perempuan baik, baiklah negaranya
Jika perempuan rosak hancurlah negaranya
Engkaulah tiang dalam bangunan rumah tangga mu
Engkaulah sandaran bagi dinding, pintu atap dan jendela

Nabi selalu benar dalam memilih istilah kata

Kerna di rumahmu semua urusan kepadamu bertumpu
Maka sebagai tiang engkau harus kuat tak tergoyahkan
Sebagai sandaran kokohmu adalah karang di lautan
Tidak rentan di terjang angin dan badai

"Tapi aku tak sekuat itu...", katamu,

"aku tak berdaya menghadapi kebrutalan dunia ini!"
"zaman semakin menggerus ku, bebannya melumatku hingga luluh!"
"Aku begitu lemah, aku tertindas, aku teraniaya ", katamu pula

Tunggu wahai perempuan

Engkau lupa..

Ada Allah dalam hidupmu,

yang siap menanggung segala keluh
Ada Allah dalam harimu ,
sumber kekuatan yang penuh
Ada Allah dalam hatimu...
Jika kau serahkan kepadaNya segala sesuatu,
Dia akan menjaganya hingga utuh

Maka...

Dalam tiap gerimis kesedihan,
hanyutkan dirimu dalam zikir panjang malam mu
Dalam tiap kerikir tajam di jalanan,
benamkan wajahmu dalam sujud kepasrahan

Dalam tiap duka yang menyapa,

hanyutkan air matamu dalam sungai kasihnya
Dalam tiap nestapa larutkan pahit air matamu dalam manis cintanya
Dan dalam tiap kelabu langitmu,
panggillah namanya..Allah..Allah...Allah

Dan tunggulah,

hingga Dia mengubah mendungmu,
menjadi pelangi warna warni




Sunday, December 20, 2015

Allah Maha Berkuasa dan Maha Menentukan

Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati
(Surah At-Taghabun ayat 4)

(Dialah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah saja.(Surah At-Taghabun ayat 14)


Kalam Allah sentiasa berjaya mengetuk pintu hati hamba-hambanya. Ia bagaikan memahami apa yang kita rasa. Di saat kita merasa putus harap, kalam Allah datang bagaikan memujuk hati kita. 

Kita berusaha dalam segala macam hal dalam hidup kita. Sampai satu saat, kita tak mampu lagi berbuat apa-apa. Bukan sahaja kita tak boleh buat apa-apa dah, kita juga tak boleh berkata apa-apa lagi. Pada waktu tu, kita berserah bulat-bulat kepada Allah. Kita meletakkan pengharapan kepada Allah SWT.  Bukankah Allah yang Maha Berkuasa boleh laksanakan apa sahaja. Bukankah Allah yang Maha Menentukan bisa menentukan bila sesuatu itu akan terlaksana. 

Berdoalah kepadaNya. Mengadulah kepadaNya. Tiada tempat berharap selain Dia. Dia yang Maha Mengetahui apa sahaja yang ada di sekalian langit dan di bumi. Pandangan Allah menembusi ke dalam sanubari kita. 

Teringat suatu perkongsian seorang saudara baru di radio IKIM tak lama dulu. Apabila ukhti tu ditanya apakah kenangan paling manis yang beliau pernah lalui sejak memeluk agama Islam. Jawabnya, kenangan paling manis adalah ketika mendapat tahu yang segala ujian yang Allah berikan, Allah sertakan dengan ganjaran berlipat ganda. Segala kekurangan kita di dunia ini, jika kita bersabar dengan kekurangan itu, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik di akhirat kelak. Kata ukhti tu, sebelum ini, dia selalu bersedih dengan musibah, tetapi setelah beliau mengenal Allah, dia sentiasa gembira dan tenang.  Subhanallah..sangat dahsyat iman saudara baru tu. Jika soalan yang sama ditujukan kepada saya, mungkin jawapan saya, kenangan manis adalah pergi jalan-jalan sana sini, jumpa orang ni, orang tu. Sungguh, jawapan spontan saudara baru tu, sangat-sangat menginsafkan saya. 

Ada satu doa yang Rasulullah ajarkan kepada seorang sahabat. Doanya berbunyi...
Ya Allah bimbinglah akan daku atas mengingati Engkau dan bersyukur kepada Engkau dan beribadat dengan baik terhadap Engkau. 

Wallahualam

Friday, July 3, 2015

Satu Malam Sebelum Ramadhan

Malam sebelum 1 Ramadhan saya oncall. Kerap juga saya oncall dalam seminggu dua ni. Bagi saya, biarlah berlelah dahulu, asalkan dapat kurangkan oncall di malam-malam Ramadhan. 

Ada 3 pesakit saya yang menemui ajalnya sewaktu saya bertugas. Ada pula seorang pesakit yang juga collapse dan hampir sahaja nyawa meregang dari jasad. Sebagai doktor, kematian itu sudah selalu terjadi di hadapan mata. Cuma, bila waktunya menjelang Ramadhan, sayu juga rasa hati ini melihat ada yang tidak sempat bertemu dengan Ramadhan. 

Salah seorang pesakit saya meninggal itu adalah Mr Warburton yang merupakan lelaki inggeris berusia 95 tahun. Dia berada di wad sejak semalam lagi. Mr Warburton sudah setahun terlantar di rumah kerana tulang pahanya patah. Dia terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit disebabkan tulang patah itu. Dan kini, ubat tahan sakit yang dimakan secara berterusan itu telah menyebabkan ususnya berdarah. Keputusan Oesophagogastroduodenoscopy (OGDS) mengesahkan punca pendarahannya. 

Pagi tadi, tiba-tiba dia tidak sedar. Tekanan darahnya jatuh mendadak. Kami telah melakukan intubasi untuk menyokong pernafasan beliau. Oleh kerana pendarahan di usus sangat teruk, ditambah dengan keadaannya yang lemah, isterinya tidak memilih untuk aktif resusitasi(NAR=not active resuscitation). Jadi,selepas ini, jika sekiranya ajalnya telah sampai, kami tidak akan melakukan cardiac pulmonary resuscitation(CPR). 

Selang satu katil dari katil Mr Warburton, adalah En. Ab Aziz. Dia menghidap sakit buah pinggang. Dalam masa yang sama, dia terkena jangkitan kuman di paru-paru yang teruk sehingga ke tahap sepsis. Fungsi buah pinggangnya menjadi semakin merosot disebabkan sepsis. Pernafasan juga terjejas sehingga terpaksa menggunakan alat bantu pernafasan BiPAP. 

Apabila menjelaskan keperluan haemodialysis kepada En Aziz, beliau enggan untuk menjalani haemodialysis. "En. Aziz, kalau tak buat dialysis malam ni, mungkin encik akan mati malam ni", jelas saya kepada beliau yang enggan untuk menjalani haemodialysis. "Biar saya mati", sahut En Aziz sambil tercungap-cungap. "En. Aziz nak mati sekarang?esok bulan Ramadhan En.Aziz...takkan tak nak jumpa Ramadhan, kami nak bantu encik ni", jawab saya dengan harapan beliau mengubah fikirannya. Serta merta mukanya berubah. Mungkin, dia pun baru teringat tentang itu. 

Siapa yang tidak mahu bertemu Ramadhan, bulan yang mulia. Bulan yang lebih baik daripada seribu bulan. "Kita buat dialysis malam ni ya En Aziz?, sekali lagi saya cuba mendapatkan persetujuan beliau. Dia hanya mengangguk tanda setuju. Setelah saya masukkan femoral catheter untuk tujuan urgent haemodialysis, beliau segera dihantar ke ICU. 

Ketika saya dalam proses memasang femoral catheter untuk En Aziz sebentar tadi, Dr Nadia, junior saya, memaklumkan saya bahawa Mr Warburton telah meninggal dunia. Isterinya nampak begitu sedih tetapi sungguh tenang. Pada pengamatan saya, pasti mendiang merupakan seorang yang sangat baik hati. Disebabkan itu, isterinya telah menjaganya dengan begitu baik. Walaupun beliau sudah setahun terlantar, keadaan tubuh badannya bersih, tiada sacral sore, tiada masalah kulit. Saya tahu, bukan mudah untuk isterinya membuat keputusan untuk tidak melakukan aktif resusitasi ke atas suaminya. Hanya setelah melihat suaminya di intubate dan mustahil untuk melakukan OGDS sekali lagi, baru lah beliau menerima keadaan suaminya dan bersetuju untuk NAR. 

Sesuatu yang membuatkan saya tersentuh adalah apabila mengisi burial permit mendiang, saya perlu menandakan agama mendiang. Tiada data tentang agamanya di dalam fail beliau. Maka, saya bertanya kepada isteri mendiang yang merupakan seorang wanita Cina berkerakyatan British tetapi berstatus Malaysia as second home. "Mrs Warburton, may I know his religion?", saya bertanya kepada isterinya dengan perlahan. "ya?", tanya nya kembali kerana soalan saya tadi kurang didengari. " Is he a Christian?", tanya saya lagi. "Yes. He is", jawabnya ringkas. Hati saya agak terusik ketika itu. Selama 95 tahun insan ini hidup, belumkah datang seseorang yang menyampaikan Islam kepada beliau..

Selepas jasad mendiang Warburton di bawa keluar dari wad menggunakan keranda, masuk pula seorang pesakit baru daripada red zone jabatan kecemasan. Pakcik yang berusia 75 tahun itu terbaring dengan separa sedar. Kelihatan dia bernafas dengan payah. Walaupun sudah diberikan high flow mask dengan jumlah oxygen 15L/min, dia masih 'gasping'. Ada wajah tidak puas hati di kalangan staff nurse ketika menerima pesakit. "Kata GCS full", terdengar staff nurse yang in charge katil berkenaan mengomel. Sekilas saya membelek nota pesakitnya. "DIL and NAR issued", kata saya kepada junior saya(houseman) dan staff nurse. Semua kembali tenang. 

Saya dan houseman saya sama-sama mendapatkan history daripada keluarga pesakit. Rupa-rupanya pesakit ini sudah lama nazak di rumah. Tidak makan dan tidak berjalan. Tiba-tiba, pernafasannya menjadi laju setelah ahli keluarga menyuapkan makanan ke dalam mulut pesakit. Lalu dia tersedak dan susah bernafas. Jelas, pesakit ini baru sahaja terkena jangkitan kuman di paru-paru akibat makanan termasuk ke paru-paru, Aspiration Pneumonia. Disebabkan sudah tua dan keadaan sudah terlalu kritikal, pihak pegawai perubatan di jabatan kecemasan dan keluarga pesakit sudah sepakat untuk tidak melakukan intubasi/CPR sekiranya pesakit ini collapse

Setelah habis membuat pemeriksaan  dan menyenaraikan plan saya untuk pesakit baru ini, saya mendapat panggilan daripada kawan saya di wad sebelah. Ada pesakitnya collapse! Saya segera ke wad sebelah. Sesampainya saya di situ, Dr Nadia sudah pun menamatkan CPR pusingan pertama. Manakala Dr Hana sudah bersedia untuk melakukan intubasi. 

" Dah bagi adrenaline ke?", tanya saya. "Dah bagi sekali",jawab SN. "Ok,bg lagi 1ampule IV adrenaline. Dalam pada mereka memasukkan ubat adrenaline tu, Dr Hana sudah pun memasukkan ETT tube. Segera saya memeriksa samada tiub itu masuk ke peparu atau ke perut. "Ok, in!", beritahu saya kepada mereka. Lantas, manual bagging dan CPR di teruskan. 

Tiba-tiba, cardiac monitoring menunjukkan jantung sedang berdegup kencang, 240 degup seminit!Dan rima nya pula adalah ventricular tachycardia, sementara pulse, masih tiada. "Prepare gel, we need to shock her", kata Dr Stephanie. "Prepare IV Amiodarone 150mg in 500cc D5%", saya pula memberi arahan. "Ready to shock patient, I'm clear, everybody clear?", Dr Stephanie sudah bersedia untuk memberikan kejutan 200J kepada jantung pesakit. Semua melepaskan tangan daripada pesakit dan berganjak sedikit daripada katil. Kelihatan badan pesakit sedikit melambung setelah diberikan kejutan. 

Lalu CPR di teruskan, buat sementara rima jantung belum dapat dibaca, jadi hare wire. Manakala kadar nadi masih mencecah 200. "Staff nurse, boleh infuse IV Amiodarone tu sekarang", beritahu saya kepada SN. Sebentar saya mencari carotid pulse nya di leher,"pulse present!". 

Alhamdulillah, rima jantung nya kembali teratur. Kadar degupan jantung nya juga kembali normal, 99 degup seminit. "Blood pressure 180/90, SPO2:100%, I'm going call up anaest team now", kata Dr Stephanie. 

Sewaktu dalam kekalutan tadi, ada staff nurse dari wad saya mencelah menunjukkan printed cardiac monitoring pesakit saya yang baru tiba di wad sebentar tadi. Cardiac monitoring nya menunjukkan straight line, tanda sudah tiada lagi degupan jantung. " I balik wad dulu ya Stephanie, ada patient I LO", kata saya kepada Dr. Stephanie. Kawan saya itu memandang saya serta merta. "NAR patient", sambung saya lagi. "Ohh, ok ok, u pergi lah..thank you for helping", kata Dr. Stephanie. " Welcome!", jawab saya sambil terus menuju ke wad saya. 

Sesampainya saya di wad saya, burial permit sudah tersedia untuk saya isi. Saya menerangkan kembali punca kematian kepada keluarga pesakit, mereka nampak tenang dan dapat menerima pemergian ayah yang tersayang. 

Begitulah kisah 1 malam sebelum Ramadhan yang dilalui oleh saya. Terkadang kita menjalani hari-hari kita tanpa merasakan betapa bertuahnya kita. Kita lupa betapa bertuahnya kita dapat bertemu dengan Ramadhan. Bulan yang menyamai seribu bulan....Bulan yang sangat mudah untuk kita mendapat pengampunan dosa....Bulan yang di dalam nya ada malam lailatul qadar. 

Subhanallah..seandainya kita benar-benar tahu apa yang terkandung dalam bulan Ramadhan ini, pasti kita nak setiap hari dalam kehidupan kita adalah Ramadhan. Tapi, bulan ini hanya ada 30 hari. Jadi, sama-samalah kita meningkatkan motivasi untuk beramal sebanyak-banyaknya di bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini jauh lebih baik dari Ramadhan sebelum ini.